Nak beli Alphard recond? Ini 30 bukti bergambar kenapa anda patut tunggu untuk Kia Carnival CKD


Warga Malaysia, terutamanya generasi terdahulu, sering menggelar kereta yang dianggap mewah sebagai “kereta besar”.
Jika ahli keluarga anda agak tradisional, selalunya anda akan disanjung dan dipuji kerana memiliki kereta bersaiz besar seperti Toyota Alphard.
Mungkin inilah salah satu sebab mengapa sesetengah golongan menganggap MPV ini satu simbol kejayaan.
Namun jangan terburu-buru, biar kami tunjukkan Kia Carnival 2021. Besar kemungkinan ia boleh memikat hati anda.
Jika anda pernah masuk ke dalam model generasi ketiga (YP) dan anda rasa ianya besar (tanggapan kami pun sama), pastinya model generasi keempat (KA4) terasa lebih besar dari generasi sebelumnya.
Kia Carnival 2021 berukuran 5,155 mm – 40 mm lebih panjang daripada model sebelumnya. Lebarnya pula ialah 1,995 mm iaitu 10 mm lebih lebar, manakala jarak rodanya pula berukuran 3,090 mm iaitu 30 mm lebih panjang dari sebelumnya.
Rupa bentuknya juga ada peningkatan yang ketara. Muka hadapannya tampak lebih cantik, disulam pada profail yang lebih lembut. Ya, ia masih lagi tampak persegi tapi tidak begitu keterlaluan.
Sebahagian daripada daya tarikannya ialah rekaan ‘atap pulau’ dengan tiang A dan B (pillars) yang hampir tidak kelihatan. Tiang C-nya pula direka secara spesifik supaya ia tampak menonjol.
Di dalam ruang kabinnya pula, kumpulan pereka di Kia telah menghasilkan satu konsep baharu iaitu “Spatial Talents” bagi ruang kabinnya.
Ia luas dan diperincikan dengan motif-motif lebar, contohnya papan pemuka panoramik, bagi memberikan suasana nyaman dan selesa di dalam kabin.
Ia didatangkan dengan 8 tempat duduk dan ruang but berkapasiti besar iaitu 627 liter walaupun dengan barisan tempat duduk ketiga didirikan.
Ruang but luas ini berjaya dicapai menerusi ‘overhang’ belakang yang panjang serta keseluruhan panjang badan MPV ini.
Model yang ditunjukkan di sini ialah model spesifikasi Thailand.
Di sana, Carnival didatangkan dengan pelbagai kelengkapan bagi keselesaan seperti sistem infotainment berskrin sentuh 12.3 inci lengkap dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay serta tetapan 12 buah ‘speaker’ berjenama Bose.
Dari segi keselamatan pula, varian tinggi dilengkapi dengan ADAS. Varian SXL spesifikasi Thailand didatangkan dengan:
- Amaran perlanggaran hadapan (FCW)
- Bantuan kekal dalam lorong (LKA)
- Kawalan peluncuran adaptif dengan fungsi ‘stop and go’ (ACC)
Penjana kuasa di bawah butnya pula ialah enjin diesel Smartstream 2.2 liter yang mampu menjana kuasa 202 PS serta tork 440 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik 8 kelajuan.
Jiran kita di Thailand dan Singapura telahpun menjual Carnival di pasaran masing-masing.
Di Malaysia pula, kita boleh jangkakan pelancarannya untuk berlangsung pada suku pertama 2022.
Ini adalah kerana Bermaz Auto telahpun memaklumkan yang penubuhan projek CKD di sini akan mengambil masa antara 12 ke 18 bulan dan mereka pun baru sahaja mengambil-alih operasi jenama ini pada awal bulan April 2021.
Baca juga: Kia diselamatkan Bermaz, Kia Seltos dan Kia Carnival versi CKD bakal menyusul!
Walaupun ada beberapa model baharu lagi sedang dalam perancangan – termasuklah Kia Seltos dan satu lagi model yang belum diumumkan – garis masa ini bererti kereta CKD keluaran Kia belum akan dilancarkan di Malaysia sehinggalah tahun 2022.
Baca juga: Bermaz: Kia Seltos, Carnival CKD tangguh sehingga 2022. Servis selepas-jualan lebih penting
Di Malaysia, Kia Grand Carnival generasi terdahulu kali terakhir dijual pada harga RM 155,148 – RM 183,766 dengan diskaun SST.


Mersita Penulis
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.