Panduan kereta terpakai: Proton Persona 1.6 (CM), varian dan tahun mana baloi untuk dibeli?

Faisal · Oct 20, 2020 07:00 PM

Proton Persona adalah antara keluaran Proton yang cukup laris. Ia dibangunkan untuk menggantikan Proton Wira yang cukup ikonik.

Dengan beransurnya Proton Persona generasi kedua, Proton Persona generasi pertama telah menyaksikan penurunan harga yang cukup ketara. Dengan itu, ia boleh menjadi pembelian yang berbaloi untuk anda.

Sejarah Proton Persona

Sewaktu pelancaran pada tahun 2007, Proton Persona (CM) didatangkan dengan enjin 1.6L CamPro yang menghasilkan 110 PS dan 148 Nm tork. Enjin ini dipadankan sama ada ke transmisi automatik 4-kelajuan atau manual 5-kelajuan. Pembeli ditawarkan dengan tiga varian iaitu Base Line, Medium Line, dan Highline. Pada awal tahun 2008, enjin ini menerima teknologi Intake Air Fuel Module (IAFM).

Pada Ogos 2008, Proton Persona Special Edition (SE) dilancarkan. Istimewanya, ia menerima penambahan pada kosmetik luaran serta kemasan kulit pada kerusi, tombol gear, dan stereng. Selain itu, ia didatangkan dengan kawalan pelayaran (cruise control).

Untuk model yang dikemaskini (facelift) pada tahun 2010, ia dikenali sebagai Proton Persona Elegance. Antara pembaharuan yang didatangkan ialah talaan baharu pada enjin untuk respon yang lebih cekap. Selain itu, ia menerima peningkatan dari segi kualiti noise, vibration & harshness (NVH) dan sudut kerusi belakang yang lebih selesa.

Pada masa yang sama, Proton Persona Elegance didatangkan dengan sambungan USB, dan pelaras ketinggian kerusi pemandu.

Pada tahun 2013, Proton Persona SV (Super Value) dilancarkan. Ia memiliki spesifikasi mirip High Line dengan tambahan ciri batang pengimbang (stabiliser bar) tetapi ciri seperti kerusi kulit, pelarasan elektronik untuk cermin sisi, dan kawalan audio di stereng telah digugurkan.

Stabiliser bar yang berwarna hitam melintasi bahagian kiri dan kanan

 

Pada tahun 2014 pula, Proton melancarkan Persona Executive yang memiliki tambahan pada kosmetik luaran serta ciri-ciri yang terdapat pada Persona Elegance tetapi cermin sisi masih didatangkan dengan pelarasan manual. Selain itu, kerusi belakang sudah tidak boleh dilipat. Menariknya, ia didatangkan dengan Wifi YES 4G.

Isu dan permasalahan 

Kehadiran pembuka but belakang

Isu yang terdapat pada awal pengeluaran Proton Persona adalah seperti ketiadaan pembuka but belakang, cermin sisi yang kecil, kegagalan fungsi radio dan lampu belakang. Namun demikian, segala permasalahan ini telah diselesaikan sejak Persona didatangkan dengan enjin IAFM.

Imej: akubiomed

Antara masalah yang sering terdapat pada Proton Persona CM ialah pemegang pintu yang boleh patah. Anggaran kos untuk mengganti adalah sekitar RM60.

Imej: mazharmansor

Pada masa yang sama, terdapat isu kegagalan cermin tingkap yang sinonim dengan Proton. Anggaran kos untuk membaiki adalah sekitar RM 200.

Sesetengah pengguna pula melaporkan kegagalan pada central locking dimana ia tidak membuka/mengunci pintu secara selari. Anggaran kos untuk membaiki adalah sekitar RM 95.

Imej: Zordaq Motorsports

Selain itu, terdapat isu pada enjin CamPro IAFM dimana enjin boleh menjadi bising sekiranya intake manifold tidak berfungsi dengan baik. Anggaran kos untuk membaiki adalah sekitar RM 350.

Di samping itu, terdapat isu kehausan pad brek yang pramatang dan brek yang berbunyi. Untuk itu, anggaran kos untuk mengganti pad brek adalah sekitar RM 65 untuk satu roda. Brek yang berbunyi pula berpunca daripada permukaan cakera (disc). Anggaran kos untuk mengasah (skim) cakera adalah sekitar RM 65 untuk satu disc.

Model manakah yang paling baik?

Untuk memudahkan anda, kami mencadangkan model yang mempunyai transmisi automatik dan tidak dimodifikasikan untuk mengekalkan kualiti tulen.

Berdasarkan spesifikasi keseluruhan, Proton Persona SV memiliki pakej yang menarik kerana ia berharga mampu milik tetapi masih mempunyai kelengkapan yang mencukupi seperti brek anti-kunci (ABS), brek disc di belakang, 2 beg udara, cruise control, dan sambungan USB.

Menjadi model facelift juga, kebanyakan isu pada keluaran awal berkemungkinan telah dipulihkan.

Tinjauan pasaran terpakai

Dari segi pakej keseluruhan, anda boleh membeli Proton Persona SV tahun 2014 yang berharga sekitar RM 14,900.

Sekiranya anda mahukan kerusi kulit, pelaras ketinggian kerusi pemandu, dan kawalan audio di stereng, anda boleh membeli Proton Persona Executive tahun 2015 yang berharga sekitar RM 19,800.

Secara umumnya, adalah lebih baik untuk anda membuat pembelian terus daripada pemilik untuk mengurangkan cas tambahan serta dapat mengelakkan diri daripada sebarang penipuan terhadap perbatuan (mileage).

Model Harga baru Harga terpakai Purata penurunan harga tahunan
SV 2014 RM 49,938 ~RM 14,900 11.7 %
Executive 2015 RM 52,938 ~RM 19,800 12.5 %

Pada masa yang sama, harga yang tertera dalam laman sesawang jualan kebiasaannya belum muktamad. Anda mungkin perlu menambah sejumlah wang untuk membayar beberapa cas tambahan yang diperlukan untuk menyerahkan kereta kepada anda.

Apa yang harus diteliti?

Imej: Zero 4 Racing

Seperti kenderaan terpakai yang lain, anda boleh memeriksa kali terakhir servis dilakukan untuk mengetahui rekod penyelenggaraan dengan lebih terperinci seperti minyak hitam, minyak transmisi (gearbox), air radiator, dan minyak brek.

Di samping itu, adalah wajar untuk anda memeriksa latar belakang sama ada kereta tersebut pernah mengalami kerosakan banjir atau sebarang kemalangan.

Konklusi

Walaupun berada dalam generasi terdahulu, Proton Persona CM masih memiliki pakej yang baik. Sekiranya anda tidak mahu berbelanja besar untuk Proton Persona baharu, Proton Persona CM masih memberikan nilai yang berbaloi.

Comments