Panduan kereta terpakai: RM 20k untuk Proton Preve. Masih bagus tapi banyak karenah?

Haris · Oct 26, 2020 08:00 PM

Proton Preve

Proton Preve merupakan antara usaha Proton untuk bersaing dalam pasaran sedan segmen C. Jenama Jepun yang selama ini mendominasi pasaran tersebut sedikit terkesan dengan penawaran Proton Preve iaitu sedan segmen C paling murah dalam zamannya.

Hadir dengan pilihan enjin CamPro CFE Turbo melalui Proton Preve 1.6 CFE Turbo, model ini agak diminati golongan yang menggemari kelajuan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran kereta konsep Proton Preve R3 seiring warisan sukan permotoran Proton.

Kini ditemui dalam julat harga bermula sekitar RM 20,000, adakah Proton Preve masih bagus untuk dibeli secara terpakai?

Generasi Proton Preve

Dilancarkan pada tahun 2012, Proton Preve merupakan model Proton yang disasarkan sebagai sebuah model global. Direka oleh firma pereka antarabangsa yang terkenal Italdesign Giugiaro S.p.A, Model pertama ini hadir dalam 3 varian iaitu:

  • Premium CVT (enjin 1.6 liter CamPro CFE Turbo)
  • Executive CVT (enjin 1.6 liter CamPro IAFM+)
  • Executive MT (enjin 1.6 liter CamPro IAFM+)

Generasi kedua Proton Preve hadir pada tahun 2014, hanya ditambah dengan 6 beg udara dan kawalan kestabilan. Hal ini menjadikan Proton Preve pasaran Malaysia pasca 2014 menerima skor ANCAP (Australasian New Car Assessment Program) sebanyak 5 bintang dan merupakan kereta Malaysia pertama yang menerima markah tersebut.

Pada tahun 2018, varian manual untuk Proton Preve digugurkan dan varian Proton Prevé Executive CVT kini dilengkapi dengan enjin 1.6 liter CamPro CFE Turbo. Dari segi luaran, model ini boleh dikenali dengan bumbung hitam, spoiler belakang hitam, gril hadapan hitam dan cermin sisi berwarna hitam. Model Premium pula kini mempunyai lampu siang DRL.

Turut dipertingkat adalah aspek NVH yang menjadi keluhan sesetengah pengguna. Proton Preve digugurkan secara rasmi dari laman web Proton pada bulan Mac 2020, menandakan pengakhiran hayat model ini.

Masalah pada Proton Preve

Sudah tentu, Proton sebagai pengeluar tidak lari dari masalah. Bukan mahu mengurangkan minat anda terhadap Proton Preve tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, masalah-masalah yang dihadapi tidaklah begitu membebankan anda dan boleh diselesaikan.

Pembaca kami, Khazirul Izwan telah memandu Proton Preve lebih daripada 175,000 km. Ujar beliau, pemanduan Preve masih kekal mantap namun beberapa alat dan kelengkapan pasti dimamah usia. ‘Wear and tear’ yang terlibat antaranya adalah 'bush' di bahagian 'link' pada suspension depan dan belakang perlu diganti. 'Shock Absorber' juga perlu diganti kerana selalu layan selekoh. Baca rebiu penuh Khazirul Izwan di sini.

Selain itu, antara masalah yang selalu dialami oleh pengguna Proton Preve adalah

Alat ganti Komen Harga
Oil cooler hose Disyorkan tukar pada jarak tempuh tiap 40,000 km. Masalah yang biasa dilaporkan. ~RM 150
Rak stereng Masalah yang berkaitan dengan rebiu pemilik. Perlu diperiksa oleh mereka yang lebih arif. Terpulang
Kotak fius Tandanya adalah penyaman udara tidak sejuk atau lampu hadapan yang bermasalah. Tak selalu terjadi dan bukan semua model mengalami masalah ini. ~RM 600
Kotak gear CVT Perlu diselenggara dengan baik. Tetapi jika rosak, kos agak tinggi

RM 2k - 3k untuk baiki

RM 4k - 5k untuk tukar semua

Terdapat juga masalah kecil yang dilaporkan seperti paparan meter digital kabur, lampu amaran (hud depan, ESC) menyala, masalah tingkap kuasa (biasalah kalau Proton lama), 'fit and finish' dan sebagainya. Untuk kesemua masalah tersebut, hanya bawa Proton Preve anda ke pusat servis berdekatan.

Senarai dan kos penyelenggaraan yang perlu diperhatikan

Barang Tanda Kos
Minyak enjin tukar pada jarak 5,000 km / 3 bulan terpulang
Engine mounting disyorkan untuk tukar selepas jarak 100,00 km / 5 tahun. ~RM 150/sebiji
Timing belt tukar pada jarak 80,000 - 100,00 km RM 700 original Proton
Water pump tukar pada jarak 80,000 - 100,00 km ~RM 600
Brake pad depan dan belakang tanda brake pad haus adalah bunyi besi bergesel RM 150 - RM 400
Tayar mengikut pemanduan. Panduan untuk tayar di sini RM 240 ke atas untuk Rim 16 inci asal

Harga Proton Preve terpakai

Keluaran pertama Proton Preve adalah pada tahun 2012 - 2014. Model ini boleh ditemui pada harga bermula RM 20,000, selalunya pada jarak perbatuan melebihi 100,000 km.

Proton Preve tahun 2014 ke atas masih mengekalkan harga sekitar RM 25,000 hingga RM 40,000 mengikut tahun dan jarak perbatuan. Harus diingatkan bahawa harga yang selalu anda lihat di laman web kereta terpakai bukan harga terakhir. Hati-hati dengan kos tersembunyi.

Kesimpulan

Terdapat banyak pandangan yang bercampur-baur mengenai Proton Preve. Ada yang memuji dan tidak kurang juga ada yang mengeji. Untuk sebuah sedan segmen C kurang dari 10 tahun pada harga sekitar RM 20k dari Proton, memang sebuah pembelian bijak bagi mereka yang menggemari Ride & Handling Proton dengan enjin 1.6 liter yang cukup berkuasa.

Sokongan kumpulan pemilik Proton Preve juga agak baik, berlainan dengan kumpulan pemilik kereta yang lebih 'ranggi'. Mungkin kerana kumpulan pemilik model ini lebih matang dan tidak gemar menunjuk-nunjuk macam baru beli kereta. Cari dan sertai kumpulan pemilik ini di Facebook atau laman forum berkenaan.

Secara peribadi, beberapa kenalan penulis merupakan pemilik Proton Preve dan mereka berpuas hati dengan tawaran harga, kuasa dan ruang pada Proton Preve. Bayangkan saja but belakang berkapasiti 508 liter, Proton Preve memang sesuai untuk keluarga kecil tetapi masih menawarkan kestabilan yang baik pada kelajuan lebih 180 km/j.

Oleh itu, adakah anda mahu panduan kereta terpakai untuk Proton Suprima pula? Nyatakan di bahagian komen.

Comments