Pengelap cermin kereta (wiper) pun nak kena jaga? Ini 5 tips penjagaan wiper!

Haris · Aug 09, 2020 11:59 AM

Ramai pengguna memandang mudah pada fungsi pengelap cermin kereta. Tanpa fungsi yang mudah ini, pemanduan dalam hujan sudah pastinya berlainan tanpa pengelap cermin kereta.

Bukan sekadar itu, pengelap cermin kereta sering diabaikan oleh kebanyakan pengguna kereta. Bagi mereka yang sayang kereta pula, pengelap cermin ini dihantui stigma lebih mahal adalah lebih baik.

Anda sebenarnya tidak memerlukan pengelap cermin kereta yang lebih mahal. Cukup dengan mengetahui cara menjaga pengelap cermin kereta dengan baik sahaja. Pengelap cermin yang dijaga dengan baik mampu memanjangkan hayatnya lalu menjimatkan sedikit wang anda.

1. Jangan guna waktu kering

Dari segi penggunaan, pengelap cermin hanya boleh digunakan pada permukaan basah. Apabila digunakan pada permukaan cermin yang kering, wiper akan haus lebih cepat. 

Apabila terdapat habuk dan kotoran di cermin hadapan, pastikan anda menggunakan fungsi pancuran air bagi membasahkan cermin terlebih dahulu.

Sementara itu, sentiasa periksa kandungan air yang digunakan untuk fungsi pancuran ini. Tak susah kalau nak selenggara tangki air fungsi ini pun. Tiada keperluan untuk menggunakan air yang bukan bukan juga. Semudah itu.

2. Bersihkan bilah wiper 

Ini satu lagi tips yang mudah. Menyeret pasir dan debu di cermin depan anda sangat tidak digalakkan. Anda boleh mengelakkan pengumpulan kotoran di bawah bilah anda dengan mengelapnya dengan kain lembap.

Amalan ini harus dilakukan secara berkala setiap minggu, atau sekurang-kurangnya setiap kali anda mencuci kereta. Lebih banyak lebih baik? Terpulang kepada waktu lapang anda. 

Sebagai peringatan - elakkan dari menggunakan pembersih yang berasaskan alkohol. Alkohol akan merosakkan getah / silikon (bahan bilah pengelap) dengan lebih cepat. Gunakan air biasa sahaja.

3. Pastikan cermin hadapan bersih

Kalau sekadar wiper sahaja yang bersih pun tak guna juga kan? Ya. Pastikan cermin hadapan anda sentiasa bersih. Untuk memanjangkan jangka hayat bilah wiper anda, bersihkan juga cermin hadapan anda. Tak perlu sembur air pun tak apa, cukup dengan mengelap lap basah pada cermin hadapan anda. 

Bagi mereka yang gemar menggunakan pengelap cermin jenis mop di stesen minyak, anda harus berwaspada. Hal ini kerana, air yang digunakan di stesen minyak jarang ditukar. Maknanya, anda akan menggunakan air yang sedikit kotor untuk mengelap cermin kereta anda. Pengelap cermin anda mungkin lebih bersih (jika anda ikut tips nombor 2).

4. Pastikan pengelap cermin anda dipasang dengan sempurna

Untuk tips keempat ini, mungkin bukan suatu isu buat mereka yang tidak rajin menukar wiper. Namun begitu, bagi mereka yang selalu menukar wiper, pastikan pengelap cermin anda dipasang kemas pada tempatnya.

Buka penutup skru dan lihat skru dibawahnya. Pengelap cermin anda tidak seharusnya terlalu ketat atau terlalu longgar. Apa-apa pun kita tak sepatutnya berlebihan dalam kehidupan, sama lah dengan wiper sekali pun.

5. Ganti bilah wiper anda apabila tiba masanya

Pengelap cermin anda sememangnya direka untuk ditukar ganti. Apabila tiba masanya, tukar sahaja yang baru. Aturan praktikal yang  paling mudah adalah untuk menukar setiap 6 bulan. Apatah lagi jika penggunaan bilah wiper anda dilihat tidak memuaskan. Tukar sahaja.

Jika anda melihat bilah wiper anda merekah, kering ataupun terbelah, itu juga tandanya bahawa wiper anda perlu ditukar ganti.

Bagi mereka yang mempunyai cadangan bahan apa yang paling sesuai untuk kegunaan pengelap cermin, sila nyatakan di bahagian komen. Bahan yang paliing banyak digunakan sudah tentulah silikon dan getah. Namun kajian mendapati bahawa kedua-duanya mempunyai jangka hayat yang sama iaitu 6 bulan. Apa pendapat anda?

Comments