Perodua Aruz, bukan pencabar Proton X70?

Haris/May 13, 2020 03:31 PM

Perodua Aruz

Perodua Aruz ialah SUV pertama keluaran Perodua (Alza dikategorikan sebagai MPV) direka berasaskan Toyota Rush yang terbaharu. Dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan yang lengkap beserta dengan rupa yang lasak, SUV 7 tempat duduk ini sememangnya menjadi pilihan dalam kalangan pembeli yang mencari kenderaan penumpang mampu milik.

Berapakah harganya?

Aruz merupakan sebuah SUV 7 tempat duduk berasaskan casis ladder frame (casis sama seperti trak pikap) dan hadir dalam 2 varian yang dijual dalam lingkungan harga RM 72,900 hingga ke RM 77,900 di Malaysia

Kesemua varian Aruz dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter sedutan tabii (naturally aspirated) 4 silinder dual VVT-i petrol dengan gandingan transmisi automatik 4 kelajuan. Sama seperti mana-mana kenderaan yang menggunakan casis ladder frame, semua kuasa dan tork Aruz dipacu ke roda belakang.

Pilihan terbaik di antara 2 varian Aruz semestinya varian 1.5 AV. Perbezaannya, hanya varian ini datang dengan Advance Safety Assist 2.0 (ASA 2.0) dengan Advanced Driver Assistance System (ADAS) versi naik taraf Perodua. Ciri ini mempunyai had operasi yang lebih baik dan penambahan fungsi pengesan pejalan kaki bagi sistem Amaran Pra-Pelanggaran (PCW).

Namun, sekiranya anda tidak memerlukan ASA 2.0 dan kemasan dalaman kulit, varian pengenalan 1.5X adalah mencukupi.

Kelebihan dan kekurangan

Secara amnya, disebabkan Aruz adalah model yang berasaskan Toyota, keandalannya lebih terjamin dengan kos penyelenggaraan yang rendah.

Pembeli yang mencari kenderaan penumpang lebih daripada 5 orang akan merasa berpuas hati apabila mengetahui tempat duduk barisan ketiga mampu memuatkan orang dewasa berketinggian sederhana. Ini kerana tempat duduk barisan tengah boleh dilaraskan depan belakang atau dibaringkan untuk memberi lebih ruang. Pendingin hawa bahagian belakang pada varian 1.5AV juga cukup sejuk untuk penumpang belakang.

Aruz juga dilengkapi dengan ciri keselamatan yang baik dengan kesemua varian didatangkan standard dengan 6 beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan cangkuk anti ragut yang menjadi standard. Pujian harus diberikan kepada pihak Perodua kerana tidak memandang remeh soal ciri keselamatan.

Namun begitu, Perodua Aruz juga mempunyai kekurangannya. Penggunaan casis ladder frame membuatkan Aruz terasa berbuai ketika melalui jalan yang tidak rata, dan ini akan membuatkan pemanduaan dalam bandar terasa kurang selesa. Namun di atas lebuh raya, penggunaan profil kelebaran tayar 215 menjadikan pemanduan lebih stabil pada kelajuan sederhana.

Penggunaan bahan api juga agak tinggi disebabkan talaan nisbah gear yang disesuaikan bagi menampung beban kereta dan muatan. Bila mencapai kelajuan 110 km/j, enjinnya berpusing pada 3,500 rpm, takuk yang agak tinggi. Ini menyebabkan penggunaan bahan api yang tinggi dan bunyi yang agak kuat pada had laju lebuh raya.

Kelebihannya? Aruz mampu menampung beban berat yang tinggi serta memudahkan pemanduan melalui jalan yang mencabar hasil daripada kerangka yang tegar.

Ada alternatif lain?

Bertentangan dengan tanggapan umum, bukanlah pesaing yang sama segmennya kepada Aruz. Kedua duanya berada dalam julat harga yang berlainan dan segmen serta menarik minat pembeli yang berbeza. Membandingkan kedua dua SUV ini kerana mereka merupakan kereta pengeluar tempatan adalah tidak adil.

Pesaing terdekat Aruz yang lebih sesuai adalah Honda BR-V dan ‘kembarnya’ Toyota Rush. Honda BR-V menawarkan karakter pemanduan yang lebih ‘seakan akan’ kereta dengan penggunaan bahan api yang lebih baik. Namun ianya hanya dilengkapi dengan 2 beg udara. Tambahan pula, harganya adalah RM 10,000 lebih mahal.

Toyota Rush pula menanggung kelemahan yang sama seperti Aruz cuma terdapat sedikit ciri tambahan seperti Pemantauan Titik Buta, Kepekaan Trafik Lintasan Belakang dan Kamera Pandangan Panoramik 360 darjah. Namun, tanda harga RM 93,000 ke RM 97,000 agak sukar untuk diterima kerana kedua-dua SUV secara asasnya adalah ‘sama’.

Comments