Perodua D55L dengan bodykit Lamborghini Urus. Bukan Aruz ya!

Haris · Aug 25, 2020 11:00 AM

Perodua D55L

Perodua D55L masih jauh lagi dalam perancangan Perodua namun kembarnya iaitu Toyota Raize dan Daihatsu Rocky sudah pun berada dalam pasaran luar. Oleh hal yang demikian, kedua-dua model kembar Perodua D55L ini telah cukup matang dalam pasaran untuk menerima modifikasi-modifikasi oleh pihak ketiga.

Toyota D55L dengan modifikasi Blitz

Kami pernah memaparkan Toyota Raize / Daihatsu Rocky dengan bodykit yang lebih garang tetapi kali ini model tersebut telah dipasangkan dengan bodykit ala Lamborghini Urus. Menarik bukan?

Sebuah bengkel tuner yang terkenal di wilayah Yamaguchi, Jepun iaitu Albermo telah hadir dengan sebuah bodykit untuk Toyota Raize / Daihatsu Rocky yang nampak seperti Lamborghini Urus. Memang kreatif kerja-kerja modifikasi ini dan agak cantik juga kalau dilihat.

Lamborghini Urus adalah sebuah SUV sporty mewah yang sangat terkenal dengan rekaan bahagian hadapan yang sangat cantik. Albermo telah berjaya menggabungkan lampu hadapan Toyota Raize / Daihatsu Rocky dengan gril dan perumah lampu kabus hadapan Lamborghini Urus tanpa kelihatan kekok.

Setelah memberi usaha maksimum pada bahagian hadapan, bahagian belakang SUV segmen A ini hanya ditambah dengan spoiler but belakang sahaja. Namun begitu, tambahan spoiler belakang tersebut cukup untuk memberikan sedikit ‘ketajaman’ bagi Toyota Raize / Daihatsu Rocky ini.

Bodykit ini tidak datang dengan tanda harga yang rendah. Bagi mendapat keseluruhan gaya Lamborghini Urus ini, harganya adalah sekitar JPY 156,000 (RM 6,160). Pembeli akan menerima 1 set bumper hadapan, spoiler belakang dan jaring gril bercorak sarang lebah. Agak mahal untuk 3 barang sahaja.

Tiada sebarang peningkatan prestasi bagi Toyota Raize / Daihatsu Rocky ini. Hanya gaya sahaja yang bakal diterima. Tak salah kalau nak cuba. Perodua Aruz juga terkenal dengan modifikasi gril hadapan yang mirip Lexus.

Adakah anda berminat dengan bodykit ini? Yang lebih penting, jangan tersasul bila nak sebut Urus jadi Aruz. Lain gaya bodykit nanti jawabnya!

Comments