Perodua Kelisa: MINI kegemaran Malaysia!

Haris · Jul 23, 2020 08:00 PM

Zaman sekarang ni, kereta dibina semakin besar. Sebab itulah trend kereta sekarang ini ke arah SUV. Besar dan luas. Namun tahukah anda, SUV lebih senang terbalik berbanding sedan? Oleh itu, fikir dahulu masak-masak sebelum melompat mengikut trend masa kini.

Namun, lain pula ceritanya dengan zaman dahulu. Di bumi bertuah Malaysia ini, kita telah diberkati dengan kereta bersaiz kecil, Perodua Kancil dan Perodua Kelisa. Kedua-duanya memang mudah dipandu tetapi Perodua Kelisa menganjak paradigma kita terhadap definisi keseronokan pemanduan.

Bagi peminat kereta sejati iaitu penonton tegar Top Gear, anda tentunya masih ingat gelagat Jeremy Clarkson yang mengutuk Perodua Kelisa ini. Tak cukup dengan itu, beliau turut memusnahkan Perodua Kelisa ini dengan tukul besi dan letupan. Begitulah sikap beruk mendapat kereta.

Perodua Kelisa sebenarnya dirancang untuk menggantikan Perodua Kancil. Kedua-duanya adalah produk yang baik jadi tercetuslah idea ‘why not both?’ oleh Perodua. Oleh itu, kedua-dua model kereta ini pun dijual bersama-sama. Memang bijak mengambil peluang.

Daihatsu Mira L700

Seperti biasa, amalan rebadge sudah lama diamalkan dalam industri automotif negara. Perodua Kelisa tidak lari dari kebiasaan ini. Diambil dari model Daihatsu Mira L700, Perodua Kelisa menggunakan enjin ED-DE bersesaran 847 cc dan enjin EJ-DE bersesaran 989 cc.

Kedua-dua enjin tersebut adalah enjin yang sama dipasang pada Perodua Kenari. Gabungan saiz yang kecil dengan enjin bersesaran tinggi, maka terhasillah sebuah kereta yang mantap. Jika Azizulhasni Awang adalah The Pocket Rocket Man, Perodua Kelisa adalah 'The' Pocket Rocket.

Kredit gambar: Automachi

Keandalan yang terbukti, karakter pemanduan yang menyeronokkan dan alat ganti yang masih boleh didapati, reputasi Perodua Kelisa ternyata masih utuh di Malaysia. Nilai jualan Perodua Kelisa terpakai masih pada tahap atas RM 10k. Agak bagus untuk sebuah kereta yang sudah berusia 15 tahun. 

Perodua Kelisa mewarnai kebanyakan masa lalu kita. Sayangnya, tiada lagi kei-car seumpamanya di Malaysia. Berkemungkinan besar, faktor keselamatan adalah faktor utama bagi hentian jualan Perodua Kelisa. Apatah lagi dengan saiz kereta sekarang yang semakin besar, sudah tentu Perodua Kelisa semakin tenggelam ditelan ‘Aruz’ zaman.

Kredit gambar: Automachi

Comments