Perodua Myvi bakal hadir dengan facelift baharu. Apa yang bakal diterima?

Haris · Jul 10, 2020 06:00 PM

Perodua Myvi

Sebut sahaja Perodua Myvi, semua sedia maklum dengan kereta pilihan no 1 rakyat Malaysia ini. Siapa pun anda, angka penjualan Perodua Myvi tidak menipu. Paling laris di Malaysia!

Perodua mampu mendabik dada dengan kehebatan Perodua Myvi yang kini tidak lagi di bawah bayangan Daihatsu. Begitulah caranya untuk menghasilkan sebuah kereta pilihan rakyat Malaysia. 

Selepas 15 tahun jenama Myvi dalam pasaran, tahun ini dijangka Perodua Myvi akan diberikan facelift. Nak tahu mengapa? Ikuti perkembangan Myvi di sini.

Selalunya, jangka hayat sesebuah model hanyalah sekitar 5 tahun. Namun terdapat beberapa model yang mampu pergi sejauh 7 tahun hatta 10 tahun sekalipun (Perodua Alza) atas faktor-faktor tertentu.

Berikut adalah jangka hayat Perodua Myvi di Malaysia:

  • Myvi generasi pertama: 2005 hingga 2011 (6 tahun) facelift tahun 2008
  • Myvi generasi kedua: 2011 and 2017(6 tahun) facelift tahun 2015

Myvi generasi ketiga telah dilancarkan pada tahun 2017. Kini, ura-ura mengatakan bahawa Perodua Myvi generasi ketiga bakal menerima facelift. Mengikut anggaran, facelift tersebut dijangka akan diberikan pada tahun 2020 ini. Apatah lagi bila Proton Saga baru sahaja menawarkan Edisi Ulangtahun

Sumber kami mengatakan bahawa Perodua Myvi bakal menerima facelift paling awal hujung bulan Jun 2020 ini. Macam biasa, Perodua mengambil peluang untuk masuk pasaran bila Proton menayangkan kereta baru yang suam-suam kuku.

Jangkaan untuk Perodua Myvi facelift baru

Paling penting sekali, Perodua Myvi ini pastinya akan ditawarkan dengan sistem keselamatan Perodua Advanced Safety Assist 2.0 (ASA 2.0).

Setakat ini, hanya Perodua Myvi yang masih mempunyai ASA 1.0. Hal ini kerana, ASA 2.0 hanya dikemaskini lebih kurang setahun selepas Perodua Myvi dilancarkan.

Sumber kami turut memberi khabar angin bahawa Perodua Myvi akan diberikan warna baru. Berkemungkinan besar, warna biru seperti Perodua Bezza. Ada yang berkenan?

Selain itu, turut berkemungkinan besar adalah Perodua Myvi akan diberikan varian baru. 

Varian tersebut adalah sebuah varian yang mendapat sambutan hangat sewaktu KLIMS 2018. Tidak lain dan tidak bukan, Perodua Myvi GT (konsep).

Perodua Myvi GT adalah berdasarkan Perodua Myvi 1.5 Advance. Buat masa sekarang ini, hanya terdapat 2 varian untuk Myvi bersesaran 1.5 cc oleh itu sangat sesuai jika Myvi GT ini ditawarkan sebagai varian paling atas.

Ini dikukuhkan lagi dengan pelancaran Perodua Myvi S-Edition di Brunei. Namun, Perodua telah mengeluarkan sebuah kenyataan bahawa Myvi S-Edition tidak disahkan oleh Perodua Malaysia. Tengok, Brunei pun tak sabar sabar!

Jika anda sememangnya seorang pemerhati industri automotif, pastinya anda pernah mendengar tentang Perodua Myvi Style. Ada khabar angin yang kuat mengatakan bahawa Perodua akan menawarkan varian Style selepas Perodua Axia Style.

Kami merasakan varian tersebut tidak ditawarkan untuk facelift kali ini. Mungkin selepas yang ini?

Mengenali Perodua dan tawaran produk mereka yang sangat tepat dengan citarasa rakyat Malaysia, sudah tentu Perodua akan mengambil sedikit masa untuk mengkaji impak Perodua Axia Style yang baru sahaja di pasaran tidak lebih dari 2 tahun.

Jika anda bercadang untuk membeli kereta, tunggu dulu. Perodua tentunya tidak akan berdiam diri dengan tawaran terbaru oleh Proton! 

Comments