Perodua Myvi, kereta terlaris di Malaysia

Haris · May 12, 2020 01:27 PM

Perodua Myvi

Perodua Myvi adalah kereta terlaris di Malaysia. Kepada mereka yang sedang mencari kereta harian yang bagus, Myvi seharusnya menjadi salah satu daripada pilihan utama anda.

Harga mampu milik?

Perodua Myvi adalah hatchback segmen B dengan harga sekitar RM 42,790 hingga RM 54,090.

Didatangkan dengan 2 pilihan enjin, 1.3 liter dan 1.5 liter, kedua dua enjin adalah enjin sedutan tabii 4 silinder petrol. Enjin 1.5 liter juga digunakan dalam Toyota Vios dengan talaan yang sedikit berbeza.

Pilihan paling menarik tentulah varian 1.5AV yang datang dengan Advanced Safety Assist (ASA) - ciri keselamatan brek kecemasan automatik yang akan berfungsi secara automatik apabila pemandu terlalai atau respons lambat ketika mengelakkan potensi kemalangan di hadapan. Myvi merupakan satu satunya kereta segmen B dengan ciri tersebut.

Kalau anda cuma menggunakan kereta untuk pergi balik kerja dan perkara sampingan yang lain, varian 1.3X sudah cukup memadai.

Kelebihan dan kekurangan.

Myvi terkenal sebagai kereta yang paling andal. Kadar tren kuasa nya biasa biasa sahaja dan kurang canggih, namun ini membuatkan Myvi mudah dikendalikan dan tidak rumit. Kos penyelenggaraannya murah dengan harga jualan semula yang tinggi.

Ruang dalaman Myvi juga luas, ruang kaki yang besar menyebabkan bahagian bonet menjadi sedikit kecil. Keutamaan diberikan kepada tempat duduk belakang kerana pada pendapat Perodua, tempat duduk belakang lebih banyak digunakan berbanding bonet belakang kereta. Hal ini memang tidak dapat dinafikan.

Myvi juga lengkap dengan ciri ciri yang baik. Varian termurah 1.3 liter hadir dengan Electronic Stability Control  (ESC) beserta kabin dengan cangkuk anti ragut khas untuk beg tangan. Kemasan dalamnya juga sesuai dengan sebuah kereta bajet.

Kekurangan Myvi? Kawalan selekoh tajam yang tidak begitu baik dan pemanduan yang agak ‘keras’. Bunyinya juga agak bising bila dipandu pada kelajuan lebuh raya. Pendek kata, Myvi lebih sesuai untuk kegunaan bandar.

Alternatif lain bagi Myvi?

Terdapat dua pesaing utama bagi Myvi. Kedua duanya juga adalah model terkenal dalam segmen B iaitu Proton Iriz (RM 36,700 - RM 50,700) dan Honda Jazz (RM 70,242 - RM 87,707).

Proton Iriz menawarkan kawalan pemanduan yang lebih baik tetapi ruang dalamannya lebih kecil dan transmisi auto yang kurang lancar dalam keadaan trafik ‘stop-go’ bandar. Hal ini agak bertentangan kerana Iriz menggunakan transmisi kotak gear CVT. Selain itu, Iriz juga menawarkan ‘infotainment’ kawalan suara ‘Hi Proton’ yang cukup intuitif.

Honda Jazz menawarkan ruang yang lebih luas dan praktikal. Fungsi Ultra Seats yang membolehkan tempat duduk dilipat dalam pelbagai cara untuk memberi ruang kepada muatan tambahan adalah salah satu kelebihan menarik yang ada pada Honda Jazz. ‘Feel’ pemanduan yang lebih baik tetapi harganya jauh lebih mahal. Juga terdapat dalam variasi hybrid.

Comments