Perodua Nautica – Apa cerita dengan pengganti Perodua Kembara ini?

Faisal · Oct 15, 2020 05:00 PM

Perodua Kembara telah menjadi ikon negara kerana ia cukup laris. Untuk itu, Perodua berhasrat untuk menyambung kejayaan tersebut melalui Perodua Nautica. Tanpa sebarang permasalahan teknikal, ia telah menjadi model Perodua yang paling teruk dari segi jualan.

Sebelum kami merungkai punca sebenar, mari kita ikuti sejarah kereta "nasional" yang bermula sejak tahun 1985.

Sekiranya anda mengikuti sejarah automotif di Malaysia, anda mungkin mengetahui bahawa syarikat Proton dan Perodua memiliki keistimewaan dimana mereka boleh memasarkan harga yang lebih rendah berbanding jenama import yang lain.

Lihatlah perbezaan harga Proton Wira dan Toyota Corolla pada tahun 1996

Perkara ini telah mendapat kecaman dimana rakyat Malaysia yang ingin memiliki kenderaan hanya mampu membeli jenama tempatan. Keistimewaan ini juga menjadi punca akan sesetengah kereta yang berharga lebih tinggi daripada sepatutnya.

Kembali ke Perodua, Kembara terasa usang. Walaupun dengan pembaharuan melalui enjin K3-VE DVVT, SUV kompak ini telah menghampiri usia 10 tahun. Oleh itu, Perodua sekali lagi bekerjasama dengan syarikat Daihatsu untuk membangunkan pengganti Perodua Kembara berdasarkan Daihatsu Terios.

Pada Mei 2008, Perodua merasmikan model Nautica. Untuk maklumat anda, ia merupakan saudara kembar Daihatsu Terios tetapi dengan jarak roda yang pendek. Malah ia turut berkongsi tren kuasa dengan Daihatsu Terios melalui enjin 1.5L 3SZ-VE yang menghasilkan 109 PS dan 141 Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 4-kelajuan yang berpacuan 4 roda.

RM 90,000 untuk sebuah Perodua??!

Diimport sepenuhnya dari Jepun, ia berharga RM 89,900. Harga sebegini menjadikannya sebagai kenderaan Perodua yang paling mahal pernah dijual. Namun demikian, ketua syarikat Perodua yakin bahawa mereka boleh menjual sebanyak 200 unit sebulan.

Namun begitu, ia mendapat sambutan yang hambar kerana RM 90,000 untuk sebuah Perodua telah menimbulkan keraguan dalam pasaran.

Tambahan pula, Toyota Rush turut menggunakan platform sama yang dipanjangkan. Ia mempunyai 7 tempat duduk dan ruang yang lebih baik. Dengan harga yang sama, sudah tentu pembeli akan memihak kepada Toyota Rush.

Untuk pengetahuan anda, sebanyak 489 unit Perodua Nautica telah terjual tetapi penjualannya diberhentikan setelah berada dalam pasaran selama 1 tahun.

Menurut Perodua, hal ini berikutan kerana Approval Permit (AP) untuk mengimport Nautica dari Jepun sukar untuk diperoleh. Jika Perodua berupaya menyambung jualan sekalipun, amat sukar bagi Nautica untuk mendapat sambutan yang menggalakkan.

Dari sudut lain, Perodua Nautica mungkin mendapat bahagian pasaran yang lebih baik sekiranya ia dipasang tempatan (CKD). Secara teknikal, Perodua Nautica dibina dengan baik dan memiliki saiz yang cukup kompak untuk dipandu. Menariknya, Perodua Nautica memiliki nilai jualan semula yang lebih tinggi berbanding Toyota Rush kerana ia lebih “rare”.

Walau bagaimanapun, Perodua telah mempelajari sedikit sebanyak daripada penghasilan Perodua Nautica yang lalu. Hal ini terbukti apabila Perodua Aruz berharga RM 20,000 lebih murah berbanding Toyota Rush.

Kini, Perodua sedang giat membangunkan model D55L. Dengan harapan untuk memberikan kejayaan yang sama seperti Perodua Kembara, ia akan memasuki pasaran SUV yang jauh lebih sengit berbanding sebelum ini.

Comments