Polisi automotif Malaysia haru-biru, tapi kenapa Honda masih melabur di Malaysia?

Mersita · Sep 02, 2020 08:00 PM

Dalam sebulan dua lagi, Honda akan mengadakan satu lagi pelancaran perdana peringkat dunia di Malaysia, iaitu pelancaran global bagi Honda City Hybrid GN series serba baharu yang kini ditetapkan semula sebagai Honda City RS.

Apabila Honda City generasi kelima membuat debut globalnya di Thailand tahun lepas, ia dipadatkan dengan enjin VTEC Turbo 3 silinder 1.0 liter. Varian yang akan dilancarkan tak lama lagi di Malaysia adalah Honda City yang pertama sekali didatangkan dengan enjin hibrid i-MMD baharu.

Enjin hibrid i-MMD ini buat masa sekarang hanya boleh didapati di Jepun, di dalam model Honda Fit (Jazz kita), yang baru saja dilancarkan pada bulan Februari lepas. Berbeza dengan Malaysia, unit enjin turbo 3 silinder 1.0 liter yang digunapakai oleh Honda City di Thailand adalah enjin lama yang sudah ada di pasaran sejak tahun 2015 di dalam Civic.

Kami telahpun membuat rebiu tren kuasanya tahun 2015. Selain daripada diberi enjin terbaru, Honda City RS spesifikasi Malaysia yang dipasang tempatan didatangkan dengan kelengkapan yang tidak boleh didapati di negara-negara lain. Cukup istimewa, bukan?

i-MMD, Honda Sensing, LaneWatch, brek cakera belakang dan EPB adalah spesifikasi unik untuk Malaysia

Contohnya, Thailand hanya diberi brek dram belakang manakala kita pula dapat brek cakera. Pasaran kita juga adalah yang satu-satunya diberi Honda Sensing (belum pasti lagi samada kelengkapan penuh atau terhad kepada AEB saja), LaneWatch, dan juga Brek Parkir Elektrik.

Anda mungkin suka atau tak suka dengan Honda City RS, atau iklan ‘Torque Matters’ yang tular baru-baru ini, tapi anda tak boleh buat tuduhan yang Honda Malaysia memberi spesifikasi rendah atau teknologi lama untuk rakyat Malaysia. Seperti yang kami akan jelaskan nanti dalam artikel ini, Honda mempunyai sejarah panjang dimana mereka menyimpan spesifikasi terbaik hanya untuk Malaysia.

Mungkin Thailand adalah negara pertama yang melancarkan Honda City RS, tapi Malaysia akan jadi yang pertama untuk melancarkan enjin i-MMD baru dengan spesifikasi yang lebih tinggi

Malaysia seringkali dan sudah terbiasa dipinggirkan dalam pengenalan model atau teknologi baharu oleh pembuat-pembuat kereta dari luar negara.

Pasaran kita yang agak kecil dengan jumlah produksi 600,000 kereta setahun – dimana separuh daripada jumlah ini dikawal oleh Proton dan Perodua, ditambah pula dengan struktur harga yang merumitkan (rebat cukai eksais dinilai mengikut kes tertentu) – membuatkan pembuat kereta luar kurang berminat dengan Malaysia, sedangkan Thailand dan Indonesia boleh menawarkan pulangan yang lebih lumayan tanpa birokrasi yang berlebihan.

Hubungan Honda dengan Malaysia boleh dikatakan seperti kisah cinta bertepuk sebelah tangan. Pada Ogos 2007, Malaysia menjadi negara pertama dan yang satu-satunya di luar Jepun untuk memasarkan Honda Civic Type R FD2 – satu penghormatan yang cukup besar. Malah, pasaran lebih besar untuk model Honda Type R seperti AS dan UK pun tidak diberi peluang seperti ini.

Sejumlah 420 unit FD2 Civic Type R dijual di Malaysia melalui Honda Malaysia secara rasmi. Sehingga hari ini, FD2 Civic Type R dalam bentuk asal masih lagi didambakan ramai peminat kereta.

Pada 2011, Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini untuk melancarkan Honda CR-Z. Ia juga berjaya menjadi kereta dua-pintu paling mampu-milik di Malaysia, disebabkan oleh pengecualian cukai bagi kenderaan hibrid impot penuh satu ketika dahulu.

Pada Mei 2017, Malaysia lagi sekali menyambut pelancaran global – Honda Jazz Hybrid GP5 yang di’facelift’, dua bulan lebih awal daripada Jepun. Ini disusuli pula oleh pelancaran Honda City Hybrid GM7 pada Julai 2017, dan HR-V Hybrid pada Februari 2019. Sehingga ke hari ini, Malaysia kekal sebagai negara tunggal di luar Jepun yang diberi tiga model hibrid Honda ini.

Malaysia merupakan negara pertama dan yang satu-satunya selain daripada Jepun yang dapat HR-V Hybrid, City Hybird, dan Jazz Hybrid – kesemuanya dikuasakan oleh enjin i-DCD Sport Hybrid

Pasaran Malaysia juga pasaran negara pertama di rantau ini yang diberi Honda Sensing; kelengkapan yang diperkenalkan di dalam Honda CR-V pada Julai 2017. CR-V pasaran Malaysia dengan kombo Sensing dan enjin VTEC Turbo 1.5 liter juga adalah kombo yang lain daripada yang lain di rantau ini.

Di rantau ini, kombinasi VTEC Turbo + Honda Sensing di dalam Honda CR-V hanya boleh didapati secara eksklusif di Malaysia

CR-V Thailand hanya diberi enjin ‘naturally aspirated’ 2.4 liter dan enjin turbodiesel 1.6 liter, tapi mereka mempunyai pilihan 5+2 tempat duduk. Tapi, ini bukanlah sesuatu yang praktikal kerana barisan ketiga terlalu sempit untuk diduduki.

Perlu diingatkan yang Honda Civic Type R FK8 generasi terkini tidak dilancarkan di Thailand.

Siapa kata syarikat kereta seringkali menjual model lama dengan spesifikasi rendah di Malaysia? Ini mungkin benar bagi jenama kereta lain, tapi bukan Honda.

Selain daripada menawarkan produk terkini di negara kita, ramai yang tak tahu bahawa fasiliti ujian kemalangan yang satu-satunya diiktiraf oleh Global NCAP di Malaysia berjaya dibina dengan bantuan Honda. Bukannya Honda Malaysia, tapi Honda Motor Corporation. Secara percuma.

Walaupun Honda tidak mengumumkan secara rasmi yang mereka telah menghantar sekumpulan jurutera ke Malaysia (dengan kos ditanggung Honda sendiri) bagi membantu pembinaan fasiliti ujian kemalangan pertama negara kita, namun nama Honda dicat di atas atap makmal kemalangan PC3 tersebut.

Logo korporat Honda dicat di atas atap makmal kemalangan PC3 MIROS di Melaka

Kes panggil-semula beg udara Takata juga telah membuka mata rakyat Malaysia tentang kepentingan sistem pemantauan panggil-semula yang cekap. Honda agak tertekan dengan insiden panggil-semula tersebut, tapi ia juga membantu JPJ dalam penubuhan sistem rekod panggil-semula berdasarkan VIN yang paling asas di negara kita.

Samada ia akan lebih maju ke depan lagi selain daripada menjadi sistem rekod sahaja atau tidak, itu terpulang pada usaha kerajaan. Contohnya, Perodua macam tak ada masalah dengan membuat pengumuman panggil-semula secara tertutup, hanya berdoa yang surat panggil-semula mereka akan diterima oleh semua pemilik yang terkesan tanpa ada kemas-kini terkini alamat surat menyurat mereka.

Loji Honda Malaysia di Pegoh, Melaka

Walaupun dengan semua usaha ini, Honda Malaysia berdepan cabaran besar sejak dua tahun lepas. Proton X70 yang diberi pengecualian cukai eksais (hampir sepenuhnya) telah mewujudkan persaingan tidak sihat dengan HR-V dan CR-V – seperti imbas semula ke tahun 90-an dimana ‘protectionism’ Malaysia berada pada puncaknya.

Awal tahun ini, kerajaan PH mentakrifkan semula terma dan syarat insentif Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicles) walaupun kerajaan BN terdahulu telahpun menyetujui dan mengesahkan insentif ini. Langkah kerajaan PH ini menyebabkan harga CR-V melonjak naik dengan kadar sehingga RM 12 ribu. Model lain seperti City dan Jazz juga naik harga sekitar RM 5 ribu.

Bekalan Honda City Hybrid dan Jazz Hybrid di pasaran sekarang juga terganggu seketika kerana syarikat tersebut terpaksa diaudit oleh Kementerian Kewangan, iaitu oleh bekas Menteri Kewangan iaitu Lim Guan Eng.

Kejadian ini berlaku selepas pengumuman awal dibuat berkenaan perubahan dalam kiraan Nilai Pasaran Terbuka atau Open Market Value (OMV), yang lagi sekali bergantung kepada pentakrifan semula undang-undang sedia ada.

Kiraan baru ini, yang diumumkan oleh kerajaan PH dahulu, sepatutnya mula berkuat-kuasa pada 1 Januari 2021. Kerajaan Perikatan Nasional sekarang belum lagi membuat sebarang pengumuman berkaitan hal ini. Ketidaktentuan ini sangat tidak membantu industri automotif kita.

Ditambah pula dengan cerita kereta nasional ketiga. Siapakah DreamEdge dan apa sebenarnya ‘anchor company’ yang dimaksudkan? Projek masih jalankah?

Ada yang menjawab “ya”, tapi bukan Khairy Jamaluddin. Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) tersebut telah berkata yang sejak beliau dilantik pada Mac 2020, belum ada sebarang perbincangan di dalam kabinet mahupun kementerian beliau tentang projek kereta nasional ketiga yang diwar-warkan oleh kerajaan PH terdahulu.

Pelan Automotif Nasional (NAP) keempat dipenuhi dengan kata-kata hebat tapi kurang jelas untuk kegunaan perancangan masa hadapan.

Dengan semua ketidaktentuan yang menyelubungi industri ini, tak hairanlah jika beberapa pembuat kereta berjenama besar memutuskan untuk melupakan Malaysia dan melabur wang mereka di tempat lain untuk projek kenderaan hibrid/elektrik mereka.

Perkara ini agak ironik kerana Malaysia dahulu adalah perintis di dalam pembentukan polisi yang mengutamakan kenderaan elektrik, tak kisahlah kenderaan elektrik bateri (BEV) mahupun hibrid.

Selain daripada sejarah kita sebagai tapak pelancaran dunia bagi model hibrid Honda, kita juga adalah antara negara Top 5 di dunia bagi BMW dari segi bahagian pasaran untuk model hibrid ‘plug-in’. Kita juga merupakan negara pertama di luar Jerman untuk menghasilkan Mercedes-Benz S400h, juga yang pertama di luar Sweden untuk menghasilkan Volvo XC 90 T8.

Mercedes-Benz sudah berhenti membuat mana-mana model elektrik di Malaysia. Sebaliknya, mereka telah berbelanja lebih daripada RM 450 juta bagi menaik-taraf loji mereka di Thailand untuk menghasilkan model hibrid ‘plug-in’ dan elektrik, termasuklah sebuah loji bateri – salah satu daripada enam buah loji bateri di dunia untuk Daimler.

BMW Malaysia masih menghasilkan model 530e, X5 45e, dan 740Le di Kulim, Kedah. Mereka juga ada perancangan untuk model 330e generasi G20, tapi pelaburan besar ini telah dialihkan ke Thailand, di mana BMW juga ada sebuah loji bateri bernilai RM 70 juta di sana.

Toyota melabur RM 2.7 bilion bagi loji bateri di Thailand, yang juga melibatkan fasiliti kitar-semula bateri – satu-satunya yang ada di luar Jepun.

 Baru-baru ini, Hyundai mengumumkan yang mereka akan membina loji pengilangan kenderaan elektrik. Dalam banyak-banyak negara, mereka memilih Singapura. Pengumuman ini menyusul sejurus selepas pelaburan bernilai RM 11.7 bilion dibuat untuk membina sebuah loji di Indonesia.

Tapi, walaupun dengan semua perkembangan ini, ia agak mengejutkan yang pendirian Honda dengan Malaysia masih tidak berubah. Tapi, mungkin juga keputusan sudahpun dibuat beberapa tahun yang lalu dan agak terlambat bagi mereka untuk berpatah balik sekarang.

Selain daripada Honda, kami juga sedar yang Toyota akan memperkenalkan Corolla Cross Hybrid tahun hadapan. Tapi, lagi sekali, ia barangkali adalah keputusan yang sudah dibuat sejak awal lagi.

Kerajaan PN baharu perlu menjelaskan lagi perkara-perkara berikut:

1. Insentif kenderaan elektrik (EEV) – Bilakah tarikh luputnya? Apakah terma dan syaratnya? Perkara-perkara ini harus dijelaskan dengan lebih terperinci, bukannya dibincangkan secara tertutup dan dibiarkan saja untuk ditakrifkan semula apabila ada peralihan kuasa lagi nanti.

2. NAP – Kurangkan ayat-ayat ‘iklan’, lebihkan sasaran yang dapat diukur/lebihkan insentif dengan garis masa yang lebih spesifik.

3. Perubahan dalam OMV – Masih ‘on’kah kuat-kuasa pada 1 Januari 2021 nanti?

4. Kereta nasional ketiga – Kenapa ia dipanggil kereta nasional kalau ia dibiayai secara persendirian? Jadi atau tidak? Kalau jadi, bagaimanakah suasana persaingan bagi pelaburan asing nanti?

5. Peta pelan polisi bahan api – Bila kita nak ubah standard Euro 5 dan Euro 6, dan bagaimanakah mekanisme penetapan harga akan berubah? Jika kita masih lagi di takuk ini, banyak enjin akan menjadi tidak serasi dengan bahan api tempatan kita.

Pembukaan ‘No.2 Line’ Honda di loji Pegoh Honda, pada tahun 2014

Peluang kita masih terbuka lagi buat masa sekarang. Kerajaan PN baharu masih lagi boleh menangani ketirisan pemerintahan terdahulu. Tapi, sama seperti kisah cinta bertepuk sebelah tangan yang biasa kita dengar, pada satu hari nanti Honda terpaksa mengaku yang mereka telah di’friend-zoned’ dan terpaksa ‘move on’, mengangkat kaki dan pergi.

Comments