Potong stim: Toyota Corolla Altis selesa tetapi tidak praktikal!

Zamil Syaheer · Jun 30, 2020 05:35 PM

Toyota Corolla Altis

Toyota Corolla Altis antara sebuah nama yang dikenali di Malaysia, tapi tanggapannya bergantung kepada generasi mana yang anda kenali.

Pada para pembaca kita yang lebih berumur, pasti anda ingat model generasi AE101 dan KE70. Mereka akan memberitahu anda kenapa Toyota Corolla jauh lebih baik dari Honda Civic.

Mana yang mula bekerja pada awal tahun 2000 pula akan ingat model ZZE120 yang terkenal dengan slogan ‘Break Into Style’. Sebelum Honda Civic FD, model ini satu ketika dahulu digalai oleh eksekutif muda.

Ini adalah ketika nama Toyota Corolla Altis gah sebagai produk dan pemasaran yang unggul (segmen ESC pertama, kawalan injap berubah-ubah). Iklan ZZE120 juga memaparkan Brad Pitt.

Selepas itu sinar cahaya Corolla tenggelam kerana model seterusnya tidak ada daya tarikan maupun spesifikasi yang menarik perhatian pembeli.

Ini memberikan peluang kepada Honda Civic untuk menaiki takhta dan meletakkan posisinya sebagai raja sedan segmen C.

Corolla Altis generasi terbaharu dengan platform TNGA adalah sebuah produk berketrampilan tinggi. tetapi untuk menaikkan semula nama Corolla di Malaysia ini akan mengambil masa beberapa tahun.

Toyota Corolla Altis yang baru ini datang dengan pengalaman pemanduan dan spesifikasi yang menarik. Ia datang dengan CVT yang responsif, bertindak balas dengan lebih baik pada pecutan/pengurangan pada kelajuan, mempunyai logik pergeseran yang sangat baik dan sangat cekap.

Di jalan berbukit, transmisi CVT ini sentiasa berada pada nisbah gear yang betul. Paddle shifters juga ada, tapi pemetaan penukaran gear amatlah baik sehingga anda tidak perlu menggunakannya.

Malah, kawalan pengendalian dan keselesaan perjalanan Corolla Altis jauh lebih baik dari Honda Civic ketika melalui jalan berliku.

Dari segi kelengkapan, Corolla Altis menawarkan kelengkapan yang sama seperti Honda Civic termasuklah sistem ADAS Toyota Safety Sense. Sebagai bonus, ianya juga hadir dengan kamera 360-darjah. Civic pun tidak ada kamera ini.

Namun apabila berbicara soal kuasa, disinilah Toyota Corolla Altis tampak ketinggalan zaman. Jika nak dibandingkan dengan Honda Civic 1.5 TC-P, kuasa 139 PS dengan tork 172 Nm yang hadir dari enjin 1.8 liter 4-silinder aspirasi natural Corolla tidak dapat melawan enjin 1.5 liter 4-silinder pengecas turbo Civic yang menghasilkan 173 PS dan 220 Nm tork.

 

Tetapi, kuasa kuda bukanlah kelemahan utama Corolla Altis. Semestinya peminat pemanduan seperti kami inginkan lebih dari itu tetapi kebanyakkan pembeli kereta tidak berfikir sama seperti kami.

Pada kebanyakkan pengguna, prestasi pemanduan Toyota Corolla Altis adalah cukup baik. Enjin 2ZR-FE Dual VVT-I nya lancar, tahan lasak dan efisyen.

Apa yang potong stim sebenarnya ialah kabinnya yang kecil. Bagi rata-rata pembeli kereta, ruang interior dan tahap praktikaliti jauh lebih penting dari kuasa kuda. DIsinilah para pembeli akan hilang minat terhadap Corolla Altis dan terus ke bilik pameran Honda.

Pandangan pertama sangat lah penting sebelum uji pandu. Walaupun Corolla Altis datang dengan CVT dan pengendalian yang terbaik dalam segmennya, anda akan terasa sempit didalam kabinnya.

Ruangan kaki dan bahu sempit!

Toyota Corolla Altis ada sedan segmen C, tapi sebaik saja anda duduk didalam ia terasa seperti anda duduk di dalam sedan segmen B seperti Honda City

Sekali pandang panjang bangku Honda Civic pun dah boleh nampak beza.

Tempat duduk belakang lebih selesa untuk dua orang penumpang. Kabinnya juga tidak praktikal kerana tempat penyimpanan terhad. Lihat sajalah saiz konsol tengahnya, rasanya boleh muat cermin mata hitam sahaja.

Malah tidak ada ruang di depan tuas gear untuk menyimpan barangan seperti pembaca Smart Tag, kunci pagar rumah automatik dan kad akses sekuriti. Sebaliknya Toyota meletakkan pengecas Qi tanpa wayar hanya untuk beberapa jenis telefon bimbit pintar sahaja.

Secara teorinya ia adalah sebuah kelengkapan yang baik tapi malangnya ia tidak berguna kerana telefon anda akan jatuh ketika mengambil selekoh. Apa benda lah pereka interior Toyota ni fikir…

Kabin Civic lebih luah dan ergonomiknya antara yang terbaik dalam kelasnya.

Jadi itulah kelemahan utama Toyota Corolla Altis. Apa gunanya sebuah sedan jika kabinnya tidak praktikal? Itulah sebabnya Honda Civic adalah juara segmen ini. .

Ruangan bahu sempit.

Walaupun ramai peminat memuji kuasa nya, hakikatnya lebih 40 peratus daripada Civic yang dijual di Malaysia adalah varian 1.8 liter dengan 141 PS dan 174 Nm. Ini membuktikan bahawa ketiadaan pengecas turbo pada Corolla Altis bukanlah satu masalah yang besar.

Konsol tengah Civic boleh muat bag tangan wanita beb!

Konsol tengah Civic adalah tiga atau empat kali lebih besar dari Corolla Altis. Tempat penyimpanan di sisi pintu juga lebih besar dan ruangan untuk bahu, kaki dan kepala juga luas.

Bukanlah kereta yang praktikal, tapi anda akan membelinya kerana ketahanan dan kualiti binaan yang mantap.

Satu masalah yang umum tentang Civic ialah posisi tempat duduknya yang terlalu rendah. Ini menyukarkan anda untuk keluar/masuk. Selain itu, kualiti buatan dan ketahanan model Honda terbaharu tidak sebaik dulu.

Seperti biasa, tiada kereta yang seratus peratus sempurna. Tanya diri anda sendiri sebelum membuat keputusan.

Comments