Proton Saga Berwajah Baru 1.3L Premium: Juara kereta rakyat!

Haris · May 15, 2020 10:21 AM

Kereta nasional pertama kita, Proton Saga telah dilancarkan pada tahun 1985. Dengan harga mampu milik, ianya dibangunkan dengan hasil usahasama dengan Mitsubishi Motors Corp (MMC), syarikat otomotif Jepun. Hampir semua rakyat Malaysia mempunyai sedikit sebanyak kenangan atau kaitan dengan Proton Saga.

Proton Saga telah mengalami beberapa siri penurunan segmen untuk kekal relevan sepanjang kewujudannya dalam industri automatif negara. Pada awalnya, Proton Saga dianggap sebagai pencabar kepada Honda Civic (tahun 1985), namun kini lebih dikenali oleh generasi muda sebagai pesaing kepada Perodua Bezza.

Selepas lebih 3 tahun hadir dengan wajah baru (facelift) generasi ketiga, Proton telah mengambil keputusan untuk memberikannya sebuah lagi edisi wajah baru. Langkah ini dilihat sedikit awal dalam kitaran hidup model ini namun keputusan ini telah digesa oleh rakan usahasama Proton yang terbaru iaitu Geely. Geely dilihat mempunyai perancangan rapi untuk membantu Proton kembali ke landasan yang betul.

Selepas kejayaan bersama SUV pertama Proton iaitu Proton X70, langkah seterusnya adalah untuk memberi nafas baru kepada barisan model teras. Model tersebut adalah Persona, Iriz, Exora dan Saga (atau lebih dikenali sebagai PIES) turut sama menerima kemas kini masing-masing.

Pasukan yang diketuai oleh Desmond John Pinto, Eksekutif Program Kenderaan bahagian Kejuruteraan, diberi masa 14 bulan bagi menjayakan projek penghasilan wajah baru Proton Saga. Model Iriz dan Persona yang berwajah baru juga telah menjadi rujukan mereka dalam melakukan keputusan yang seiring dengan kehendak pelanggan.

Menurut Pinto, sasaran utama untuk rekaan wajah baru Proton Saga adalah untuk menaik taraf kualiti Saga supaya menghampiri standard Proton X70. "Sejak pelancaran model halo kami Proton X70, perbezaan kualiti antara X70 dan Saga terasa sangat jelas. Kami mahu merapatkan jurang ini dengan penghasilan wajah baru," ujar Pinto dalam sebuah sesi diskusi meja bulat tertutup ketika acara pandu uji Proton Saga pihak media.

Bukan lagi kereta bajet

Selain naik taraf kualiti, perhatian juga telah diberikan terhadap kualiti binaan. Segalanya bermula apabila pelanggan menutup pintu dengan bunyi 'thump' yang lebih meyakinkan berbanding bunyi 'klank' pada model sebelum ini. Bagi saya ini adalah suatu permulaan yang baik.

Melihat desain kabin yang telah dinaik taraf ini, kualiti dan kemasannya sangat mengagumkan. Ruangan itu kini dilengkapi dengan ciri-ciri moden dan mewah seperti skrin infotainment terapung 7 inci berskrin sesentuh, panel instrumen yang baharu dengan paparan LCD pelbagai informasi dan lampu peta LED. Semua ini ditawarkan dalam sebuah kereta yang berharga RM 40,000 sahaja.

Hasil daripada perkongsian bersama Geely, Proton dapat menawarkan sejumlah ciri-ciri tersebut kerana memperolehi akses terhadap bahagian-bahagian lain yang telah dibangunkan atau digunakan oleh Geely dengan harga yang berpatutan. Oleh sebab itu, Proton juga dapat telah menggantikan Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT) yang banyak diperdebatkan dengan menggunakan penukar tork 4-kelajuan daripada Hyundai.

Anda akan berasa kagum dengan Proton Saga ini setelah menyentuh dan menekan komponen-komponen baru dalam kabinnya ini. Kerusi tempat duduknya menggunakan fabrik bertekstur seperti denim seluar jeans mahal yang tahan calar minimal dan kalis air menurut jurutera Proton. Kembali ke skrin infotainment terapungnya, respon sesentuh dirasakan sangat memuaskan dengan grafik yang cukup jelas seperti mengunakan telefon pintar. Namun fungsi 'Hi Proton'  yang ada didalam X70 tidak ditawarkan didalam Saga ini kerana ianya menggunakan teras perisian Android, dan bukannya GKUI yang dibangunkan oleh pihak Geely sendiri.

Sistem Bunyi yang bakal memuaskan hati penggemar audio.

Ya, kami tahu anda ragu-ragu dengan kemampuan 4 pembesar suara yang disediakan, kami juga begitu. Tetapi setelah menghabiskan masa pada jarak jalan raya yang jauh (KL-Ipoh dan kembali), kami yakin bahawa kualitinya cukup untuk anda menikmati lagu di atas jalan raya.

Sistem bunyi Proton Saga berwajah baru ini jelas didengari dan menghasilkan bass yang jitu walaupun ketika suara dinaikkan. Terdapat tetapan penyama (equalizer) pada paparan menu membolehkan anda melaraskan frekuensi audio berdasarkan cita rasa anda.

Kualiti audio makin terserlah dengan penebat kabin Proton Saga yang sangat baik, namun deruman yang dihasilkan oleh tayar Silverstone Kruizer NS800 masih sayup kedengaran.

Dinamik pemanduan terbaik dalam kelasnya

Tiada persaingan lain bagi sedan segmen A selain Bezza tetapi itu tidak menghalang Proton untuk melakukan Penye­lidikan dan Pembangunan (R&D) pada tempat duduk belakang. Bahkan, Proton sedang giat berusaha untuk menambah baik aspek bahagian pemanduan dan pengendalian.

Sebagai permulaan, Proton Saga kini dilengkapi dengan brek cakera depan yang lebih besar (naik 1 inci) yang diambil daripada Iriz dan Persona. Namun hasilnya, gegancu (Pitch Circle Diameter) pada rim juga meningkat dari PCD100 ke PCD114. Saiz roda dan profil tayar pula tidak berubah, 15-inci untuk varian Premium menggunakan tayar 185 / 55R15 dan 14-inci pada varian Standard menggunakan tayar 185 / 60R14.

Dengan kuasa brek yang lebih baik, para jurutera telah menentu ukur semula sistem suspensi untuk mengelakkannya gagal dibawah tekanan yang tinggi. Proton juga mengambil kesempatan ini untuk menala semula sistem stereng hidraulik - dengan erti kata lain, 'feel' stereng yang lebih 'ringan' dalam usaha meningkatkan mutu pengendalian yang lebih baik.

Sungguhpun begitu, stereng yang ringan tidak memberikan pemandu konfiden yang penuh ketika memandu pada kelajuan yang tinggi. Ini menyebabkan pemandu terasa sedikit gusar ketika mengendalikan stereng. Sebaliknya bagi penggunaan dalam bandar, pengendalian Proton Saga terasa sangat mudah dan ramai pihak akan turut menghargai usaha ini.

Secara amnya, karekter pengendalian baharu Proton Saga memberikan lebih keyakinan. Sama ada pemanduan lebuh raya berkelajuan tinggi atau jalan-jalan kecil di sudut bandar, terdapat 'feel' kecanggihan dinamik pemanduan Proton Saga yang tidak dicapai sama sekali oleh pesaingnya. Saya percaya bahawa pengendalian yang baik menjadikan kereta lebih selamat dan kini, Proton Saga adalah kereta dengan pengendalian yang terbaik dalam kelasnya.

Penerimaan 4 kelajuan otomatik.

Ramai yang melihat keputusan untuk bertukar kepada transmisi 4 kelajuan automatik merupakan langkah kebelakang, namun pada hakikatnya, ia adalah keputusan yang tepat. Transmisi yang diambil dari Hyundai ini lebih ekonomi untuk diselenggarakan malah memberikan rasa pemanduan yang lebih sporty dengan pecutan gear yang lebih kuat dan langsung.

Bahkan terdapat mod 'Sport' yang mengekalkan penggunaan gear rendah pada had sehingga 6,500 rpm dan menetapkan gear paling tinggi pada gear 3. Proton mendakwa bahawa pemandu masih mampu mencapai kelajuan tertinggi pada kedua-dua gear ke-3 dan ke-4 tanpa mendedahkan bacaan halaju maksimum.

Untuk pemanduan bandar, tiada lagi masalah semput dan lembab yang selama ini membelenggu Transmisi Pembolehubah Berterusan (Punch CVT) malah anda akan mempunyai lebih keyakinan dan konfiden apabila transmisi 4 kelajuan tersebut bertukar dan memberikan kuasanya.

Pada hakikatnya, CVT tidak sesuai dengan enjin petrol VVT berkapasiti 1.3 liter 95 PS dan 120 Nm. Hal ini menyebabkan kereta terasa lebih lembab berbanding potensinya yang sebenar. Transmisi 4-kelajuan automatik memberikan penukaran kuasa yang terus seolah olah menyuntik semangat baru kepada Proton Saga berwajah baru ini.

Ulasan ringkas

Proton Saga berwajah baharu ini memang mengagumkan di atas risalah apatah lagi di atas jalan raya. Proton mendengar segala keluhan dan rintihan pemilik dan pengguna Proton yang lalu agar dapat membina produk yang membuatkan anda ingin membelinya, dan bukan hanya sekadar untuk dijual sahaja. Perkara ini jelas membuktikan bahawa syarikat tersebut telah matang secara drastik dari segi perancangan produk.

Dengan tanda harga yang tiada bandingan (RM 32,800 hingga RM 39,800), ditambah dengan beberapa ciri berteknologi tinggi dan keselamatan yang lebih baik (ABS dengan EBD kini standard bagi semua varian), Proton Saga edisi baru ini sekali lagi menunjukkan bahawa ia kekal dengan identitinya sejak tahun 1985 - Juara Kereta Rakyat.

Proton Saga

Comments