Proton X50 bukan sekadar rebadge Binyue, ambil masa 2 tahun untuk dibina

Mersita · Sep 16, 2020 11:55 AM

Proton X50 yang dilancarkan baru-baru ini ternyata disambut gembira oleh peminat-peminatnya yang telah menunggu sekian lama. Seperti yang sudah sedia maklum, kereta penderma bagi Proton X50 adalah Geely Binyue, SUV Geely yang sudahpun dilancarkan di China sejak Ogos 2018.

SUV crossover Proton terbaru sememangnya ‘rebadge’ dari Geely, tapi prosesnya lebih panjang dan rumit berbanding sekadar menukar logo dengan beberapa perincian kosmetik baru. Bagi yang bertanya tentang sebab Proton mengambil masa yang lama untuk melancarkan Proton X50, kami ada jawapannya.

Konfigurasi pemanduan

Geely Binyue, atau dikenali di pasaran dunia sebagai Geely Coolray, adalah kenderaan dengan konfigurasi asal ‘left-hand drive’ atau pemanduan sebelah kiri. Sudah tentu, apabila masuk ke Malaysia, konfigurasi ini terpaksa ditukar ke ‘right-hand drive’ atau pemanduan sebelah kanan.

Penukaran konfigurasi pemanduan ini memerlukan banyak usaha kejuruteraan, komponen yang direka-semula, proses-proses dan ujian-ujian yang perlu dijalankan bagi memastikan kualiti dan pengalaman pemanduan dapat dikekalkan.

Antara perkara yang perlu dilakukan adalah memposisikan semula dan pelarasan semula papan pemuka, konsol stereng, pedal, kawalan fungsi pada pintu, brek, kotak gear, lampu hadapan, pengelap cermin, salur udara penghawa dingin, kotak sarung tangan dan pelbagai kabel dan wayar.

Penjuruteraan-semula dan penukaran bahagian kereta

Sebagai contoh, semasa Proton X70 dikeluarkan dahulu, Zhejiang Geely Holdings memberitahu yang sejumlah 761 bahagian atau ‘parts’ yang perlu ditukar daripada Geely Boyue untuk menghasilkan SUV pertama syarikat kereta nasional tersebut. Jumlah ini tidak termasuk bahagian kereta yang perlu dijuruterakan semula sepenuhnya.

Geely Binyue tiada penghawa dingin belakang

Beberapa bahagian yang direka untuk pasaran China tidak padan dengan iklim di Malaysia dan ia terpaksa ditukar, termasuklah komponen penyejuk dan getah. Proton X50 juga ditambah penghawa dingin untuk penumpang di tempat duduk belakang - perincian yang tiada pada Geely Binyue. Ada lagi beberapa kelengkapan yang ditambah pada X50 yang tiada pada Binyue iaitu gril Infinite Weave, port USB di tempat duduk belakang, 'ride and handling' Proton, serta enjin 1.5T serba baru.

Selain daripada tambahan ini, pembinaan X50 juga mengambil kira perbezaan dari segi bentuk muka bumi dan altitud, dimana sistem pengurusan enjin bagi SUV Proton harus dikalibrasikan semula.

Tren kuasa - Enjin 1.5T MPI

Enjin Proton X50

Enjin 1.5T MPI ialah hasil pembangunan baharu oleh Geely dan ia tidak dijual di China. Malaysia adalah pasaran pertama sekali yang melancarkan enjin ini di dalam X50. Ia mampu menjana 133 PS (5,200 rpm) dan 215 Nm (2,000 - 4,000 rpm). Pastinya pembangunan ini juga memakan masa.

Tambahan pula, Proton X50 harus menyesuaikan tren kuasa dan sistemnya untuk tetapan bahan api Malaysia iaitu RON 95 dan 97 bagi menepati undang-undang NCAP Asean untuk tujuan homologasi.

Ujian dan kawalan kualiti

Tambahan pula, setelah semua perubahan ini dibuat, ia perlu diuji dengan selengkap-lengkapnya di Malaysia untuk memastikan semuanya sesuai. Langkah-langkah ini diambil untuk memastikan Proton X50 mampu bertahan dengan keadaan lalulintas dan kesesakan jalanraya di Malaysia pada suhu 34°C setiap hari, boleh dipandu di bentuk muka bumi seperti Cameron Highlands dimana udaranya lebih nipis, serta bentuk muka bumi yang mencabar seperti di Sabah dan Sarawak.

Gambar intipan Proton X50 dalam camo

Semasa pembangunan Proton X70, Proton juga terpaksa mencari pembekal dan vendor untuk mendapatkan bahagian-bahagian kereta tempatan. Perkara ini diselesaikan dengan beberapa usaha-sama dan perjanjian bantuan teknikal dengan pembekal Geely di China. Langkah yang sama barangkali diaplikasikan untuk pembinaan Proton X50.

Proses pengubahan Geely Boyue ke Proton X70 pastinya menjadi kayu ukur bagi tenaga-tenaga kerja yang terlibat bagi penghasilan Proton X50. Kebolehan teknikal dan kejuruteraan Proton berjaya ditingkatkan dengan usaha-usaha ini dan diharapkan kualiti binaan Proton X50 akan jadi jauh lebih baik dari yang sebelumnya.

Comments