Rebiu: Berbaloikah Perodua Bezza 2020 1.3 Advance untuk RM 49,980? Lagi bagus Persona?

Mersita · Jun 06, 2020 05:35 PM

(Spesifikasi & harga 2020 Perodua Bezza | Galeri)

Ramai yang beranggapan Perodua Bezza 1.3 Advance tak padan dengan harga bagi sebuah kereta sedan Segmen A di Malaysia. Dengan tanda harga hampir RM50 ribu, adalah ia pilihan yang bijak?

Jika dibandingkan, Proton Saga 1.3 Premium 2019 paling mahal pun cuma RM 39,800 – RM 10 ribu lebih murah dari Bezza. Kalau anda ada bajet RM 50 ribu, mungkin anda boleh pertimbangkan Perodua MyVi 1.3 G (RM 50,290) atau Proton Persona 1.6 Executive (RM 49,600).

Memilih kereta dari segmen berlainan adalah perkara biasa, memandangkan pembeli amat sensitif dengan harga terutama sekali dalam keadaan ekonomi yang kurang baik. Harga dan nilai yang sepadan menjadi keutamaan bagi orang ramai diluar sana.

Semasa pelancaran, Perodua menerima tempahan paling banyak untuk Bezza 1.3 Premium X (RM 43,980) yang didatangkan dengan pelbagai kelengkapan yang memuaskan hati termasuklah fungsi masuk tanpa kunci, tayar 15 inci, ESC dan macam-macam lagi fungsi canggih. Kami rasakan Bezza 1.3 Premium X adalah saingan paling sesuai untuk Saga 1.3 Premium.

Jadi, bagaimana pula dengan Bezza 1.3 Advance yang duduk di tangga paling atas varian? Patutkah anda mempertimbangkan kereta ini dan adakah ianya berbaloi untuk dibeli?

Aspek luaran paling menarik – LED dan lampu hadapan.

Tujuan utama Perodua dalam rekaan facelift Bezza adalah untuk memberi imej sporty kerana pasaran utama mereka adalah mereka yang mahukan sedan yang sporty.

Mereka ubah bampar hadapan kepada bentuk yang lebih bersegi, dipadankan pula dengan tayar aloi 15 inci untuk memenuhi lengkungan badan tayar dengan lebih cantik. Dan yang paling penting, mereka juga memadatkan lampu hadapan sepenuhnya dengan LED bagi setiap model dalam barisan Bezza.

Lampu hadapan LED sememangnya tidak begitu penting, tetapi ia memberikan kereta tersebut feel ‘upmarket’ yang boleh dibanggakan disamping memberikan pencahayaan yang lebih baik. Walaubagaimanapun, ini bermaksud kos gantian lampu akan jadi mahal sedikit berbanding lampu halogen biasa.

Secara keseluruhannya, aspek kosmetik kereta ini agak mengagumkan. Kami cuma berharap yang bahagian belakangnya juga boleh diubah sedikit supaya tak nampak terlalu ‘kembung’. Tapi tak mengapa, Bezza facelift ini masih nampak sharp dan sporty.

Dalaman – Tiada yang menarik tapi ada penambahan

Bila masuk dalam Bezza 2020 1.3 Advance ini, mungkin anda takkan rasa banyak perubahan dari model sebelumnya. Dashboard sebelah kiri dihadapan tempat duduk penumpang telah diganti dengan permukaan plastik yang rata dengan jalur berwarna perak.

Selain dari itu, penambahan lain yang memberi plus-point kepada kereta ini adalah kluster instrumennya yang diperbaharui dengan backlit putih dan infotainmen skrin sentuh 7 inci yang ditingkatkan. Infotainmen tersebut kini memaparkan info media dari sambungan Bluetooth – ciri yang tiada pada MyVi dan Aruz.

Tetapi, pada varian Bezza ini, Perodua tidak menyertakan Pembaca Tol dibina-dalam, barangkali untuk mengurangkan kos produksi ataupun bersedia untuk peralihan plaza tol daripada laluan SmartTag kepada RFID.

Pengalaman memandu – Cukup bagus untuk bawa anda kemana-mana

Perodua Bezza bukanlah dikenali sebagai kereta yang mempunyai dinamik dalam pemanduan, tak kira sebelum atau selepas facelift.

Suspension kereta ini terlalu lembut, dan chassisnya membuatkan ia terasa melentur sedikit bila menukar haluan semasa memandu. Feel stereng tidak begitu memuaskan kerana bila memandu lebih 80 km sejam, anda harus lebih fokus dalam pemanduan kerana rasa tidak berapa stabil.

Walaubagaimanapun, pembikinan Bezza bukanlah untuk tujuan berlumba. Ia adalah sedan bajet untuk keluarga yang mengutamakan keperluan rakyat marhaen yang nak kesana kemari, mencari rezeki, balik kampung dan macam-macam lagi. Oleh itu, tak adil kiranya untuk kita mengharapkan handling seperti BMW.

Prestasi dari enjin petrol 1NR-VE 1.3-litre DVVT-i naturally aspirated 4 silinder adalah cukup sesuai untuk pemanduan harian. Ia dapat mencapai tahap kelajuan lebuhraya dengan secukupnya walaupun hanya dengan kuasa 95 PS dan 121 Nm. Walaupun ia tidak mempunyai Sport Mode seperti Saga, enjin DVVT-i terasa lebih lancar dan halus.

Secara keseluruhannya, Bezza cemerlang dalam setiap aspek yang membuatkan ia kereta bandar yang bagus. Ia mudah untuk dipandu dan diparkir, mempunyai ruang pandangan keluar yang bagus dan cukup luas untuk keluarga 5-ahli.

Tak kisahlah jika ia tak dapat menyaingi Saga dalam pemanduan, Bezza cukup luas untuk balik kampung.

Keselesaan perjalanan – 5 bintang untuk perjalanan ke lapangan terbang

Perodua telah membetulkan salah satu masalah paling utama tentang Bezza sebelum ia di facelift, iaitu sudut tempat duduk belakang. Kami telah uji sendiri dengan aplikasi protraktor dan ia menunjukan sudut pembaringan 23 darjah pada bentuk tempat duduk baru kereta tersebut.

Oleh itu, anda tidak akan duduk terlalu menegak dan kini postur duduk akan jadi lebih selesa. Tempat duduk belakang Bezza ini juga akan memberi sokongan peha yang ekstra diganding pula dengan sandaran kepala yang boleh dilaras berbanding Saga.

Elemen yang tidak diubah pula ia kolumn stereng tetap dan ia barangkali satu bahagian yang kami rasa kurang senang dalam bahagian kabin kereta ini. Tak kira apa sahaja larasan yang anda buat pada tempat duduk, stering masih terasa terlalu jauh atau terlalu dekat dengan pemandu. Bukan sahaja agak mustahil untuk dapatkan posisi memandu yang sempurna, anda juga akan rasa semakin penat semakin lama anda memandu kerana hal ini.

Penumpang hadapan pula dipadatkan dengan tempat duduk ‘semi-bucket’. Walaupun ia bukanlah seperti yang boleh dijumpai dalam Mercedes-AMG, tempat duduk ini memberi sokongan belakang dan bahu yang lebih baik bagi penumpang.

Walaupun dengan set tayar 15 inci (175/60 R15), Bezza masih boleh mengekalkan pemanduan selesa. Tapi, bunyi angin masih agak kuat bila dipandu dengan kelajuan tiga angka. Bagi pemanduan di kawasan bandar, pemanduan Bezza masih cukup senyap.

Penjimatan petrol yang paling hebat

Dalam pandu uji, kami memandu sejauh 120 km (70% bandar, 30% lebuhraya) disamping menggunakan 7.608 liter petrol pada Bezza 1.3 Advance bersamaan lebih kurang 6.34 liter/100 km.

Sepanjang pandu uji tersebut, kami nyahdayakan ciri start/stop automatik kerana aktivasi ciri ini agak kasar dan kurang selesa. Jika anda boleh memandu dengan kekurangan ini, anda boleh capai pejimatan petrol yang lebih lagi.

Hasilnya? Bezza lebih jimat dan cekap petrol berbanding Saga 1.3 yang kami anggarkan pada 7.2 liter/100 km.

Konklusi – Kenapa anda kena pilih 1.3 Advance?

Sebab utamanya adalah keselamatan. Bezza 1.3 Advance didatangkan dengan A.S.A 2.0 yang merangkumi brek kecemasan berautonomi dengan pengesan pejalan kaki, kawalan salahlaku pedal dan juga amaran tolakan hadapan.

Ciri-ciri keselamatan ini amat penting dalam pemanduan jika anda mahu memandu dalam keadaan yakin dan tenang. Bayangkan anda memandu ke rumah setelah penat bekerja dan anda berhenti di lampu isyarat. Tak semena-mena anda tersilap agak semasa brek dan masa inilah sistem kenderaan mampu mengelakkan anda dari terlanggar kereta dihadapan.

Walaupun dengan bajet yang sama anda boleh pilih segmen diatasnya, tak ada sedan lain pada harga ini yang menawarkan sistem Advanced Driving Assistance. Kami sentiasa berpendapat yang sistem keselamatan boleh membantu anda dari mengeluarkan wang yang lebih banyak dikemudian hari.

Memang diakui Perodua Bezza 1.3 Advance 2020 ini agak mahal dan tidak menawarkan dinamik pemanduan yang sama seperti saingannya. Akan tetapi, Bezza masih juga pilihan yang bernas dari semua sudut.

Ia cekap petrol, mudah untuk dipandu di bandar dan paling penting, ia padat dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih dalam mana-mana sedan Segmen A. Pendek kata, Bezza adalah sedan paling murah yang dipadatkan dengan ADAS. Berbaloi, bukan?

 

Comments