Rebiu: Mitsubishi Outlander 2.0 4WD. Ini apa yang boleh dijangkakan untuk Mitsubishi Xpander?

Haris · Sep 15, 2020 08:00 PM

Mitsubishi Outlander

Mitsubishi Outlander mungkin bukan dalam senarai pilihan SUV 7 tempat duduk tetapi jangan ketepikan dahulu SUV ini. Selain itu, kita bakal menerima sebuah lagi kenderaan 7 tempat duduk daripada Mitsubishi iaitu Mitsubishi Xpander. Oleh itu, apa yang boleh kita jangkakan tentang Mitsubishi Xpander melalui pengalaman pemanduan ‘abang’nya, Mitsubishi Outlander?

Mitsubishi Outlander adalah sebuah SUV segmen C 7 tempat duduk yang bersaing dengan Nissan X-Trail, VW Tiguan Allspace dan Mazda CX-8. Diperkenalkan pada tahun 2017, Mitsubishi Outlander dipasang secara tempatan (CKD) dan didatangkan dalam 2 enjin iaitu 2.0 liter dan 2.4 liter. Unit rebiu kami adalah model enjin 2.0 liter.

Rekaan luar

Sekilas pandang, Mitsubishi Outlander mengenakan rekaan Dynamic Shield versi awal. Gril hadapan dengan jalur krom nampak ringkas dan gagah dengan rekaan lampu petak yang sinonim dengan Mitsubishi. Rekaan Dynamic Shield yang telah dipertingkatkan pada Mitsubishi Triton dan Mitsubishi Xpander mengenakan lampu utama hadapan pada bahagian bawah.

Suka atau pun tidak, rekaan Dynamic Shield bukan sekadar gaya. Falsafah Dynamic Shield mengetengahkan keselamatan untuk pemandu dan penumpang dalam Mitsubishi Outlander dan model Mitsubishi yang lain. Gaya yang gagah dan kekar merupakan hasil daripada falsafah rekaan ini.

Rekaan Mitsubishi Outlander perlu dipadankan lagi dengan warna yang menyerlah untuk tidak kelihatan bosan. Warna putih pada unit rebiu kami tampak lebih selamat manakala kebanyakan maklum balas yang kami perolehi lebih berkisarkan warna berbanding rekaan.

Kualiti binaan juga sangat baik dengan purata celahan panel sekadar 3.5 mm sahaja untuk keseluruhan kereta. Bacaan ketebalan cat juga konsisten dan agak tebal dengan bacaan tidak kurang dari 135 micronmeter. Kedua-dua bacaan ini menunjukkan kualiti binaan Mitsubishi yang baik, jadi anda boleh jangkakan kualiti yang sama pada Mitsubishi Xpander.

Pemanduan dan kendalian

Mitsubishi Outlander 2.0 4WD dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter yang mampu menjana sebanyak 145 PS kuasa kuda dan 196 Nm tork. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT automatik dengan fungsi 4WD Multi Select. Terdapat 3 mod pemanduan dengan fungsi ini iaitu 4WD Auto, 4WD Eco dan 4WD Lock.

Sebagai sebuah kenderaan 7 tempat duduk, kuasa sememangnya menjadi persoalan paling utama. Kami mendapati Mitsubishi Outlander 2.0 4WD langsung tidak lelah kuasa (underpower) dan talaan SUV ini secara keseluruhannya agak selesa bagi kenderaan 7 tempat duduk. 

Posisi kedudukan pemandu agak tinggi, seolah-olah anda memandu sebuah kenderaan pacuan 4 roda. Kedudukan dilaraskan secara manual, menimbulkan sedikit rasa ketinggalan zaman. Tidak dinafikan, ini adalah sebuah produk tahun 2017 dan sebuah facelift sangat diperlukan untuk pasaran Malaysia ini.

Maklum balas stereng terasa seimbang dengan respons pedal minyak dan brek yang juga seimbang. Transmisi CVT yang dilengkapi tidak mampu memberikan pecutan segera (purata 13.3 saat dalam ujian pecutan 0-100 km/j) justeru pemanduan yang lebih santai dan sesuai dengan ciri pemanduan kekeluargaan adalah gaya pemanduan yang lebih baik.

Untuk sebuah kereta yang digunakan untuk menggerakkan 7 penumpang, Mitsubishi Outlander 2.0 4WD mampu melakukan tugas tersebut dengan sangat bagus. Sebagai pemandu, Mitsubishi Outlander meyakinkan dalam pemanduan lebuh raya mahu pun dalam trafik bandar yang sesak. Kami yakin ciri-ciri kendalian pemanduan akan ada pada Mitsubishi Xpander.

Rekaan dalaman, tahap NVH dan praktikaliti

Sama seperti rekaan luar, rekaan dalaman Mitsubishi Outlander juga lebih utilitarian tanpa apa-apa sentuhan dan kemasan yang menarik. Penggunaan plastik keras juga dirasakan terlalu berlebihan. Sebagai gambaran, terdapat 10 pemegang cawan tetapi kurang dari itu untuk ruang simpanan iaitu pada konsol perehat lengan tengah dan sisi pintu.

Terdapat perincian panel kayu pada bahagian papan pemuka dan pintu sebagai sentuhan kecil. Bahagian cermin pandang belakang agak sibuk dengan kamera dashcam dan sistem amaran kecemasan Mitsubishi. Susun atur penyaman udara pula lebih tertumpu pada bahagian hadapan tanpa sebarang penyaman udara belakang. Difahamkan Mitsubishi menawarkan pemasangan penyaman udara belakang sebagai pilihan tambahan.

Ruang pada Mitsubishi Outlander 2.0 4WD sememangnya agak luas, boleh dibandingkan dengan sebuah van mini. Ruang barisan ketiga mampu memuatkan 2 penumpang dan tidak keterlaluan jika kami katakan bahawa ia mencukupi untuk memuatkan 2 orang dewasa dengan gaya duduk yang lebih berlunjur berbanding berlipat.

Dari segi tahap NVH (Noise Vibration Heat), kami mencatatkan bacaan sebanyak 70.5 dB pada kelajuan 110 km/j. Bacaan ini lebih tinggi berbanding unit rebiu kami pada Nissan X-Trail. Bacaan bunyi pada bahagian baris ke 3 lebih tinggi kerana lebih dekat dengan tayar. Bacaan agak tinggi sekitar 75 dB pada kelajuan 60 km/j di baris ketiga.

Sedikit perincian keselesaan penumpang kurang dititikberatkan dalam Mitsubishi Outlander 2.0 4WD ini. Ketiadaan penyaman udara baris belakang, bunyi yang kurang senyap serta ruang but yang kecil (477 liter berbanding 550 liter pada Nissan X-Trail) perlu dikompromi.

Ruang baris ke 2

Walau bagaimanapun, keselesaan kusyen tempat duduk yang lebar dan luas, tempat duduk baris ketiga yang rasional untuk digunakan dan talaan sistem suspensi yang bagus adalah kelebihan utama bagi SUV ini.

Penjimatan minyak dan kelengkapan 

105 km jumlah keseluruhan jarak tempuh

Berdasarkan ujian dunia nyata kami, Mitsubishi Outlander 2.0 4WD mencatatkan penggunaan minyak yang agak baik iaitu 9.8 liter / 100 km. Catatan oleh sistem Mitsubishi Outlander 2.0 4WD itu sendiri adalah sekitar 9.4 liter / 100 km berdasarkan kiraan yang dipaparkan.

Selain daripada itu, Mitsubishi Outlander 2.0 4WD ini dilengkapi dengan 7 beg udara, ESC, ABS, EBD, Brake Assist dan Bantuan Mula Daki (HSA). Tiada sebarang Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) tetapi kamera 360 darjah membantu pemanduan terasa lebih selamat.

Sistem infotainment 7 inci dengan pembesar audio tweeter tidak intuitif bagi kami dan langsung diabaikan. Terasa sedikit ketinggalan zaman tetapi masih berfungsi. Fungsi Android Auto dan Apple Carplay tiada dalam varian ini tetapi hadir pada varian yang lebih atas.

Kesimpulan

Tidak banyak pilihan dalam pasaran SUV segmen C 7 tempat duduk menjadikan Mitsubishi Outlander 2.0 4WD ini masih berbaloi untuk dimiliki. Dengan harga bermula dari RM 137,888, kelebihan Mitsubishi Outlander 2.0 4WD ini datang dari segi keselesaan pemanduan, 7 tempat duduk, kendalian dan keselamatan.

Tiada sebarang petunjuk mengenai kehadiran facelift untuk model ini oleh itu jika anda mengharapkan sebarang pembaharuan, Mitsubishi Xpander adalah pilihan yang lebih sesuai. Kelebihan pada Mitsubishi Outlander ini tentunya diperbaiki pada Mitsubishi Xpander akan datang.

Jika melihat daripada Mitsubishi Outlander 2.0 4WD ini, kemungkinan besar Mitsubishi Xpander mampu memberikan lebih nilai jika anda mencari-cari kenderaan 7 tempat duduk. Ditambah dengan komitmen Mitsubishi di rantau ini, tidak dinafikan bahawa Mitsubishi Xpander akan memberikan saingan sengit dalam pasaran kenderaan 7 tempat duduk.

Comments