Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku

Owner Review · Jul 17, 2020 07:00 PM

**Artikel ini berkisar tentang pengalaman peribadi pemilik Honda City GD8 dan ia tidak semestinya mewakili pandangan WapCar.

Facebook: Muhamad Rizal b. Mohd Abd Wahab


Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku 01

12 tahun sudah usia salah satu kereta kesukaanku untuk pemanduan harianku. Honda City GD8 atau SEL i-DSi 2008 dengan kemasan warna Sparkle Grey Pearl telah memukau peminat-peminat Honda City pada era itu. Ini bukanlah kereta pertamaku, tapi ia adalah yang ketiga. Sebelum membeli Honda City IDSI ini, aku menggunakan Proton Wira 1.6 (A) Thomas Cup Edition yg kubeli pada tahun 2000 dan dijual semula pada 2008 kemudian digantikan dengan Honda City IDSI 2008.

Aku jenis yang suka memakai kereta bertahun lamanya, paling kurang pun dalam 8 tahun. Itu prinsip aku - membeli kereta yang praktikal untuk keluarga dan kegunaan harian serta kos operasi dan penjagaannya mudah dan menjimatkan.

Pada ketika itu, aku memang mencari sebuah kereta sedan yang bukan lagi kereta nasional kerana sudah 2 buah kereta nasional telah dirasai. Kali ini mahu jenama dari Jepun pula, sebabnya adalah lebih ketahanan, praktikal, alat-alat ganti yang sangat banyak di pasaran selepas 5 tahun serta harga jualan semula yang sangat tidak mengecewakan. Maka, antara dua jenama dan model dalam pilihan aku dan isteriku adalah Toyota Vios dan Honda City.

Pada tahun 2008, Toyota telah mengeluarkan Vios yang dikenali sebagai Dugong. Alamak, ini sangat tidak menarik perhatian aku dan isteriku. Ditambah pula panel meter Vios terletak di bahagian tengah ‘dashboard’. Tidak kiralah ada yang mengatakan rekaan tersebut ergonomik; helo, sebagai pemandu tegar yang sangat gemar memandu, meter adalah hak mutlak pemandu, maka meter tersebut memang sepatutnya berada di depan pemandu.

Maka, pilihan kami kini adalah Honda City IDSI walaupun dalam tahun itu juga Honda City GM2 bakal dikeluarkan. Bagi aku, harga RM79,000 yang ditawarkan untuk Honda City IDSI ini cukup berbaloi di dalam julat keupayaan kewangan kami pada ketika itu. Oleh itu, kami tidak mahu menunggu model GM2 tersebut.

Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku 02

Pandangan sisi yang masih mengancam

Untuk rekod, selain model IDSI, model City Vtec juga ditawarkan oleh Honda dalam kategori segmen B ini. Namun aku memilih IDSI kerana praktikalitinya serta penjimatan petrol yang sangat terbaik pada ketika itu. Tambahan pula, model Vtec dijual dengan harga yang lebih tinggi jauh daripada bajet aku ketika itu.

Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku 03

Sudut belakang

Apa yang sangat menarik pada Honda City IDSI ini? Berikut adalah jawapan kepada semua persoalannya. Bernadikan enjin 1.5 liter dengan kod L15A, 4-silinder dan SOHC, enjin ini mempunyai 80 lebih kuasa kuda sahaja, tidak sampai 90 kuasa kuda pun. Ia juga mempunyai 8 injap (2 injap setiap silinder) sahaja. Terkejut, kan? Kerana ini adalah spesifikasi rata-rata kereta era 70-an dahulu.

Jadi, bagaimana City ini harus beroperasi dengan cemerlang? Jawapannya adalah terletak kepada maksud IDSI itu sendiri. IDSI bermaksud "Intelligent Dual Sequential Ignition". Untuk pengetahuan semua, Honda City IDSI telah diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2003 dan bukan sahaja City, malahan Jazz 2003 pun bernadikan enjin IDSI ini. Sistem ini juga pernah diperkenalkan di dalam model Honda Stream 1.7 liter tahun-tahun sebelumnya.

Apakah sebenarnya IDSI ini? Berbalik kepada kuasa kuda Honda City IDSI ini yang tidak sampai pun 90hp dan hanya ada 8 injap sahaja dengan SOHC telah menjadi satu debat hangat di kalangan para jurutera Honda ketika itu tentang kemampuan sebenar kereta ini. Mana mungkin cukup kuasa untuk sedap dipandu serta boleh menjimatkan petrol.

Rupa-rupanya kaedah radikal telah digunapakai di mana pengenalan kepada 8 palam pencucuh yang disusun pada blok enjin dengan gaya V8, setiap satu silinder mempunyai 2 palam pencucuh, di mana palam pencucuh ini akan menyalakan api secara berkala dengan dikawal oleh unit ECU kenderaan mengikut gaya pemanduan atau bilamana kuasa diperlukan.

Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku 04

Enjin IDSI yang cemerlang

Dengan analogi mudah, dikumpulkan longgokan daun kering kemudian setiap bahagian kiri dan kanan daun kering yang telah dikumpulkan tersebut dinyalakan api serta dibakar serentak. Oleh itu, pembakaran akan lebih besar dan cepat. Inilah yang terjadi di dalam kebuk pembakaran IDSI bilamana ECU mengesan kuasa yang diperlukan seperti mendaki bukit dan sebagainya. Maka, kelapan-lapan palam pencucuh dihidupkan untuk memberi lebih pembakaran dengan kuantiti udara dan petrol yang tidak bertambah atau sama supaya lebih RPM akan terhasil. Lantas, kenderaan menghasilkan tork yang tinggi menyebabkan kenderaan bergerak lebih pantas.

Kereta lebih berkuasa dan dalam masa yang sama dapat menjimatkan bahan api. Dipadankan pula dengan sistem kotak gear CVT membantu memberi kelancaran pemanduan yang jitu. Ramai yang dengar CVT, mereka akan gusar kerana banyak terdengar tular-tular tentang kotak gear CVT yang memberi masalah. Aku tidak nafikan itu, namun sistem kotak gear CVT Honda City IDSI ini adalah yang terbaik dan tahan lasak serta berkuasa. Buktinya, keretaku sendiri yang sudah berusia 12 tahun tanpa sebarang masalah sistem kotak gear dan masih cemerlang begitu juga kepada ramai para pemilik Honda City IDSI yang lain termasuk Vtec untuk keluaran dari tahun 2003 hingga 2008.

Sudah tentu kepada yang belum biasa dengan CVT ini akan merasa janggal mana tidaknya seperti seakan-akan menunggang motor skuter gaya karekter mekanikal sistem kotak gear CVT ini. Tetapi, lama-kelamaan anda akan biasa dan merasa lebih sedap daripada sistem kotak gear automatik konvensional.

Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku 05

Papan pemuka yang masih relevan

Dengan pemanduan menggunakan lebuhraya secara maksima seperti balik kampung sebagai contoh dengan kelajuan tetapan lebuhraya dapat memberikan penggunaan petrol sebanyak 21 km untuk setiap liter. Untuk penggunaan bandar yang banyak seperti ulang-alik kerja boleh menghasilkan antara julat 14-16 km untuk setiap liter petrol. Sangat-sangat hebat sehinggakan pada tahun 2008, harga petrol RON 97 telah dinaikkan kepada RM2.70 seliter. Pengguna kenderaan lain sudah 'demam' namun pengguna-pengguna Honda City IDSI masih boleh tersenyum malahan boleh lagi menggunakan petrol RON 91 dimana harganya jauh lebih rendah jika tidak mahu mengunakan RON 97 kerana tetapan petrol untuk Honda City IDSI adalah pada minimum RON 91.

Maka tidak perlu risau akan timbulnya sebarang bunyi ketukan dalam enjin. Enjin sudah praktikal, dalaman pun serupa juga, sangat praktikal dan selesa untuk kereta penumpang kategori segmen B. Boleh dikatakan Honda City IDSI ini sangat luas kabin dan ruang kargonya jika dibandingkan dengan model-model segmen B yang ada dipasaran pada ketika itu, terutamanya saingan yang paling hampir iaitu Toyota Vios.

Kemasan dan tona warna Beige dan kelabu serta ada garapan 'wooden panel' pada sesetengah bahagian dapat memberi rasa mewah yang tersendiri. Disebabkan 'ground clearance' kereta ini agak tinggi maka kedudukan kerusi pemandu dan penumpang dapat ditinggikan sedikit lantas memberi kemudahan untuk keluar masuk kereta tanpa perlu seakan akan melompat seperti anda keluar daripada Proton Wira. Sakit pinggang dibuatnya jika berulang-ulang kali tetapi tidak dengan Honda City IDSI ini.

Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku 06

Keajaiban "Ultraseat"

Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku 07

Ruang kargo luas

Rebiu Pemilik: Honda City i-DSi Wira Hidupku 08

Kerusi belakang posisi rata

Satu lagi yang tidak ada pada mana-mana model kereta sedan dalam dunia ini selain model-model Honda tertentu adalah keajaiban kerusi belakang yang dikenali sebagai 'Ultra Seat' atau ada yang lebih suka sama ada secara jenaka memanggilnya sebagai bangku taman, terdapat lompong kosong dibawah tempat duduk belakang tersebut.

Posisi kerusi belakang yang radikal, di mana boleh dilipat ke atas untuk memberi ruang yang lebih besar kepada barangan tinggi seperti pokok bunga kesayangan atau lain-lain. Biasanya aku gunakan untuk meletak kerusi roda ibuku bila mana membawanya ke klinik saban 3 bulan sekali untuk rawatan atau basikal anakku bersaiz BMX untuk dibawa ke kedai basikal untuk dibaikpulih.

Posisi rebahkan kerusi belakang mampu memberi keadaan yang betul-betul rata tanpa sebarang benjolan, memudahkan untuk memuatkan muatan panjang. Kaki 'shopping' Ikea akan tersenyum gembira dengan kepelbagaian susunan kerusi belakang yang sangat-sangat praktikal dan unik ini. Boleh dikatakan Honda City IDSI ini seakan-akan menjadi 'semi van' dalam keadaan-keadan tertentu. Ianya sangat hebat.

Sebenarnya terlalu banyak kebaikan memiliki Honda City IDSI ini kepada mereka yang mementingkan praktikaliti seperti aku. Kebaikan-kebaikan lain yang ada pada kereta ini termasuklah radius pusingan roda depan yang agak besar memudahkan untuk membuat pusingan U, juga sewaktu membuat pusingan 3 'point' dengan tidak perlu banyak 'bersilat' dengan stereng tidak kurang juga untuk keluar masuk 'side parking'. Sangat memudahkan.

Aku mencari-cari keburukan kereta ini, hampir tiada selain daripada masalah ‘wear and tear’ cuma satu sahaja yang aku jumpa iaitu, sukar untuk melepaskannya jika sudah memilikinya kerana terlalu banyak faktor kebaikan yang membantu kepada sesiapa sahaja yang mencari kenderaan yang praktikal untuk kegunaan harian malahan untuk perjalanan jauh sekalipun, Honda City IDSI tetap selesa dan paling utama sangat menjimatkan bahan api dan kos-kos pembaikan di kala usianya semakin tua. Tua-tua pun masih 'berbisa'.

Wahai Honda City IDSI, kaulah sinar hidupku dan keluargaku, sukar bagiku untuk melepaskanmu kerana kau hebat membantu urusan harianku.

Comments

Up to 20% higher than average trade-in price

2020 Honda City RS 1.5 Hybrid

Upgrade

Add your car

Service powered by

Latest Cars