Rebiu Pemilik: Proton Preve, cinta hati kedua saya

Owner Review · Jun 30, 2020 07:30 PM

**Artikel ini berkisar tentang pengalaman peribadi pemilik Proton Preve 1.6L Turbo (CFE) 2012 dan ia tidak semestinya mewakili pandangan WapCar.

Facebook: Khazirul Izwan


Gambar 1: Sudut pandangan paling menarik untuk Preve ini

7 tahun 6 bulan – itulah umur kereta saya, Preve 1.6L Turbo (CFE) Premium. Dibeli bukan sekadar cinta kepadanya, tetapi juga kepada isteri tersayang. Orang putih kata, “Happy wife, happy life”, kan?

Sebelum Preve, saya menggunakan Toyota Altezza; 200 Hp 2.0L 6MT dengan pacuan roda belakang, lengkap dengan ekzos perang. Bagi peminat kereta, model Altezza tidak perlu diperkenalkan lagi. Altezza umpama isteri kedua saya. Keseronokan pemanduan roda belakang sememangnya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kenderaan pacuan roda hadapan. Jadi, apabila tiba masanya untuk kami menggantikan Altezza dengan kereta lain, semestinya bukan mudah untuk memilih pengganti.

Memandangkan pada kebanyakan masa, kereta baru nanti akan digunakan oleh isteri saya kerana haluan ke tempat kerja yang tidak lagi sehala dengan saya. Maka, saya memberi kebebasan untuk isteri meletakkan syarat pemilihan kereta. Cuma satu syarat saya – ia perlulah seronok untuk dipandu walaupun saya tahu tiada yang dapat menandingi keseronokan pacuan belakang. Tetapi, sekurang-kurangnya biarlah ia dapat memberikan senyuman yang lebar ketika melayan Highway Karak setiap kali pulang bercuti. Syarat isteri pula, ia mestilah transmisi automatik, sedan dan kenderaan baru (bukan terpakai). Bajet pula dibawah RM100,000.

Dengan julat harga sebegitu, pilihan yang ada untuk kereta baru amatlah terhad. Pilihan yang ada ialah Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera dan Proton Preve. Almera memang awal-awal dicantas dari senarai kerana rekabentuk kereta yang langsung tiada ‘seni’ dan sangat menyakitkan mata bagi saya. Vios dan City pula sudah kerap saya pandu, samada perjalanan jarak dekat mahupun jauh atas tuntutan kerja. Jadi, saya tahu 2 kereta ini sangat membuai walaupun hanya mengambil selekoh yang sedikit beralun. Ia boleh dinaiktaraf untuk memperbaiki masalah tersebut, tetapi saya rasa ia akan memerlukan kos tambahan selain boleh mengakibatkan waranti terbatal. Jadi, saya tolak kedua-dua kereta ini.

Gambar 2: "Standard" itu indah dan ia benar.

Yang tinggal hanyalah Proton Preve. Saya membaca review dari wartawan automotif yang acap kali memuji kehebatan pemanduan Preve. Tetapi, saya sendiri tidak pernah memandu-uji kenderaan ini. Saya masih ingat, saya dan isteri berkunjung ke pusat jualan Proton. Isteri duduk di tempat pemandu dan terus tersenyum dan bersetuju untuk tempah Preve ini, tanpa sesi pandu uji terlebih dahulu! Bila ditanya apa yang membuatkan dia bersetuju, “Sebab ada pelaras ketinggian tempat duduk pemandu,” katanya. Tepuk dahi saya. Tetapi entah kenapa, saya terus sahaja tempah kereta ini tanpa memandu ujinya juga. Kuasa cinta barangkali

Tetapi sebenarnya, saya sendiri sudah jatuh cinta dengan reka bentuk Preve itu sendiri. Sesuatu yang menarik perhatian saya sehingga kini ialah reka bentuknya yang kemas dan tidak ditelan waktu – sama seperti reka bentuk Altezza saya dahulu. Sehingga kini, saya masih merasakan reka bentuk Preve masih boleh diterima dan tampak “macho” walaupun diletakkan sebaris dengan model-model baru. Lampu projektor di kiri dan kanan yang bersambung dengan gril membuatkan kereta ini kelihatan lebar dan gagah. Garisan badan di sisi yang jelas dan kuat, tanpa diganggu elemen-elemen lain tampak sangat kemas. Komposisi 3-kotak sedan ini sangat seimbang bila dilihat dari sisi. Sangat tegap.

Gambar 3: Rekaan “3-box” yang sangat seimbang walaupun dengan garisan bayang badan seakan coupe selepas tiang D.

Bab pemanduan, memang tidak dapat dinafikan, ialah yang terbaik dalam segmennya seperti yang dimomokkan oleh wartawan permotoran. Walaupun sistem sterengnya bukanlah dari jenis elektrik, tetapi ia tidaklah terlalu berat. Sangat tegap dipegang dan memberikan input secukupnya terhadap apa yang berlaku pada tayar.

Mungkin pada yang sudah terbiasa dengan stereng jenis elektrik akan merasakan stereng Preve ini berat terutama sekali ketika pemanduan perlahan seperti memandu keluar dari kawasan tempat letak kereta. Tetapi, sebaik tayar bergolek, ia tidaklah seberat mana. Malah, anda akan menghargai keberatan yang ada kerana anda tahu dimana tayar patut diletakkan kerana input yang cukup disampaikan oleh stereng Preve ini.

Walaupun setelah 175,000 km, pemanduan Preve ini masih kekal mantap. Sudah pasti setelah 7 tahun, 'bush' di bahagian 'link' pada suspension depan dan belakang sudah perlu diganti. Ada yang sudah terlalu keras dan ada yang sudah merekah. 'Shock Absorber' juga sudah "mati", mungkin akibat selalu layan selekoh. Bagi saya, ini normal untuk mana-mana kereta kerana ia adalah bahagian “wear & tear” yang ada jangka hayatnya.

Gambar 4: Enjin yang bertenaga, sayangnya dipasangkan dengan transmisi CVT. Memerlukan kesabaran dan pemahaman untuk penggunaan secara optimum.

1.6L Turbo engine CFE ini bukanlah yang paling berkuasa ketika zamannya, apatah lagi jika dibandingkan dengan enjin-enjin moden. Digandingkan pula dengan CVT, ia memerlukan sedikit kesabaran dan latihan untuk membiasakan diri bagi mengeluarkan kuasa penuh dari enjin ini. Ia tidak boleh ditekan secara mendadak. Pendikit minyak perlu ditekan secara beransur-ansur untuk penghantaran kuasa yang lancar.

Setelah mahir dengan aspek ini, saya tidak lagi cuak ditinggalkan seketika ketika sesi drag di lampu isyarat kerana saya tahu Preve ini akan mampu mengejar pesaingnya di pertengahan perlumbaan. Ditambah dengan pemanduan yang mantap, saya yakin untuk memotong di selekoh dan meninggalkan kereta pesaing yang perlu menekan brek di selekoh.

Bagi mengekalkan prestasi sebegini dan memastikan jangka hayat enjin dan transmisi CVT lebih panjang, saya memastikan supaya minyak pelincir ditukar mengikut had perbatuan yang ditetapkan dan tidak melebihi had terlalu jauh. Saya hanya menggunakan minyak pelincir yang disyorkan oleh Proton sahaja terutama minyak CVT kerana banyak kes CVT rosak dilaporkan di kelab pemilik Preve akibat minyak pelincir yang tidak sesuai. Selain itu, 'throttle body' dan 'turbo' juga perlu diservis secara berkala. Ini antara pelajaran yang diperolehi daripada pemilik-pemilik Preve di kelab pemilik Preve.

Gambar 5: Reka bentuk dalaman sudah menampakkan usia terutamanya unit radio yang mempunyai bezel yang tebal.

Bagi isteri saya pula, dia juga sangat berpuas hati dengan Preve. Selain tiada lagi kedengaran ekzos perang seperti Altezza dahulu, dia juga menyukai ruang dalaman yang sangat luas untuk membawa kami berempat sekeluarga dan juga seluruh isi kandungan almari di rumah ke dalam ruang bonet Preve yang sangat luas.

Tempat duduk yang boleh dilaras ketinggiannya juga membantu isteri untuk menetapkan kedudukan pemanduan yang sesuai bagi dirinya memandangkan kami berdua berada pada 2 penghujung spektrum berbeza bagi saiz dan ketinggian. Tempat duduk juga sangat selesa, terutamanya untuk saya yang berbadan besar. Kusyen bawah punggung juga cukup panjang untuk menampung keseluruhan panjang peha saya dan tidak membuatkan peha saya tergantung sebahagiannya.

Gambar 6: Auto-cruise – Fungsi paling berguna ketika di lebuhraya.
Audio button – Fungsi wajib kenderaan masa kini.
Paddle shifter – Fungsi paling over-rated, terutamanya untuk kereta CVT.

Saya kira, keputusan saya 7 tahun dahulu tidak salah, malah sangat tepat. Preve bukanlah kereta yang sempurna – ada cacat cela dan rosak serabutnya. Tetapi, ia bukan sahaja memenuhi citarasa dan keperluan keluarga saya. Ia juga mengisi keperluan seorang lelaki yang kadangkala masih merasakan dirinya mat rempit remaja.

Comments