Rebiu: Perodua Aruz 1.5 AV, berbaloikah untuk RM 77,900 bagi sebuah Perodua?

Mersita · Jul 01, 2020 06:00 PM

(Harga & Spesifikasi Perodua Aruz 2019 | Galeri)

Dengan lebih kurang 25,000 unit terjual sepanjang tahun 2019, Perodua Aruz telah membuktikan statusnya sebagai model popular, walaupun ia adalah kereta keluaran Perodua paling mahal – dijual pada harga RM 72,900.

Luaran – Nampak macam Toyota Rush, kan?

Sekilas pandang, agak susah untuk kita membezakan antara Perodua Aruz dengan Toyota Rush. Memang ada perbezaan antara keduanya jika dilihat dengan lebih dekat.

Perkara yang membezakan Aruz daripada Rush termasuklah bampar hadapan dan gril yang berlainan, rim baru, dan juga bampar belakang yang direka semula. Perodua Aruz juga tiada kit badan ‘R-Blade’ Rush.

Kualiti binaan Perodua Aruz kekal konsisten, dengan jurang panel tidak melebihi 1.0 mm. Ketebalan catnya juga agak konsisten, dengan julat antara 100s – 120s mikrometer.

Dalaman – Dipenuhi plastik keras

Rekaan papan pemuka Perodua Aruz adalah berbeza daripada Toyota Rush.

Di dalam Aruz, papan pemukanya mempunyai perincian garisan perak dan hitam berkilat untuk ruang tengahnya – berbeza dengan rekaan dwi-tona Rush.

Tambahan pula, Aruz tiada jahitan palsu, iaitu perincian yang boleh ditemui pada Toyota Rush.

Sama seperti model Perodua yang lain, sebahagian besar bahagian dalamannya diperbuat daripada plastik – dari papan pemukanya sampailah ke perincian pintu.

Ia bukanlah sesuatu yang tidak menarik, kerana material ini mampu bertahan lama dan mudah dijaga.

Oleh itu, Aruz juga diberi balutan kulit pada pintunya yang meningkatkan lagi suasana kabinnya.

Beberapa perkara pelik yang kami jumpa di ruangan kabinnya ialah kekurangan alat kawalan bunyi fizikal pada unit kepalanya. Tambahan lagi, kawalan audio pada sterengnya tidak mempunyai butang senyap.

Prestasi Pemanduan dan Kawalan

Dengan hanya 102 PS dan 133 Nm janaan kuasa, Perodua Aruz bukanlah sebuah kereta berprestasi tinggi.

Pandu uji kami menunjukkan yang Perodua Aruz mampu melakukan pecutan 0-100 km/jam dalam masa 15.7 saat, manakala ujian 0-100-0 km/jam pula dapat dilengkapkan dalam 19.3 saat.

Sterengnya yang ringan juga memudahkan proses kawalan dan jika dipadankan pula dengan radius pusingannya yang ketat, memparkir kereta menjadi lebih mudah.

Dibandingkan dengan pantauan 360-darjah yang ada pada Toyota Rush, Perodua Aruz hanya ada kamera undur.

Transmisi automatik 4-kelajuan adalah satu-satunya pilihan yang kami dapat dan ia agak mudah untuk beralih dari satu gear ke gear yang lain. Peralihannya lancar, tetapi penurunannya boleh jadi lebih responsif. Transmisinya agak mengambil masa untuk turun, oleh itu sila rancang terlebih dahulu sebelum memotong kenderaan di hadapan.

Keselesaan Pemanduan – Bagus, tetapi BR-V lebih selesa

Perlu diingat yang suspension pada Perodua Aruz direka untuk berat/kapasiti penuh atau ‘full load’ (7 penumpang dan bagasi). Oleh itu, walaupun dengan hanya 2 orang di dalam kereta, suspensionnya boleh dikatakan ‘under damped’ dan keselesaan pemanduannya pula terasa lebih keras.

Memandangkan pembinaannya yang ‘body-on-frame’, kawalan Perodua Aruz tidak mampu menandingi saingannya yang mempunyai binaan ‘unibody’ seperti Honda BR-V. Honda BR-V, walaupun ia sebuah MPV, menawarkan pemanduan yang lebih halus berbanding Aruz – memberikan pengalaman memandu seperti kereta biasa.

Pada 110 km/jam, kami temui yang tahap bunyi kabin berada pada 70.3 dB. Semasa Aruz tidak bergerak dan dengan penghawa dinginnya terpasang, kabinnya mempunyai tahap bunyi hanya 46.6 dB.

Kecekapan Petrol – Bagus, tapi tak hebat

Setelah memandu sejauh 111 km melalui lebuhraya dan trafik di bandar, Perodua Aruz memakan 7.5 liter/100 km petrol – tidak begitu jauh daripada kenyataan Perodua iaitu 6.4 liter/100 km.

Kesimpulannya – Pilihan yang hebat untuk orang yang ‘makan gaji’ dengan keluarga yang semakin membesar

Walaupun Perodua Aruz tidak dapat menandingi Honda BR-V dari segi keselesaan pemanduan dan tahap penghalusan secara menyeluruh, ia masih lagi juara dari segi kelengkapan keselamatan berbanding Honda.

BR-V cuma ada 2 beg udara dan kawalan stabiliti, manakala Aruz pula ada 6 beg udara (beg udara sisi dan langsir), serta Advanced Safety Assist 2.0 (ASA 2.0).

Kami sedar yang ada pilihan lebih murah seperti Proton Exora, tetapi Exora cuma ada 2 beg udara bagi semua variannya dan penggunaan petrolnya pula tidak begitu menjimatkan.

Oleh itu, bagi mereka yang tercari-cari SUV keluarga yang menyeluruh, Perodua Aruz ialah pilihan tepat – merangkumi hampir semua kemahuan pembeli termasuklah ketinggian pemanduan yang tinggi, kelengkapan keselamatan yang mencukupi serta tren kuasa yang terbukti bagus.

Tak hairanlah jika Perodua Aruz laku macam pisang goreng panas.

 

Comments