Rebiu: Proton Persona, sedan terbaik Malaysia untuk keluarga?

Haris · Jul 16, 2020 08:00 PM

Proton Persona

Proton di bawah keluarga Geely memilih Proton Persona sebagai sedan pertama mereka dalam cubaan untuk bersaing dalam kelas yang sangat kompetitif ini. Namun, adakah pilihan mereka tepat? Adakah perubahan yang dibawa Geely mampu meningkatkan persona kereta ini?

Proton Persona dilancarkan pada tahun 2016. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Proton di bawah keluarga Geely memilih Proton Persona dengan tawaran facelift pada tahun 2019.

Rekaan luar dan kualiti

Paling banyak komen mengenai rekaan Proton Persona adalah rekaan yang tidak seimbang. Kalau mata anda sakit melihat rekaan badan yang besar dengan tayar kecil, tukar sahaja tayarnya. Itupun jika anda memilikinya.

Jadi mengapakah rekaan Proton Persona kelihatan kurang seimbang? Untuk pengetahuan anda, Proton Persona berkongsi platform yang sama dengan Proton Iriz. Jika anda lihat Perodua Bezza (sedan) yang berkongsi platform dengan Perodua Axia (hatchback), masalah rekaan yang tidak seimbang memang berlaku.

Kredit gambar: The Ajerul

Bagi kami, tiada masalah dengan rekaan luar Proton Persona. Ia bukan yang paling cantik tapi tidak lah yang paling buruk. Citarasa manusia berbeza-beza. Kalau tidak, tak wujudlah golongan ‘standard itu indah’. Lagi satu, lampunya masih halogen projektor

Selain itu, kualiti binaan Proton Persona agak baik. Perbezaan antara celahan panel tidak lebih daripada 1.5 mm. Ketebalan cat juga konsisten iaitu sekitar 100 micron untuk keseluruhan kereta. Proton Persona ternyata mencapai piawai kualiti binaan yang baik.

Rekaan dalaman dan kualiti

Proton Persona direka dengan kemasan dua tona coklat beige dan hitam. Warna kabin dalaman dua tona adalah trend bagi kereta mewah. Bagi kami, warna satu tona cukup untuk sebuah kereta marhaen. Warna cair dalam kabin tidak praktikal untuk keluarga dengan anak kecil.

Mungkin kontrak dengan pengilang lama masih belum habis. Jadi untuk mengelakkan pembaziran, dua warna dipilih untuk mewarnai bahagian dalaman. Begitulah Proton diganggu kesalahan lampau.

Fungsi Hi Proton juga ada di dalam Proton Persona ini. Namun seperti biasa, arahan suara Proton Persona ini tidak menyeluruh dan hanya tertakluk kepada sistem navigasi, hiburan dan ramalan cuaca. Sesuai dengan tanda harganya.

Tambahan pula, tiada fungsi Apple CarPlay dan Android Auto untuk Proton Persona. Bagi kami, fungsi ini adalah 5 fungsi yang harus ada dalam sebuah kereta baru.

Kualiti binaan dalaman mungkin tidak begitu konsisten. Unit rebiu kami mempunyai sedikit masalah bunyi dan percubaan melipat kerusi belakang 60:40 tidak boleh dipasang semula dengan kemas selepas dibaringkan. Mungkin hanya unit ini.

Prestasi pemanduan dan kendalian

Proton Persona dijana oleh enjin VVT 1.6 liter petrol dengan bacaan kuasa sebanyak 109 PS kuasa kuda dan 150 Nm tork. 

Semasa ujian kami, Persona melengkapkan ujian pecutan 0-100 km/j dalam masa 11.7 saat, sementara jarak ujian brek 100-0 km/j mencatatkan ukuran sepanjang 45.5 meter.

Tidak dinafikan, prestasinya memang bagus tetapi keluhan terbesar sekali untuk Proton Persona ini adalah Punch CVT. 

Apa lagi yang anda jangkakan dengan Punch CVT? Tidak lancar, tersengguk-sengguk dan bunyi yang sedikit kuat boleh jadi salah satu jangkaan anda untuk Punch CVT ini.

Proton Saga facelift yang dilancarkan selepas Proton Persona ini berjaya menukarkan Punch CVT kepada transmisi 4AT. Tugas mengubah sistem transmisi ini bukan mudah. Berkemungkinan besar, Proton Persona tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk perubahan tersebut berlaku.

Keselesaan dan pengendalian pemanduan

Proton memang terkenal dalam aspek pemanduan. Seperti biasa, Proton berjaya memberi keseimbangan dalam aspek keselesaan dan pengendalian.

Ke sana ke sini menggunakan Proton Persona memang meyakinkan. Pemanduan ketika mengambil selekoh dan pemanduan pada jalan yang kasar tidak ada banyak masalah

Pada hemat kami, jenama lain ada yang sudah mampu menyaingi kemampuan Proton dalam aspek pemanduan. Proton perlu meningkatkan tawaran mereka lebih daripada sekadar aspek pemanduan.

Untuk kesenyapan kabin, Proton Persona mencatatkan bacaan 69.5 db pada kelajuan 110 km/j dan hanya 47 db ketika enjin melahu (idle) dengan penyaman udara terpasang.

Penjimatan minyak

Kami menguji Proton Persona ini dengan pelbagai ujian dan landskap jalan untuk mendapatkan segala maklumat yang boleh diambil melalui pemanduan. Bak kata Proton, it’s in the drive! Bacaan yang kami terima adalah 8.5 liter / 100 km.

Konklusi

Proton Persona ini memang menguja perasaan yang bercampur-baur. Pertama sekali, tahniah Proton kerana masih mengekalkan prestasi pemanduan yang bagus. Keduanya, penggunaan transmisi CVT telah mengurangkan pengalaman pemanduan yang bagus secara keseluruhan.

Kualiti binaan yang bagus juga sepatutnya diberikan pujian. Ternyata Proton bertungkus-lumus untuk meningkatkan persepsi terhadap kualiti mereka.

Oleh itu, untuk harga RM 54,600 bagi varian paling atas Premium, Proton Persona ternyata sedan terbaik Malaysia untuk keluarga. Nilai yang diberikan sesuai dengan harganya jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing yang lain.

Jadi, jika anda benar-benar memerlukan sebuah Proton Persona, kami memang mengesyorkan Proton Persona. Hal ini kerana, pembeli Proton Persona berkemungkinan mempunyai bajet yang spesifik. Harga Proton Persona tidak disaingi sedan lain kecuali Perodua Bezza 1.3.

Pada pendapat kami, membandingkan Perodua Bezza dan Proton Persona pada lingkungan harga yang sama memang tidak adil. Hal ini kerana kedua-duanya berbeza segmen dan disasarkan untuk golongan yang berbeza. Bagi kami, Proton Persona tetaplah sedan terbaik untuk keluarga kecil.

Comments