Rebiu: Subaru Forester 2.0i-S ES, kualiti yang sukar digambarkan?

Haris · Aug 24, 2020 08:00 PM

Subaru Forester

Subaru XV bersama-sama dengan Subaru Forester adalah 2 model yang paling banyak dijual oleh Subaru. Tahukah anda, kedua-dua SUV ini berada dalam kelas yang sama? Ya, kedua-dua SUV yang disasarkan untuk 2 kumpulan pasaran yang berbeza adalah dari kelas yang sama iaitu SUV segmen C.

Bagi SUV segmen C, memang banyak saingan Subaru Forester yang membanjiri pasaran Malaysia. Sudah tentu, model seperti Proton X70, Honda CR-V, Mazda CX-5 adalah model 3 teratas yang menyingkirkan Subaru Forester ke pilihan bukan popular. 

Popular atau pun tidak, Subaru Forester tetap mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang mungkin akan menarik minat anda. 

Rekaan luaran

Sekilas pandang, rekaan Subaru Forester ini langsung tidak menarik perhatian. Namun begitu, rekaan Subaru Forester ini mungkin menjadi kelebihan; kereta anda dilihat unik dan anda tergolong dalam golongan yang tidak suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Jangan lupa, harganya adalah antara termahal dalam kelasnya. 

Tema untuk Subaru Forester lebih kepada utilitarian. Rel bumbung untuk penggunaan kargo di atas, rekaan lampu hadapan yang besar dengan jalur DRL berbentuk C dan lampu kabus dengan perumah krom menunjukkan Subaru Forester tidak mengada-ngada dengan rekaan kosmetik yang hanya cantik dipandang.

Untuk ukuran celahan antara panel, kami mendapati jarak yang konsisten sekitar 3.5 mm di keseluruhan kereta. Bacaan ketebalan cat pula menunjukkan bacaan sekitar 110 micron meter untuk keseluruhan panel badan. 

Rekaan rim, perincian krom pada bahagian bawah di sekeliling kereta dan bukaan bonet yang tinggi adalah beberapa perincian yang menyerlahkan lagi tema utilitarian Subaru Forester ini. Kami pasti jika anda tidak mementingkan rupa paras kereta, Subaru Forester akan mengagumkan anda dalam aspek lain.

Rekaan dalaman

Rekaan dalaman Subaru Forester menyamai rekaan dalaman Subaru XV. Namun begitu, susun atur ruang pada Subaru Forester ini menjadikannya agak luas. Lihat pada cermin hadapan dan anda akan melihat ruang pemandangan yang luas. Perincian ini membantu memberikan lebih keyakinan dalam mengendalikan SUV ini.

Pada bahagian pemandu, perincian yang paling dirasai adalah radius stereng yang agak kecil. Stereng tersebut adalah stereng yang sama terdapat pada Subaru XV dengan kemasan berlainan. Selain itu, tapak peletak kaki dan pemijak pedal juga menggunakan rekaan aluminium yang sporty.

2 perincian ini seolah-olah di bawa dari warisan sukan permotoran Subaru atau mungkin lebih jimat menggunakan pembekal yang sama kerana sudah terbukti andal.

Ruang pada bahagian belakang juga luas. Kami mampu memuatkan 2 bola tenis di atas kepala dan 3 bola tenis pada ruang kaki. Tempat duduk hanya menggunakan kemasan kulit sintetik oleh itu hanya masa sahaja yang mampu membuktikan ketahanan kemasan tersebut.

Tiada tempat rehat lengan tengah pada tempat duduk tengah. Tiada dulang kecil seperti yang terdapat pada Volkswagen Tiguan. Selain itu, tiada fungsi Apple Carplay dan Android Auto pada varian ini, hanya terdapat pada varian Subaru Forester GT Edition.

Konsol tengah mempunyai pendingin hawa untuk fungsi Dual Zone Automatic Air-conditioning System. Terdapat juga 2 pengecas USB untuk penggunaan penumpang belakang. Kemasan dalaman bagi keseluruhan model ini adalah kombinasi kemasan kulit, plastik keras dan fabrik.

Kendalian dan keselesaan pemanduan

Ini adalah aspek yang paling menyerlah bagi Subaru Forester. Subaru sememangnya mengetengahkan aspek pemanduan dalam setiap model-model mereka. Subaru Forester menggunakan enjin Boxer empat silinder 2.0 liter petrol DOHC yang mampu menjana sehingga 156 PS kuasa kuda dan 196 Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan transmisi CVT lineartronic yang dibangunkan sendiri oleh Subaru.

Spesifikasi yang disebutkan sebentar tadi adalah spesifikasi yang sama terdapat pada Subaru XV. Namun seperti biasa, kedua-duanya telah ditala untuk 2 pasaran yang berbeza. Subaru Forester didatangkan dengan mod pemanduan iaitu [S] untuk Sport dan [I] untuk Intelligent.

Dalam keadaan asal, Subaru Forester diletakkan pada mod pemanduan [I]. Dalam mod pemanduan Inteligent ini, pemanduan terasa lebih tenang dan lancar. Penggunaan minyak dalam mod pemanduan ini juga seimbang dan lebih jimat.

Tidak boleh menukar gear di sini dalam mod Manual

Tekan sahaja butang [S] pada Subaru Forester ini, anda akan merasai perbezaan kuasanya. Pecutan terasa lebih mantap namun keselesaan pemanduan tidak dikompromi. Terdapat pilihan manual pada kotak gear dengan penukaran gear dilakukan dengan menggunakan pedal syif pada stereng. Penukaran gear tidak boleh dilakukan pada tombol gear.

Kekuatan fungsi AWD yang sinonim dengan Subaru turut memberikan pengalaman pemanduan yang selesa pada Subaru Forester ini. Selain itu, hanya Subaru Forester menggunakan sistem suspensi Double Wishbone pada bahagian belakang dalam kelas SUV segmen C. 

Kesemua gabungan enjin, transmisi, pacuan semua roda dan sistem suspensi ini memberikan kestabilan pemanduan yang sangat sangat baik. Kami mencuba Subaru Forester dalam pemanduan off-road dan ternyata kendalian dan keselesaan pemanduan sememangnya kekuatan terbesar Subaru Forester ini.

Ciri-ciri dan kelengkapan

Fungsi Subaru EyeSight adalah suatu fungsi yang menjadi taruhan bagi Subaru Forester ini. Fungsi ini adalah fungsi bantuan pemandu menyeluruh oleh Subaru. Keselamatan menjadi aspek penting dalam pembangunan sistem ini.

Sorotan wajar diberikan pada fungsi Advanced Cruise Control (ACC) yang berfungsi dengan sangat baik. ACC pada Subaru EyeSight sangat mudah digunakan. Hanya ekori kereta hadapan anda, tekan 'Set/-' dan ACC telah diaktifkan. Semudah itu sahaja.

Tambahan pula, Sistem Pemantauan Titik Buta dan sistem Amaran Penukaran Lorong juga diprogram dengan baik. Tiada bunyi yang menjengkelkan dengan suite bantuan pemandu yang ada pada Subaru Forester ini.

Namun begitu, Subaru Forester kekurangan dari segi saiz ruang but belakang. Terdapat fungsi Boot Memory yang membantu melaraskan ketinggian bukaan but dan power tailgate yang menutup but secara automatik. Sayangnya, tiada fungsi Kick To Open bagi Subaru Forester ini.

But belakang Subaru Forester ini agak kecil dalam kelasnya. Jika anda mahukan sebuah SUV dengan but yang paling luas, Honda CR-V adalah jawapan anda. Namun begitu, but belakang Subaru Forester mempunyai cangkuk dan soket bekalan kuasa. Sangat memudahkan pada hemat kami.

Prestasi pemanduan

Dalam ujian pecutan 0-100 km/j kami, Subaru Forester ini mencatatkan bacaan selama 11.7 saat. Jangka masa ini sangat berbeza dengan Proton X70 yang mencatatkan bacaan selama 9.7 saat. Bagi ujian jarak brek 0-100-0 km/j pula, kami mencatatkan bacaan sejauh 40.5 meter.

Bagi ujian penebat bunyi pula, kami menerima bacaan sebanyak 43.5 dB enjin melahu tanpa membuka penyaman udara. Bacaan NVH ini meningkat kepada 57 dB pada kelajuan 60 km/j dan akhirnya mencapai 69 dB pada kelajuan 110 km/j.

Untuk penggunaan minyak, kami mencatatkan penggunaan minyak sebanyak 10.4 liter / 100 km. Sebagai perbandingan, Proton X70 mencatatkan penggunaan minyak sebanyak 8.6 liter / 100 km. Kedua-duanya adalah bacaan dalam pemanduan yang pelbagai termasuklah ujian pecutan kami.

Konklusi

Subaru Forester 2.0i-S ES adalah sebuah SUV segmen C dengan kualiti yang sukar digambarkan. Ciri-ciri yang nampak di mata seperti rekaan luaran dan dalaman, penggunaan minyak, kos penyelenggaraan dan sistem infotainment kesemuanya gagal memberi bacaan yang bagus atau menjimatkan.

Namun begitu, ciri-ciri seperti ruang dalaman yang luas, ruang penglihatan pemandu yang bagus, sistem bantuan ADAS dan pemanduan yang meyakinkan agak sukar untuk diterjemahkan dan lebih subjektif.

Sistem AWD sangat membantu ketika mengambil selekoh. Sistem suspensi Double Wishbone membantu meningkatkan lagi keselesaan pemanduan kereta ini. Namun, ini antara ciri-ciri yang tidak dapat dilihat dan hanya dapat dirasai. 

Kami mengesyorkan Subaru Forester 2.0i-S ES ini namun ia datang dengan syarat yang mudah. Syaratnya adalah pembeli kereta inilah yang harus memandu kereta ini. Hanya orang yang suka memandu sahaja yang mampu menghargai sebuah Subaru Forester.

Slogan Subaru iaitu Confidence In Motion sememangnya sangat diterapkan dalam kesemua model-model mereka. Jika anda merasakan bahawa Subaru Forester 2.0i-S ES ini tidak sesuai dengan gaya anda, kami turut mengesyorkan Subaru XV. Harus diingatkan, hanya orang yang suka memandu sahaja akan menyukai Subaru.

 

Comments