Ringkasan: Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 – enjin baru 2.0L turbo, 204 PS & 300 Nm!

Zamil Syaheer · Jul 21, 2020 06:30 PM

Baru-baru ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru sahaja melancarkan Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 pemasangan tempatan (CKD) dengan enjin 2.0 liter 4-silinder pengecas turbo.

Ia menggantikan enjin 1.5 liter EQ Boost pengecas turbo dengan mild hybrid yang hadir pada C200 facelift dua tahun yang lepas. Dengan pengenalan varian baharu ini, model C200 Avantgarde tidak lagi dijual oleh Mercedes-Benz Malaysia.

Berapakah harga W205 Mercedes-Benz C200 AMG Line?

Harganya ialah RM 251,587.39 termasuk cuti cukai, RM 8,300 lebih murah berbanding C200 Avantgarde CKD yang berharga RM 259,888.

Apa beza enjin dalam W205 Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020?

Enjin 2.0 liter pengecas turbo baharu ini menghasilkan 204 PS @ 5,800 ke 6,100 rpm dan 300 Nm tork @ 1,600 ke 4,000 rpm. Ini adalah 20 PS dan 20 Nm lebih dari enjin 1.5L EQ Boost pengecas turbo dengan tork puncak lagi awal berbanding 3,000 ke 4,000 rpm sebelumnya.

Hasil kuasa dan tork yang lebih, C200 AMG Line hanya mengambil masa 7.1 saat dalam ujian 0-100 km/j berbanding 7.7 saat dengan enjin 1.5L EQ Boost. Tahap kelajuan maksima juga mampu mencapai 250 km/j berbanding 239 km/j.

Percaya atau tidak, penggunaan bahan bakar enjin petrol ini lebih kurang enjin hybrid sahaja, diantara 6.3 ke 5.9 liter untuk setiap 100 km. Transmisi kekal 9G-Tronic 9-kelajuan automatik.

Sama seperti namanya, ianya datang dengan kit badan AMG Line yang merangkumi gril radiator berlian dengan pin krom, apron depan khusus AMG dan bampar belakang dengan sirip peresap bersepadu (integrated diffuser), dan roda aloi ringan lima-bilah AMG 18 inci. Kit lain seperti lampu LED depan dan belakang kekal sama.

Untuk varian baharu ini juga, sistem suspensi telah ditukar ke jenis sports dimana ianya lebih keras berbanding unit Agility Control yang datang dalam C200 Avantgarde.

Bahagian interior datang dengan hiasan kepala antrasit dan hiasan kayu oak pori terbuka, stereng kulit Nappa yang berlubang dengan bantalan permukaan logam, paddle shifters yang telah di galvanis, pelapis kulit Artico buatan tangan, dan pedal sport AMG.

Sistem infotainment Audio 20 yang dipadankan dengan paparan skrin lebar 10.25 inci dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto kekal sama seperti sebelumnya.

Penambahan baru kepada C200 AMG Line adalah Mercedes me connect dimana ia membenarkan pemilik memeriksa status kereta mereka dari jauh melalui aplikasi untuk iOS atau Android.

Dari segi keselamatan pula, C200 AMG Line kekal sama seperti C200 Avantgarde yang datang dengan 7 beg udara, bantuan brek aktif, bantuan titik buta, kamera undur, brek kecemasan autonomi (AEB) dan kawalan pelayaran Speedtronic.

Terdapat juga sistem Mercedes-Benz Pre-Safe yang berfungsi untuk mempersiapkan penumpang dengan mengetatkan tali pinggang keledar depan, menutup tingkap yang terbuka dan menyesuaikan penahan kepala ketika kemalangan bakal terjadi.

Apakah kebaikan dan keburukan Mercedes-Benz C200 AMG Line?

Benda yang paling ketara sekali adalah umurnya. Model ini sudah berada di pasaran sejak tahun 2014, jadi sepatutnya Mercedes-Benz memperkenalkan model baharu.

Namun begitu, model global C-Class baharu masih belum lagi siap sepenuhnya, jadi ini mungkin adalah perubahan terakhir bagi model C-Class ini di Malaysia.

Seterusnya adalah tahap keselesaannya. Anda berfikir bahawa Mercedes-Benz adalah sebuah jenama yang terkenal dengan tahap keselesaan tertinggi, tetapi zaman sudah berubah.

Ketika uji pandu pendek kami, sistem suspensi sports AMG terasa lebih kurang seperti unit Agility Control yang hadir dalam C200 Avantgarde, hanya sedikit baik ketika proses pemampatan sahaja. Lalu sahaja jalan yang kurang cantik, anda akan rasakan lantunan semula yang agak keras.

C200 AMG Line juga terasa agak kekok ketika mengambil selekoh di jalan yang berliku, dan itu tidak memberi keyakinan yang penuh.

Berbanding BMW 320i G20 yang baharu, Mercedes-Benz C200 AMG Line agak ketinggalan dari segi tahap keselesan dan pengendalian. Maklumlah, model dah tua.

Walau bagaimanapun, Mercedes-Benz C200 AMG Line mempunyai pemasangan dalaman yang jauh lebih berkualiti dari 3 Series G20.

Sistem Audio 20 infotainment dengan Android Auto dan Apple CarPlay mengeluarkan bunyi yang tajam dan jelas. Ia juga senang untuk dikawal dan agak lancar.

Enjin 2.0 liter pengecas turbo petrol baharu agak tangkas berbanding enjin 1.5L EQ Boost pengecas turbo mild hybrid dari segi prestasi dan kemampuannya. Ia agak lancar dan terasa lebih halus.

Kami yakin ramai akan membelinya kerana tidak perlu lagi risau tentang perihal penjagaan sistem hybrid pada jangka masa panjang. Mungkin sebab inilah Mercedes-Benz memutuskan untuk kembali semula ke enjin petrol sepenuhnya.

Konklusi

Jika anda sedang mencari sedang eksekutif didalam lingkungan harga RM 250,000, Mercedes-Benz AMG Line ini masih lagi berbaloi untuk dibeli.

Ramai yang sukakan reka bentuk luarannya yang memang tampak kacak dan elegan. Tambah pula dengan kit AMG Line ini, memang meleleh.

Enjin baharunya juga kembali kepada tren kuasa petrol sepenuhnya, dimana ini akan menarik ramai minat pembeli yang tidak sukakan hybrid ataupun risau tentang jangka hayat bateri. Dengan kata lain, kos penyelenggaraan lebih murah dan juga mudah.

Mercedes-Benz juga menawarkan pilihan pembiayaan yang fleksibel - dari pembiayaan tradisional hingga pembiayaan leasing / belon, ada di antaranya meliputi cukai jalan, insurans, dan penyelenggaraan, bahkan untuk model yang dimiliki sebelumnya.

Tetapi jika anda inginkan sesuatu yang lebih baharu, maka BMW 320i G20 lebih sesuai untuk anda. Jika anda boleh melihat lebih dari jenama dan status, Mazda 6 2.5L facelift jauh lebih baik dan juga boleh diharap pada jangka masa panjang.

Comments