Sejarah dan Evolusi Logo Proton

Haris · May 21, 2020 07:00 PM

Jenama kereta nasional kereta kita, Proton, telah melalui beberapa perubahan logo sejak pelancaran Proton Saga pada tahun 1985. Langkah ini adalah normal dalam industri automotif bagi memberi naratif bahawa jenama ini akan sentiasa kekal segar dan relevan. Harus diingatkan bahawa BMW dan Volkswagen juga telah mengumumkan logo baru mereka baru-baru ini.

1985 - Bintang dan bulan sabit Malaysia

Proton Saga pertama menggunakan motif yang terdapat pada bendera Malaysia, untuk menunjukkan rasa bangga terhadap kejayaan Malaysia mengeluarkan kereta nasionalnya sendiri. Apa yang membuatkan logo Proton yang pertama ini benar-benar menonjol adalah logo itu bercahaya apabila lampu depan dihidupkan. Faktor ini membuatkan ia kelihatan ranggi pada zaman 80-an.

Namun, model eksport mempunyai logo yang sedikit berbeza, menampilkan bintang unik dengan pecahan 14 bintang. Langkah ini perlu kerana pembeli di pasaran eksport tidak akan melihat apa-apa kepentingan dalam memiliki atau memandu kereta yang menggunakan lambang nasional negara lain.

1993 - Mengekalkan motif Malaysia dengan sentuhan moden

Memasuki tahun 90-an, Proton mengubah reka bentuk lambangnya menjadi lebih kecil dan sedikit bulat, sambil mengekalkan motif bendera Malaysia. Proton Iswara, Proton Wira, dan Proton Perdana menggunakan versi logo ini dengan slogan yang sesuai - "Pride of the Nation" (Kebanggaan Negara).

2000 - Era baru, logo baru yang lebih radikal

Apabila memasuki alaf baru, logo Proton membuat rombakan besar dengan mengenalkan motif Harimau Malaya pada logonya dan mengasimilasikan perkataan 'PROTON' dalam huruf besar yang tebal, jauh dari identiti bendera Malaysia yang terdahulu.

Langkah itu juga bermaksud untuk pertama kalinya Proton akan menggunakan logo yang sama untuk pasaran domestik dan antarabangsa, menandakan aspirasi globalnya. Diperkenalkan pada Proton Waja, logo tersebut memiliki slogan - "Spirit of Achievement" (Semangat Kejayaan).

Sedikit fakta menarik: warna hijau pada logo Proton ketika itu menandakan hubungan erat di antara Proton dengan Lotus, di mana Proton memiliki kepentingan dalam syarikat sportscar British tersebut.

2008 - Tona yang lebih serius

Tahun 2008 menyaksikan Proton menggunakan warna monokrom pada logo dengan gaya yang lebih serius. Logo ini diperkenalkan pada Proton Saga facelift dan perubahan ini turut dicerminkan dalam tagline mereka - “Committed to be Better” (Berkomitmen untuk Lebih Baik).

2016 - Lebih besar, lebih berani

Perkataan ‘PROTON’ dikeluarkan untuk memberi nafas baharu kepada motif Harimau Malaya yang lebih besar dalam bentuk 3D dengan garis yang lebih tebal pada bahagian cincin dan perisai. Tagline yang disertakan untuk logo baru ini adalah - "It's in the Drive" (Pada pemanduannya).

2018 - Perkongsian baru, logo baru

Logo terbaru baru telah diperkenalkan atas dasar usaha sama baru dengan rakan kongsi baharu, Geely. Tiada lagi perisai, hanya tinggal lingkaran bulat sekitar harimau. Rekaan kepala harimau juga diolah semula dengan rahang menghala ke depan dan bukannya ke bawah, menandakan kekuatan, ketangkasan, keberanian dan kebanggaan.

Slogan baru yang muncul bersama sama logo baharu ini adalah - "Inspiring Connections" (Menginsipirasikan hubungan). Logo ini pertama kali muncul di model Proton X70 CKD (pemasangan tempatan) dan anda boleh menjangkakan yang ia akan muncul di Proton X50 yang akan datang.

Comments