Sejarah Toyota Alphard: Pembangunan yang menjadi raja segala MPV

Faisal · Oct 18, 2020 08:00 PM

Di Malaysia, kehangatan kenderaan jenis MPV mula menjadi jelas sejak kedatangan Toyota Estima. Walaupun Toyota Estima mempunyai saiz dan rupa paras yang cukup menonjol, sesetengah pembeli lebih gemar akan kenderaan yang lebih gah supaya kelihatan lebih ‘atas’ dalam khalayak ramai.

Dengan kebolehan yang cukup lengkap serta gaya yang dimiliki oleh Toyota Estima, pembeli sememangnya menantikan kehadiran abang sulungnya iaitu Toyota Alphard.

Generasi pertama (AH10; 2002 – 2008)

Dengan sambutan yang menggalakkan untuk MPV kelas teratas seperti Nissan Elgrand dan Honda Elysion, Toyota membangunkan model Alphard untuk bersaing dalam kelas tersebut. Menariknya, Toyota Alphard terus menjadi MPV yang terlaris di Jepun.

Secara asasnya, ia dibina berdasarkan platform roda hadapan seperti Toyota Estima tetapi dengan badan yang lebih besar. Sebagai sebuah MPV yang lebih mewah, ia didatangkan dengan lampu hadapan Xenon serta konfigurasi 7 dan 8 tempat duduk.

Di samping itu, barisan kedua mempunyai pintu gelangsar dengan kawalan elektronik untuk kemudahan keluar masuk penumpang. Toyota Alphard turut didatangkan dengan bumbung suria serta penyaman udara automatik untuk setiap penumpang.

Sebagai sebuah kenderaan yang besar, ia memiliki kapasiti ruang yang cukup mengagumkan lebih-lebih lagi apabila kerusi belakang dilipat jika tidak diperlukan.

Dari segi tren kuasa, ia didatangkan dengan enjin 2.4L DOHC VVT-i yang menghasilkan 160 PS dan 222 Nm tork. Pada masa yang sama, Toyota menawarkan enjin 3.0L V6 VVT-i yang menghasilkan 220 PS dan 283 Nm tork.

Selain itu, varian hibrid dirasmikan pada tahun 2003. Digelar sebagai Alphard Hybrid, ia berkongsi komponen dengan Estima Hybrid melalui sistem Hybrid Synergy Drive yang memiliki enjin 2.4L serta pacuan 4 roda E-Four. Di samping itu, ia memiliki teknologi brake-by-wire yang meningkatkan kadar cas bateri hibrid dan maklum balas pedal brek.

Untuk pengetahuan anda, varian yang lebih atas didatangkan dengan suspensi adaptif (Toyota Electronic Modulated Suspension) untuk kelesaan dan kawalan pengendalian yang lebih baik.

Kemaskini facelift

Dihadirkan pada tahun 2005, Toyota Alphard menerima perubahan kosmetik pada eksterior untuk mengekalkan imej yang moden. Antara pembaharuan lain yang diterapkan ialah sistem kawalan pelayaran adaptif (ACC) pada varian V6 sebagai kos tambahan. Untuk maklumat anda, Sistem adaptif pada Toyota Alphard V6 ini menjadikannya MPV Jepun yang pertama untuk memiliki teknologi sebegini.

Pada tahun 2006, Alphard Royal Lounge diperkenalkan dimana ia mempunyai konfigurasi 4 tempat duduk dengan ciri kemewahan seperti sebuah limosin.

Pada tahun akhir pengeluarannya, Toyota Alphard didatangkan dengan ciri televisyen melalui penyiaran langsung sebagai kos tambahan.

Generasi kedua (AH20: 2008 – 2015)

Pada May 2008, Toyota Alphard menerima perubahan generasi yang baharu. Ia memiliki reka bentuk eksterior yang lebih moden dan kabin yang lebih mewah. Pada bahagian luar, Toyota Alphard generasi ini didatangkan dengan pilihan kamera 360-darjah, lampu hadapan adaptif, dan pengesan antena GPS di cermin untuk sistem navigasi. Walau bagaimanapun, pengesan halangan parkir (parking sensor) hadapan dan belakang didatangkan sebagai standard.

Menariknya, pengelap cermin belakang terletak di bahagian spoiler untuk rupa paras yang lebih kemas.

Dari segi tren kuasa, enjin 2.4L yang menghasilkan 170 PS dan 224 Nm tork pada generasi ini dipadankan dengan transmisi Super CVT-i. Selain itu, Toyota menawarkan enjin 3.5L V6 Dual VVT-i yang menghasilkan 272 PS dan 334 Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan Super ECT.

Pada masa yang sama, Toyota Vellfire diperkenalkan. Model ini dihasilkan untuk pembeli yang minat akan rupa paras yang lebih ranggi dan sporty.

Antara ciri baharu yang boleh didapati pada Toyota Alphard generasi ini ialah lampu suasana (ambient lighting), peti sejuk di konsol tengah, pintu but elektronik, meja berkelah (picnic table), sistem bunyi theatre dengan 18 pembesar suara, televisyen dengan penyiaran langsung, pemain Blu-ray, dan langsir untuk privasi tambahan.

Mengenai kerusi pula, Toyota Alphard generasi ini didatangkan dengan kawalan pelarasan elektronik dengan tetapan memori untuk kerusi hadapan. Di samping itu, ia boleh dilengkapi dengan fungsi pemanas dan penyejuk kerusi serta tempat merehatkan kaki (footrest).

Pada masa yang sama, kerusi barisan kedua boleh didatangkan dengan fungsi urut Ottoman dengan kawalan pelarasan elektronik.

Buat kali pertama, Toyota Alphard generasi ini didatangkan dengan varian Welcab. Varian ini mempunyai kerusi yang memudahkan penumpang kurang upaya untuk keluar masuk kenderaan.

Dari segi keselamatan, Toyota Alphard generasi kedua didatangkan standard dengan ciri brek anti-kunci (ABS), EBD, BA, 7 beg udara, dan kawalan kestabilan kenderaa (VSC). Menariknya, sistem kestabilan ini mempunyai kawalan stereng dan brek untuk mengekalkan kestabilan.

Varian yang lebih atas pula memiliki ciri bantuan keselamatan seperti bantuan kawalan parkir (Parking Assist), kawalan pelayaran adaptif (ACC), Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, dan brek kecemasan separa automatik (AEB) dimana ia boleh mengekalkan jarak dengan kenderaan hadapan tetapi tidak boleh membuat pemberhentian sepenuhnya.

Untuk maklumat anda, ciri bantuan keselamatan yang didatangkan pada Toyota Alphard ini merupakan yang pertama di dalam segmen MPV kelas teratas.

Kemaskini facelift

Pada September 2011, ia menerima kemaskini dan pengenalan varian hibrid untuk kedua-dua Alphard dan Vellfire. Kali ini, ia menerima Hybrid Synergy Drive II yang memberikan lebih prestasi dan penjimatan minyak. Menariknya, varian hibrid menggunakan bahan plastik pada bahagian karpet lantai untuk mengurangkan berat keseluruhan.

Generasi ketiga (AH 30; 2015 – kini)

Dilancarkan pada januari 2015, Toyota Alphard generasi ketiga menampilkan rupa paras yang jauh lebih agresif. Kali ini, ia didatangkan dengan enjin 2.5L Dual VVT-i yang menghasilkan 181 PS dan 234 Nm tork. Menariknya, enjin ini mempunyai fungsi auto start-stop sebagai kos tambahan.

Toyota Vellfire generasi kedua

Selain itu, Toyota menawarkan tren kuasa V6 daripada generasi sebelumnya.

Pembaharuan pada tren kuasa generasi ini lebih ketara pada varian hibrid dimana ia kini didatangkan dengan enjin 2.5L buat kali pertama. Tren kuasa ini mampu memberikan penjimatan bahan api sebanyak 19.4 km/l.

Dari segi casis, ia menerima susunan suspensi double wishbone di belakang berbanding susunan torsion beam pada generasi sebelumnya. Toyota menggunakan susunan ini untuk meningkatkan tahap kestabilan dan keselesaan.

Antara ciri baharu yang terdapat pada Toyota Alphard generasi ini ialah meja untuk kerusi barisan kedua, sistem audio JBL, sistem kamera 360-darjah dengan See through View, ambient lighting dengan 16 pilihan warna, kemasukan tanpa kunci (Smart Entry & Push Start), dan sistem konfigurasi pintu gelangsar (Reservation Lock).

Sistem ini boleh membuka pintu gelangsar secara automatik apabila pengguna menghampiri kenderaan.

Dari segi keselamatan, ia memiliki teknologi kamera sonar sebagai peningkatan pada sistem bantuan keselamatan yang kini dikenali sebagai Toyota Safety Sense (TSS). Kali ini, sistem ini boleh berfungsi sehingga kelajuan 100 km/j dan boleh membuat pemberhentian sepenuhnya.

Kemaskini facelift

Kemaskini yang dirasmikan pada tahun 2018 menyaksikan beberapa perubahan yang menarik. Antaranya ialah lampu insyarat dengan corak pergerakan (sequential) apabila dinyalakan. Pada masa yang sama, Toyota Alphard menerima tren kuasa V6 yang baharu untuk menepati piawaian mesra alam yang lebih ketat.

Tren kuasa ini menggunakan suntikan bahan api (direct injection) yang dikenali oleh Toyota sebagai sistem D4-S. Enjin ini menghasilkan 300 PS dan 362 Nm tork. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan Direct-Shift.

Selain itu, sistem bantuan keselamatan (TSS) didatangkan secara standard pada semua varian.

Lexus LM

Dengan kualiti yang dipertontonkan pada Toyota Alphard generasi ini, Lexus turut membina versi yang sama melalui Lexus LM. Mengenai nama LM, syarikat kenderaan mewah milik Toyota ini menggunakan istilah “Luxury Minivan”. Dilancarkan pada tahun 2019, ia didatangkan dengan varian LM 300h yang berkongsi tren kuasa dengan Alphard Hybrid. Selain itu, Lexus juga menawarkan varian LM350 yang berkongsi tren kuasa dengan Alphard V6.

Menjadi sebuah syarikat pengeluar kereta mewah, Lexus LM menggunakan cermin dua lapis (double-glaze) untuk kabin yang lebih senyap dan bahan binaan yang lebih berkualiti. Lexus LM turut berbeza dengan Alphard melalui susunan 2 kerusi kapten di belakang yang boleh dibaringkan seperti sebuah katil.

Selain itu, ia memiliki pembahagi di antara kabin depan dan belakang untuk privasi tambahan. Pada masa yang sama, terdapat konsol tengah yang didatangkan khusus untuk kabin belakang. Konsol ini mempunyai butang dan skrin untuk mengawal fungsi yang didatangkan pada Lexus LM seperti skrin 26 inci, sistem audio Mark Levinson, dan kerusi kapten.

Dari segi keselesaan, Lexus LM mempertingkatkan mutu suspensi yang sedia ada pada Toyota Alphard dengan mengunakan teknologi penyerap hentakan swing valve seperti yang terdapat pada Lexus ES.

Konklusi

Dengan ciri yang serba mewah serta keselesaan yang cukup mengagumkan pada Toyota Alphard, tidak hairanlah sekiranya industri menganggapnya sebagai sebuah limosin yang tinggi.

Dengan reputasi Toyota dalam membina jentera yang tahan lama dan tidak memberikan sebarang permasalahan besar, Toyota Alphard sering menjadi alternatif buat pembeli yang tidak ingin berbelanja besar untuk sebuah kereta yang berpangkat bos. Ditambah pula dengan pilihan 7 tempat duduk, gelarannya sebagai raja segala MPV tidak boleh dinafikan sama sekali.

Comments