Sekitar 3 daripada 5 penghantar makanan / barang langgar peraturan trafik - MIROS

Haris · Oct 09, 2020 05:00 PM

Gambar hiasan. Sumber: Samui Times

Norma baharu telah memaksa kita untuk menggunakan teknologi. Antara norma baharu yang sudah menjadi kebiasaan kini sudah tentulah perkhidmatan P-hailing iaitu perkhidmatan penghantaran makanan dan barang-barang.

Walau bagaimanapun, hasil kajian daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati bahawa hampir 64% penunggang perkhidmatan penghantaran makanan dan barang-barang ini melanggar peraturan trafik pada waktu puncak.

Gambar hiasan: SGSME

Akibatnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM telah merekodkan sebanyak 150 kemalangan yang berlaku melibatkan golongan tersebut dengan 4 kematian dicatatkan. Kesemuanya berlaku dalam tempoh 3 bulan Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.

Kredit gambar: UCSI

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Khairil Anwar Abu Kassim mengulas bahawa trend tersebut sangat membimbangkan dan dikhuatiri akan menyebabkan malapetaka yang lebih besar. Selain itu, ia turut melibatkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Mengulas dengan lebih lanjut pada Berita Harian, Dr Khairil berkata “Ada sisi gelap di sebalik yang terjadi apabila kadar kemalangan yang membabitkan perkhidmatan p-hailing meningkat semasa tempoh PKP dengan 150 kemalangan direkodkan.”

“Dikhuatiri sekiranya tiada tindakan pembetulan diambil, pengoperasian perkhidmatan p-hailing akan menyumbang kepada penambahan jumlah kemalangan dan kecederaan membabitkan penunggang motosikal.” tambah beliau lagi.

Gambar hiasan. Sumber: Bangkok Post

Untuk menangani isu ini, MIROS menyarankan agar usaha mendidik tidak sepatutnya terhad dengan aspek hukuman sahaja sebaliknya boleh dilakukan melalui aspek pengiktirafan.

MIROS sedang membangunkan saluran yang betul bagi orang awam melaporkan kesalahan trafik yang dilakukan oleh penunggang perkhidmatan penghantaran makanan dan barang-barang ini untuk disalurkan kepada syarikat pengendali masing-masing.

Sumber: Facebook MIROS

Comments