Tak perlu kereta nasional ketiga, perlu cukai kereta yang lebih adil! - ini saranan MAA

Haris · Jul 27, 2020 06:00 PM

Malaysian Automotive Association (MAA) dalam sebuah laporan telah memberikan sedikit sebanyak saranan yang bagus terhadap industri automotif negara. Buah fikiran yang diberikan oleh MAA ini ternyata menarik untuk dibincangkan.

Melalui presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata “negara sudah cukup dengan 2 jenama kereta tempatan, kita tidak memerlukan jenama kereta ketiga.” ujar beliau dalam sebuah laporan dari The Edge Market.

Apabila ditanya mengenai penglibatan Perodua terhadap pembangunan kereta nasional ketiga, Datuk Aishah Ahmad tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut. Hal ini disebabkan tiada maklumat lanjut mengenai perkara ini.

Selain itu, Datuk Aishah Ahmad turut mengulas tentang struktur cukai yang membebankan pengeluar asing dan menguntungkan pengeluar tempatan.

Tambah beliau, sepatutnya kesemua pengeluar kereta bersaing secara sihat dan kesemua pengeluar kereta harus membayar cukai pada kadar yang sama. Pandangan ini ternyata seiring dengan pandangan ahli ekonomi Dr Barjoyai Bardai yang dilaporkan tempoh hari.

“MAA telah mengetengahkan isu ini berkali-kali kepada kerajaan namun tidak diendahkan.” kata Datuk Aishah Ahmad.

Pertukaran kerajaan pada tahun ini nampaknya tidak mengubah apa-apa keputusan kerajaan yang lalu. Walaupun terdapat pelbagai saranan oleh pihak yang berkaitan, pihak kerajaan tidak berganjak dengan idea kereta nasional ketiga. Adakah anda bersetuju dengan saranan MAA ini?

Sumber: The Edge Market

Comments