Tiada penurunan 10% pada harga kereta walaupun dengan pengecualian cukai jualan. Ini sebabnya.

Mersita · Jun 18, 2020 02:19 PM

Seperti yang sedia maklum, kerajaan telah mengumumkan yang semua kereta penumpang yang dipasang secara lokal (CKD) akan dikecualikan dari membayar 10 peratus cukai jualan bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020. Kereta impot baru pula akan diberi 50 peratus diskaun cukai jualan, meninggalkan cukai jualan pada hanya 5 peratus.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud harga kereta CKD baru akan turun 10 peratus.

Kebanyakan kereta hanya dapat penurunan sebanyak 3 hingga 6 peratus. Nak tahu kenapa?

Penjelasan mudahnya ialah cukai jualan 10 peratus tersebut tidak dikira berdasarkan harga jualan kereta terlibat, tetapi ia dikira berdasarkan harga kos (borong) kereta tersebut, ditambah lagi dengan cukai eksais/cukai impot.

Harga jualan kereta terdiri daripada harga kos dan semua cukai-cukai yang terlibat, cas pengendalian dan pengangkutan, kos pendaftaran, untung penjual serta untung pengedar.

Sumber: Garis panduan SST Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk industri otomotif, 2018.

Tambahan pula, Akta Cukai Jualan 2018 membenarkan penyesuaian dalam cukai jualan berbayar berdasarkan pada rebat cukai eksais yang diberi dibawah Industrial Linkage Programme (ILP) oleh Kementerian Kewangan.

Secara umumnya, ILP membenarkan kereta CKD untuk menuntut rebat dalam cukai eksais yang dibayar berdasarkan nilai bahan yang digunakan dalam proses penghasilan kereta.

Inilah sebabnya kenapa kereta yang mempunyai kandungan bahan lokal yang tinggi – contohnya model Perodua popular dan Honda – dapat pengurangan harga yang sangat sedikit. Ini kerana cukai jualan berbayar yang sebenarnya telah diselaraskan dan disesuaikan sejajar dengan ILP.

Sebenarnya, pengurangan sebenar pada harga kereta boleh jadi lebih rendah kalau bukan kerana promosi tambahan yang diberi. Contohnya, senarai harga baru Toyota sudah ditambah lagi dengan promosi istimewa. Oleh itu, walaupun kenderaan komersial seperti Toyota Hilux CKD tidak termasuk dalam pengecualian cukai jualan (hanya kereta penumpang CKD sahaja yang dapat pengecualian), harganya telahpun dikurangkan.

 

Comments