Tip beli kereta terpakai: 6 cara untuk periksa enjin

Mersita · Aug 24, 2020 11:00 AM

Katakanlah anda nak beli kereta terpakai. Mungkin anda nak buat jadi kereta projek, mungkin juga ia model kereta unik yang anda dah lama idamkan, ataupun model kereta yang tidak dijual secara rasmi di Malaysia. Kalau anda nak beli kereta terpakai kerana bajet sendu, anda mungkin perlu pertimbangkan pilihan lain seperti pengangkutan awam atau motosikal saja. Bukan apa, kalau dapat kereta tak elok nanti anda juga yang susah.

Kalau anda masih teruskan juga baca artikel ini, kami rasa anda cukup serius nak beli kereta terpakai, tak kisahlah apa jua sebabnya. Kalau nak ikutkan, bila mencari kereta terpakai untuk dibeli, senarai perkara yang perlu diperiksa agak panjang lebar. Dalam entri kali ini, kami akan fokuskan pada pemeriksaan keadaan enjin kereta terpakai.

Pertama sekali, bila anda buat temu-janji nak lihat kereta, pastikan anda dah bersedia untuk membuat tawaran. Jangan buang masa. Kaji nilai pasaran kereta tersebut dan ‘set’ awal-awal harga tawaran anda. Tapi, pastikan anda adil dan hormat dengan penjual tersebut. Jangan main letak je harga. Kalau anda saja nak tengok suka-suka, jangan buang masa penjual semata-mata nak buat ‘pemeriksaan’.

Jom kita mulakan. Macam mana nak tahu enjin kereta terpakai masih elok?

1. Pastikan maklumat pada VOC dan kereta padan

VOC ialah Vehicle Ownership Certificate (Kad Pendaftaran atau Geran). Untuk enjinnya, anda boleh periksa nombor enjin dan nombor chassis di dalam VOCnya.

Apa yang kita boleh lihat dari VOC?

Nombor chassis dan nombor enjin. Periksa untuk pastikan ia padan dengan nombor pada kereta. Jika ia tidak padan, ada sebabnya. Kadang-kadang kepala enjin mungkin pernah diganti. Ada juga kes dimana keseluruhan enjin tersebut telah ditukar. Ini pun ada sebabnya juga. Selalunya, enjin tersebut pernah rosak dan sudah dibetulkan semula.

2. Hidupkan enjin ketika ia sejuk

Jika anda tak dapat hidupkan kereta, lebih baik anda cari saja kereta lain. Penjual tersebut mungkin cuba untuk sembunyikan masalah serius yang dihadapi kereta itu.

Tiada gunanya tawar-menawar jika anda tidak yakin atau pasti dengan keadaan sebenar kereta tersebut. Ada beberapa sebab mengapa kereta tak mahu hidup:

  • Fius pemula (starter fuse) rosak (mudah dibaiki)
  • Geganti pemula (starter relay) rosak (mudah dibaiki)
  • Pemula (starter) rosak (susah sedikit untuk dibaiki); harga bergantung pada kereta
  • Bateri lemah (mudah dibaiki)
  • ‘Transponder’ dalam kunci tak ada bateri/bateri lemah (mudah dibaiki)
  • Pam minyak (fuel pump) rosak (susah sedikit untuk dibaiki); harga bergantung pada kereta
  • Penapis minyak (fuel filter) tersumbat (susah sedikit untuk dibaiki)
  • Palam pencucuh (spark plug) rosak, atau kadang-kadang ia longgar (mudah dibaiki)
  • Kereta tak ada minyak (isi je lah)

Jika ia disebabkan oleh pemula/starter yang rosak dan penjual pula berkata ia satu-satunya masalah yang anda perlu baiki, besar kemungkinan ada lagi benda lain yang anda kena betulkan. Selagi anda tak hidupkan enjin, anda takkan dapat kesan aspek-aspek penting tentang kereta tersebut.

Kereta akan mempunyai reaksi berbeza dalam keadaan sejuk dan panas. Selalunya, enjin yang sejuk susah sikit untuk dihidupkan. Kereta yang bagus dengan cuaca di Malaysia sepatutnya tiada masalah untuk dihidupkan.

Jika enjin dapat dihidupkan hanya dengan sekali cubaan, baguslah.

Ada banyak lagi benda yang anda harus periksa…

3. Periksa ruang enjin apabila enjin dihidupkan

Jika enjin tersebut bergegar/bergerak terlalu banyak apabila kereta dihidupkan, perkara ini barangkali disebabkan oleh ‘mounting’ enjin yang tak elok. Gunakan lampu suluh dan lihat dengan teliti sekitar ruang enjin untuk mengesan sebarang kebocoran, dan dengar bunyi-bunyi lain yang pelik dengan teliti.

4. Periksa asap ekzos

Kalau yang keluar adalah asap berwarna kebiru-biruan, ini bermaksud kereta tersebut sedang membakar minyak enjin. Tak elok. Ia juga mungkin disebabkan oleh cincin piston yang haus, penutup injap (valve seals) haus, atau kerosakan kepala 'gasket’. Jika ekzos mengeluarkan asap putih, ini juga petanda tidak bagus. Ia mungkin disebabkan oleh kebocoran pada kepala 'gasket’.

5. Biarkan enjin hidup (idle) tanpa menggerakkan kereta

Kelajuan ‘idling’ enjin yang tinggi adalah sekitar 1,500 rpm. Tunggu sehingga enjin cukup panas untuk melihat kelajuan ‘idling’ yang asas.

Kelajuan ‘idling’ enjin yang tinggi secara berterusan boleh jadi disebabkan oleh masalah dengan aliran udara yang masuk ke dalam enjin ataupun masalah pada injap kawalan udara ketika kereta pegun. Kelajuan ‘idling’ enjin yang standard adalah sekitar 1,000 rpm. Selalunya, kelajuan ‘idling’ enjin yang sepatutnya ditulis pada stiker di bawah hud enjin.

Kelajuan ‘idling’ enjin yang tidak stabil barangkali ialah tanda kegagalan sensor Mass Air Flow (MAF). Enjin yang lebih kecil (3 silinder) mungkin akan ‘rev’ dengan lebih tinggi pada permulaannya, tapi ia akan menurun ke tahap kelajuan ‘idling’ yang sepatutnya apabila dibiarkan seketika. Kelajuan ‘idling’ dikawal oleh injap kawalan udara pegun (idle air control valve).

Pada masa yang sama, periksa kipas radiator. Kipas ini adalah sebahagian daripada sistem penyejukan kereta. Ia selalunya hidup apabila suhu air mencapai 87 – 89 darjah Celcius. Jika ia tidak hidup, mungkin motor kipasnya atau ‘relay’ motor kipas yang rosak. Ia agak mudah untuk dibaiki.

6. Matikan enjin dan periksa minyak enjin

Pastikan kereta diparkir di atas jalan yang rata. Jika tidak, beberapa kebocoran lebih susah untuk dikesan. Periksa bahagian bawah kereta untuk sebarang kebocoran. Dengan menggunakan alatan yang ringkas, anda boleh periksa warna, tekstur, dan tahap cecair-cecair kereta.

Selut pada penutup minyak enjin. Barangkali ada kebocoran pada kepala gasket. Tak elok. Gambar: zhpmafia.com

Periksa penutup minyak enjin. Tengok kalau ada selut (sludge) (selut menunjukkan kemungkinan kepala gasket bocor). Periksa batang pencelup (dipstick). Pastikan ia berada antara tanda minima dan maksima. Jika ia berada di bawah minima, minyak enjin tak cukup. Jika ia berada di atas tanda maksima, mungkin juga penjual tersebut cuba untuk menyembunyikan kebocoran minyak enjin.

Cebisan besi pada batang pencelup. Tanda tak baik. Gambar: gm-trucks.com

Periksa jika ada cebisan besi atau busa pada batang pencelup. Jika anda jumpa salah satu, tak payah buang masa beli kereta tersebut. Cebisan besi menandakan yang enjin tersebut dah mereput. Busa atau buih-buih kecil pula menandakan ada pencemaran air (dan banyak lagi isu serius yang barangkali ada pada enjin tersebut).

Busa pada batang pencelup. Buih-buih macam ni kalau teh tarik boleh la, bukan minyak enjin. Gambar: rx8club.com

Periksa warna, tekstur, tahap dan kebocoran cecair penyejuk (coolant). Pastikan tiada minyak atau selut dalam tangka penyejuk (kemungkinan kepala gasket bocor).

Rumusan

Kesimpulannya, ada 6 perkara asas berkaitan enjin yang anda boleh periksa sebelum membeli kereta terpakai. Ada banyak lagi aspek-aspek dan bahagian lain yang kita boleh bincangkan dalam entri lain untuk membantu anda mencari kereta terpakai yang elok dan berkualiti. Jangan kata WapCar tak payung. 😉

Comments