Tip beli kereta terpakai: Macam mana nak pandu uji kereta terpakai?

Mersita · Sep 09, 2020 08:00 PM

Bila beli kereta baru, selalunya orang tak ‘test drive’ dulu. Zaman sekarang, anda boleh Google saja kalau nak dapatkan maklumat tentang kereta serba baharu. Siap ada teknologi VR lagi.

Pandemik COVID-19 juga telah memaksa beberapa jenama kereta untuk mempertingkatkan lagi kepenggunaan bilik pameran virtual mereka. Beli kereta serba baru yang dipesan dari pengedar sah/rasmi memang mudah, tapi bagi kereta terpakai pula lain ceritanya.

Bila memandu-uji kereta baru, kita nak lihat apa yang kereta serba baru tersebut boleh tawarkan dari segi keselesaan, kemudahan dan sebagainya. Tapi, memandu-uji kereta terpakai pula bermaksud kita lebih cenderung kepada mencari kerosakan atau masalah yang ada pada kereta untuk bantu anda tawar-menawar dengan si penjual. Kalau serius nak beli, barulah buat begini.

Katakanlah, anda dah jumpa kereta terpakai yang anda mahukan. Jarak-tempuhnya rendah dan harganya pula hebat. Anda dah periksa kesan-kesan kemalangan yang lalu, kondisi enjin, dan anda pun cukup yakin kereta tersebut belum pernah rosak disebabkan banjir. Kini, tibalah masanya untuk anda pandu-uji pula kereta tersebut, tapi anda tak tahu apa nak cari. Jangan risau, kami dah sediakan beberapa tip mudah untuk anda semasa memandu-uji kereta terpakai.

1. Pemanduan normal di bandar

Gambar: Ian Teh @ borneotoday.net

Anda tak perlu jadi pelumba kereta profesional bila memandu-uji kereta terpakai. Ingat, ia hanyalah untuk mengesan masalah sedia ada atau berpotensi untuk timbul pada kereta tersebut. Bawalah kereta itu pusing-pusing sekitar bandar berhampiran sekurang-kurangnya 10 – 15 minit. Lihat dan rasa sendiri jika kereta itu boleh dipandu dalam keadaan sepatutnya. Cuba dan lihat jika ada gear yang terlepas, peralihan dan pautan gear yang tertangguh, dan peralihan gear yang mengejut.

Video di bawah menunjukkan gear terlepas (luncur ke 2:00 kalau tak nak sakit telinga).

Gear terlepas akan berbunyi seperti anda menderum enjin pada “Neutral”, tapi anda sebenarnya pada “Drive”. Pautan peralihan gear yang tertangguh adalah apabila kereta tersebut ada penangguhan sementara apabila anda beralih ke “D” atau “R”. Peralihan gear mengejut pula ditunjukkan dalam video di bawah (luncur ke 1:50).

Beri perhatian pada bagaimana kereta itu bergerak dari keadaan pegun dan beri juga perhatian pada bagaimana ia berhenti. Yang penting, dengarkan bunyi-bunyi pelik dan pergerakan tersentak.

Apabila anda berhenti di lampu isyarat, beri perhatian pada bagaimana kereta tersebut bila dibiarkan. Lihat jika ada gegaran berlebihan dan periksa tachometer jika enjin tersebut dibiarkan pada RPM yang tidak stabil.

Cuba lakukan pusingan 3-point dan lihat jika ia ada kelewatan dalam pautan gear, ataupun lagi teruk jika enjin terhenti.

2. Pandu melalui bonggol dan jalan tidak rata

Memandu melalui ‘speed bumps’ dan permukaan tidak rata adalah cara terbaik untuk mengesan bahagian kereta yang longgar atau ‘suspension’ dan ‘bushings’ yang rosak. Sedikit gegaran dan bunyi bergetar agak biasa bagi kereta terpakai. Beberapa klip mungkin sudah rosak di bahagian belakang ‘trim’ pintu atau papan pemukanya. Perkara ini selalunya mudah dibaiki.

Kami telah sediakan satu panduan mudah untuk memeriksa sistem penyerap hentakan kereta. Secara amnya, periksa jika bahagian hadapan kereta ‘menjunam’ lebih sedikit ke depan atau berat di belakang, ‘body roll’ yang berlebihan, gegaran pada stereng, dan juga lantunan berlebihan. Jika ada simptom ‘absorber’ rosak, masukkan kos penggantiannya dalam rundingan tawar-menawar anda dengan penjual kereta.

Bunyi mencicit apabila anda memandu melepasi bonggol adalah petanda ‘bushings’ rosak. Sambil anda periksa benda lain, beri juga perhatian pada bunyi geseran di bahagian roda kereta.

3. Pandu uji di lebuhraya

Jika tempat anda berjumpa penjual kereta tersebut berhampiran lebuhraya, baguslah. Lebuhraya adalah tempat terbaik untuk menguji bunyi ‘bearing’, gear tinggi, dan juga penjajaran/’alignment’ tayar. Jangan lebih-lebih pula bila memandu, cukuplah sekadar laju sedikit untuk memeriksa bunyi-bunyian yang dihasilkan pelbagai bahagian kereta.

Video di bawah menunjukkan betapa teruknya bunyi ‘bearing’ tayar yang rosak (luncur ke 1:40)

Ketika pemanduan normal di bandar, jarang ada peluang untuk anda memandu dengan gear kelima. Gunakan lebuhraya sebagai peluang untuk melihat betapa bagusnya kereta tersebut beralih ke gear kelima. Sementara itu, periksa jika kereta cenderung tersasar ke kiri atau kanan.

Jika kereta tersebut ada fungsi Auto-Cruise, uji sekaligus.

4. Kemudikan kereta pada kelajuan rendah

Setelah anda selesai dengan pandu-uji di lebuhraya, pandu kereta tersebut ke kawasan parkir kosong. Di sini, uji bagaimana kereta tersebut membelok pada kelajuan rendah. Pusing stereng habis-habis ke kiri dan kemudian ke kanan pula sambil mendengar jika ada bunyi pelik. Ia boleh jadi gandar (axle) atau ‘CV joint’. Video ini menunjukkan bunyi gandar yang rosak (luncur ke 0:48).

Video ini pula menunjukkan bunyi ‘CV joint’ yang rosak (luncur ke 0:38).

‘CV joints’ bermaksud ‘constant velocity joints’ yang membuatkan roda kekal berpusing apabila anda memusing stereng ke kiri atau kanan.

Gambar: samarins.com

5. Uji semua kelengkapannya

Setelah anda selesai memandu-uji di sana-sini, pastikan anda periksa pula kelengkapan dan kemudahan di dalam kereta tersebut. Selain daripada memastikan kereta tersebut boleh dipandu dengan baik, kelengkapan lain dalam kereta yang berfungsi dengan baik juga sama penting memandangkan anda nak berbelanja sejumlah besar wang ringgit untuk kereta ‘baru’.

Ingat tak kelengkapan ini? Jangan risau jika ia tidak berfungsi. Tak payah nak kecoh sangat.

Uji fungsi tingkap dan punat-punatnya, sistem stereo, sistem kunci, penghawa dingin, lampu signal, pengelap/’wiper’ cermin, dan kelengkapan-kelengkapan lain yang ada. Cuba untuk ‘kaw-tim’ dengan penjual, kita nak periksa saja, bukan tak percaya.

Rumusan

Memandu-uji kereta terpakai adalah sesuatu yang anda harus lakukan jika anda betul-betul mahu beli kereta tersebut. Ini bermaksud anda sedia untuk membuat tawaran dengan penjual kereta jika kereta tersebut berfungsi baik-baik saja. Mengesan masalah sedia ada atau yang berpotensi untuk timbul pada kereta terpakai adalah satu cara untuk tawar-menawar dengan penjual.

Beberapa masalah yang dihadapi lebih susah untuk dibaiki berbanding yang lain, dan ia terpulang pada anda jika kereta tersebut berbaloi untuk dibaiki. Jika anda bersedia untuk menanggung kos pembaikannya, buka dompet terus bayar. Selamat maju jaya!

Comments