Toyota Corolla Altis model GR Sport untuk pasaran Eropah

Mersita · Jul 20, 2020 12:30 AM

Sebagai model GR Sport pertama yang ditawarkan di pasaran Toyota Eropah Timur, Toyota kini menawarkan sedan keluarga yang lebih bergaya dan ranggi dengan Toyota Corolla Sedan GR Sport. Ini berikutan kejayaan versi Corolla Hatchback dan Touring Sports GR Sport.

Gaya yang diinspirasikan oleh model GR berfokuskan prestasi Toyota dan warna tema TOYOTA GAZOO Racing memberikan nafas segar dan muda pada sedan keluarga ini. Luarannya diberi kemasan hitam-piano yang mewah – termasuk gril hadapan, selongsong cermin pintu, tiang tengah dan ambang sisi yang menyerlahkan lagi ciri rendah kereta ini.

Sudut sisi bampar hadapannya juga dihiasi dengan kemasan hitam yang memberikannya bingkai bentuk ‘C’ yang ranggi – melebarkan lagi rupa bentuk hadapan kereta ini.

Bahagian sisinya pula dihiasi rim aloi hitam-krom dengan tanda dagangan GR cincin merah pada penutup tengahnya. Dua rekaan rim 10-batang boleh didapati – 17 inci (standard) dan 18 inci (pilihan).

Rupa bentuk Corolla Sedan GR Sport ini ditambah lagi dengan spoiler belakang, hiasan hitam di atas nombor plat dan lencana GR Sport di belakangnya.

Dynamic Grey adalah warna istimewa baru untuk model GR Sport ini di kalangan 7 lagi pilihan warna yang lain. Mana-mana kemasan warna boleh digabungkan dengan atap hitam dalam pilhan cat dwi-tona pertama untuk Corolla Sedan ini.

Ruang dalaman kabin sedan ini dikemasi dengan kemasan atap hitam, stereng yang dibalut dengan kulit taktil berlubang serta ‘scuff plates’ hadapan kemasan aluminium yang diberi logo GR.

Tempat duduk hadapannya juga cukup luas dengan bantal kusyen sisi untuk sokongan selesa. Pelapiknya adalah kombinasi antara kain hitam dan kulit sintetik berkualiti tinggi dengan kemasan jahitan putih-merah – padan dengan warna tema TOYOTA GAZOO Racing. Kemasan warna yang sama diberi pada tempat duduk belakang.

Corolla Sedan GR Sport juga boleh didapati dengan sistem pencahayaan dalaman, lampu luaran LED dan kemasan cat dwi-tona.

Model baharu ini (bergantung pada pasaran lokal) boleh didapati dengan tren kuasa hibrid 1.8 liter dan petrol 1.6 liter. Produksi akan bermula pada bulan November 2020 dan bergantung pada pasaran, jualan bermula Januari 2021.

Kalau nak tahu, Toyota Corolla adalah kereta terlaris di dunia. Kalau model GR Sport ini masuk Malaysia, anda nak tak? Jom kongsi di ruangan komen.

Comments