Toyota Corolla TRD 2000: 10 unit sahaja di dunia! Rare atau gagal?

Haris · Jul 20, 2020 01:00 PM

Umum mengetahui tanda nama Corolla adalah sebuah tanda nama yang terkenal di seluruh dunia. Sebagai sebuah tanda nama yang paling banyak dijual di seluruh dunia, tentunya Corolla mempunyai formula rahsia yang tersendiri.

Bagi tahun 2020, Toyota telah menambah barisan produk Corolla dengan tawaran Toyota Corolla Cross. Model ini adalah model SUV kompak daripada Toyota dengan tanda nama Corolla yang ditambah bagi memberikan persepsi ‘nilai hebat’ yang selalu dikaitkan dengan tanda nama tersebut.

Namun di sini kami ingin memberi perhatian kepada sebuah model Toyota Corolla yang sangat terhad. Lebih terhad daripada kebanyakan supercar di dunia dan Proton Saga Edisi Ulang tahun. Hanya 10 unit sahaja di dunia!

Tahukah anda pada tahun 1994, Toyota mempunyai visi yang berlainan dengan tanda nama Corolla? Begitulah kisahnya dengan Toyota Corolla TRD 2000.

Toyota Vios dengan TRD body kit

Jika anda masih ingat, pasukan lumba rintis bagi Toyota adalah Toyota Racing Development (TRD). Mereka adalah perintis kepada Toyota Gazoo Racing (GR) yang kini terkenal dengan model seperti Toyota GR Yaris.

Toyota Corolla TRD 2000 ini dibina berdasarkan Toyota Corolla yang telah ditala untuk perlumbaan Japanese Touring Car Championship. Kesemua tugas-tugas penalaan dilakukan oleh pasukan TRD.

Bagi menambahkan lagi elemen sukan permotoran, sudah tentunya enjin kereta ini telah ditukarkan kepada enjin 2.0 liter NA 3S-GE dengan gandingan transmisi 5 kelajuan manual.

Selain itu, kereta ini turut dilengkapi dengan klac tahan lasak, limited-slip differential (LSD) mekanikal, quick shifter, brek TRD dan sistem suspensi yang 20 mm lebih rendah berbanding biasa.

Kuasanya pula adalah sebanyak 180 PS. Lebih menarik lagi adalah berat kereta ini hanyalah 1140 kg, lebih ringan berbanding kebanyakan kereta sekarang.

Oleh itu apakah yang menyebabkan model JDM ini hanya 10 unit sahaja dijual untuk pasaran domestik Jepun? Adakah sengaja dijual dengan angka yang begitu terhad?

Untuk permulaan, harga Toyota Corolla TRD 2000 ini lebih mahal berbanding sebuah kereta lumba Toyota. Ya, harganya lebih mahal daripada Toyota Celica ST205 GT-Four

Kereta ini disasarkan untuk pengeluaran sebanyak 99 unit tetapi disebabkan harganya yang tinggi, hanya 10 unit sahaja kereta ini dibina. Apatah lagi, tanda nama Corolla selalu dikaitkan dengan ‘nilai hebat’ dan bukannya premium.

Rekaan yang biasa-biasa sahaja turut mengurangkan minat terhadap kereta ini. Kereta pakcik-pakcik dengan prestasi anak muda berjiwa kelajuan. Macam tak kena kan?

Kredit gambar: Option Tokyo

Comments