Toyota Hilux 2020 baharu ada turbodiesel 204 PS/500 Nm, ADAS, harga dari RM 94 ribu di Malaysia!

Mersita · Aug 03, 2020 06:25 PM

UMW Toyota Motor (UMWT), pengedar rasmi model Toyota di Malaysia telah mengeluarkan harga untuk Toyota Hilux 2020 terbaru.

Harganya bermula daripada RM 93,880 bagi varian asas Toyota Hilux 2.4 MT Single Cab, dan RM 148,880 bagi Hilux 2.8 Rogue AT 4x4.

UMWT juga telah menyelaraskan barisan Hilux dengan memperkenalkan Hilux 2.4 E AT Double Cab baharu, serta 2.4 V AT Double Cab baharu iaitu naik-taraf daripada 2.4-litre L-Edition. Varian 2.8 Hilux AT 4x4 melangkaui spesifikasi 2.8 Black Edition.

Enjin turbodiesel 2.4 liter dibawa masuk tanpa perubahan (150 PS/400 Nm), tapi perkara utama dalam keluaran baru ini ialah enjin turbodiesel 2.8 liter yang dinaik-taraf dengan janaan kuasa 204 PS and 500 Nm – membuatkannya trak pikap Jepun yang paling berkuasa dalam segmen ini.

Selain daripada tren kuasa yang dipertingkatkan, Toyota Hilux 2020 baharu ini juga dipadatkan dengan kelengkapan ADAS Toyota Safety Sense (TSS), merangkumi Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist, dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC).

Sama seperti model luar negara, Hilux spesifikasi Malaysia ini juga diberi pilihan kemasan cat baru iaitu Bronze Mica Metallic. Warna-warna lain termasuklah Phantom Brown Metallic, Crimson Red Spark Metallic, Attitude Black Mica, Super White II, Medium Silver Metallic, dan Silver Metallic.

Buat masa ini, kita hanya menunggu pelancaran rasminya saja tak lama lagi memandangkan Toyota Malaysia sudah mengeluarkan video acah baru-baru ini.

Comments