Toyota Innova 2021 menerima taraf keselamatan 5 bintang untuk ASEAN NCAP!

Faisal · Oct 27, 2020 01:00 PM

Setelah membuat debut pada 15 Oktober yang lalu, Toyota Innova facelift telah menjadi sebutan orang ramai dengan rupa paras yang lebih mewah dan tegap.

Seperti Corolla Cross dan Hilux, Toyota Innova 2021 baru sahaja menerima taraf keselamatan 5 bintang untuk ASEAN NCAP.

Untuk maklumat anda, Toyota Innova generasi ini telah menjalankan ujian keselamatan yang sama sewaktu membuat debut pertama pada tahun 2016. Dalam ujian tersebut, Toyota Innova menerima taraf keselamatan 4 bintang untuk varian yang tidak mempunyai kawalan kestabilan (ESC) dan amaran pemakaian tali pinggang. Varian yang mempunyai ESC dan amaran pemakaian tali pinggang pula menerima taraf keselamatan 5 bintang.

Walaupun kini diuji dengan kaedah yang lebih baru, Toyota Innova facelift masih memiliki struktur dan bahan yang sama.

Berdasarkan laporan, Toyota innova 2021 memiliki sistem perlindungan yang baik untuk tempat duduk hadapan. Namun begitu, bahagian dada pemandu dan kaki perlu menahan impak dengan lebih kuat sewaktu kemalangan.

Walau apapun, Toyota Innova 2021 berjaya menghasilkan skor sebanyak 82.69 mata dimana ia berada dalam taraf 5 bintang untuk ASEAN NCAP.

Pencapaian taraf keselamatan ini agak baik untuk sebuah kereta yang pada mulanya hanyalah sebuah MPV mampu milik untuk pasaran yang membangun. Kini, ia telah menjadi sebuah MPV yang cukup lengkap. Toyota Innova 2021 dijangka tiba di Malaysia pada tahun hadapan.

Comments