Toyota Vios GR (Gazoo Racing), pengganti Toyota Vios TRD bakal hadir tahun 2020?

Haris · Oct 21, 2020 07:00 PM

Toyota Vios

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Toyota Vios bakal menerima facelift ringkas pada hujung tahun 2020. Tidak mahu diketepikan dari saingan Honda City 2020 serba baru dan Nissan Almera Turbo 2020 serba baru, Toyota Vios dikatakan bakal mengenakan facelift berdasarkan Toyota Yaris Ativ di Thailand.

Kereta sama, pelumba berbeza. Baru betul skil!

Sehubungan dengan itu, Toyota Vios 2020 facelift tersebut turut dilaporkan bakal menerima varian GR (Gazoo Racing). Gazoo Racing adalah lencana prestasi Toyota yang menggantikan TRD (Toyota Racing Development).

Varian GR sememangnya terkenal dengan kehadiran Toyota GR Yaris yang telah disahkan hadir ke Malaysia terhad sebanyak 100 unit sahaja pada tahun 2021. Pengenalan Toyota GR Vios sememangnya membawa keseinambungan kepada pelancaran Toyota GR Yaris nanti.

Walaubagaimanapun, sebarang talaan enjin mungkin tidak akan ditawarkan pada enjin 1.5 liter NA Dual VVT-i Toyota Vios. Hal ini kerana transmisi CVT merupakan transmisi tunggal dalam kesemua varian Toyota Vios. 

Toyota Vios GR ini akan dijual di pengedar Toyota terpilih, khas untuk pengedar yang sudah melabur untuk meletakkan reruai GR Garage di bilik pameran mereka.

Pada pelancaran Toyota GR Supra pada tahun 2019, UMW Toyota Motor mengumumkan bahawa Toyota berhasrat untuk memasarkan jenama Gazoo Racing (GR) supaya menjadi jenama gaya hidup prestasi dan hanya pengedar dengan reruai GR Garage sahaja yang dibenarkan menjual Supra. Reruai konsep GR Garage UMW Toyota Motor adalah reruai pertama di luar Jepun.

Hal ini menjadi lebih jelas apabila pengedar komited dengan pelaburan GR Garage, tidak mungkin hanya 1 atau 2 model sahaja yang akan dijual. Selepas Toyota GR Supra, Toyota Vios GR akan menjengah terlebih dahulu untuk menghangatkan pasaran sebelum ketibaan Toyota GR Yaris.

Hierarki GR dibahagikan kepada dua peringkat. Lencana GR ‘bangsawan’ diletakkan pada kereta berprestasi tinggi yang tulen seperti GR Supra dan GR Yaris, sementara lencana GR Sport ‘marhaen’ menggunakan casis yang ditingkatkan tetapi dengan perubahan terhad atau tiada sebarang perubahan trenkuasa.

Sebagai rangkuman, Toyota Vios 2020 sudah berada di pasaran Thailand dan Filipina. Untuk tahun 2020, peningkatan yang paling penting adalah kelengkapan brek kecemasan automatik (AEB) atau lebih dikenali dalam terminologi Toyota sebagai Sistem Pra-Perlanggaran (PCS). Selain itu, fungsi Lane Departure Alert dijangka akan ditawarkan.

Walaupun perincian spesifikasi Malaysia belum diketahui, spesifikasi Thailand didatangkan dengan sistem infotainment sesentuh 6.7 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Tiada pengesahan mengenai fungsi ini oleh UMW Toyota Motor.

Toyota Gazoo Racing dipopularkan di Malaysia oleh selebriti terkenal tanah air. Jika anda tertanya-tanya apa susahnya berlumba dengan Toyota Vios, lihat Janna Nick dan Syafiq Kyle gagal dalam perlumbaan Toyota Gazoo Racing di bawah.

Comments