Toyota Yaris Cross mula dijual secara rasmi di Jepun. Harga bermula RM 70,520*

Haris · Sep 01, 2020 05:00 PM

Toyota Yaris Cross

Toyota Yaris Cross adalah sebuah SUV kompak pertama yang dibangunkan berdasarkan platform (TNGA-B). Model ini diposisikan di bawah Toyota C-HR dalam segmen B yang sama. SUV kompak ini disasarkan kepada golongan muda yang mahukan sebuah SUV yang sesuai dengan gaya hidup urban.

Sama seperti Toyota Yaris biasa yang dijual di pasaran Jepun, Toyota Yaris Cross turut dijana oleh enjin tiga silinder 1.5 liter Dynamic Force (M15A-FKS atau M15A-FXE). Selain itu, Toyota Yaris Cross turut hadir dengan varian hibrid dengan enjin bersesaran sama yang dipadankan dengan Toyota Hybrid System II. 

Selain daripada varian hibrid, Toyota Yaris Cross turut dipacu oleh 3 jenis pacuan roda. Jenis pacuan roda tersebut adalah pacuan roda hadapan (FWD), pacuan 4 roda (4WD) dan pacuan 4 roda elektrik (E-Four). Bagi harganya pula, Toyota Yaris Cross bermula dari JPY 1,798,000 (RM 70,520) sehingga JPY 2,815,000 (RM 110,408)

Toyota Yaris Cross mengambil inspirasi daripada Toyota Yaris di pasaran Jepun dengan gaya minimalis SUV kompak. Sebagai sebuah SUV kompak, sudah tentu saiz dan ruang memainkan peranan yang besar. But belakang auto tailgate dengan lantai yang boleh dilaras untuk tambahan ruang dan pintu belakang besar adalah taruhan Toyota Yaris Cross.

Bergerak ke bahagian dalam pula, Toyota Yaris Cross dilengkapi dengan kemasan yang sinonim dengan Toyota (praktikal dan tahan lama). Skrin sistem infotainment turut diletakkan agak tinggi pada papan pemuka bagi memberikan pandangan pemandu yang lebih baik.

Untuk prestasinya pula, Toyota Yaris Cross pasaran Jepun ini dilengkapi dengan pelbagai mod pemanduan. Toyota mendakwa sifat pemanduan Toyota Yaris Cross adalah berasaskan Toyota Yaris itu sendiri, lincah dan mudah dikendalikan. Seperti biasa, aspek penjimatan minyak adalah antara kekuatan model-model Toyota justeru Toyota Yaris Cross pasti tidak ketinggalan dalam aspek tersebut.

Sebagai model Toyota yang paling terbaharu, Toyota Yaris Cross dilengkapi dengan pakej keselamatan yang dipertingkat. Suite Toyota Safety Sense didatangkan secara standard dengan fungsi-fungsi di bawah:

  • Pre-collision Safety System
  • Low Speed Acceleration Control
  • Emergency Steering Assist
  • Full Speed Range Rader Cruise Control
  • Lane Tracing Assist (LTA)
  • Adaptive High-beam System (AHS)
  • Road Sign Assist (RSA)

Bagi sesiapa yang berminat, maaflah kami cakap kemungkinan besar Toyota Yaris Cross tidak akan dijual di Malaysia. Hal ini kerana Toyota telah merancang untuk membawa Toyota Corolla Cross untuk menggantikan Toyota C-HR yang tidak mendapat sambutan yang begitu hangat dek kerana harganya yang agak mahal. 

Comments