Yang mana patut anda pilih - Proton X70 baharu atau Honda CR-V terpakai?

Faisal · Aug 18, 2020 12:20 AM

Dengan harga permulaan sebanyak RM 89,000 (dengan cuti cukai SST), tidak hairanlah mengapa Proton X70 menjadi rebutan di kalangan rakyat Malaysia.

Varian tertinggi iaitu Premium X sangatlah berbaloi untuk dibeli kerana datang dengan kelengkapan dan ciri-ciri premium, semua pada harga RM 115,800 sahaja..

Namun, harus diingatkan bahawa dengan harga yang sama anda juga boleh mendapatkan Honda CR-V terpakai.

Beberapa laman penyenaraian kereta menunjukkan bahawa anda boleh mendapatkan Honda CR-V 1.5 TC-P 2017 atau yang lebih baru, tetapi spesifikasi yang lebih rendah pada CR-V 2.0 2018 mempunyai harga yang sama dengan Proton X70 baru.

Apapun, kedua-dua Honda CR-V 2017 dan 2018 masih mempunyai jaminan waranti daripada pengeluarnya dengan andaian bahawa pemilik sebelumnya melakukan servis kenderaan mereka di pusat servis yang sah.

Namun demikian, jika anda merancang untuk membeli kereta terpakai, anda perlu membayar kadar faedah yang lebih dimana purata kadar faedah untuk membiayai kereta terpakai berada di sekitar 4%. Ini lebih tinggi daripada kadar faedah pada kereta baru (3% secara purata, bergantung pada bank).

Selain daripada kadar faedah, Honda CR-V lebih menjimatkan bahan api berbanding Proton X70 dimana ia mungkin membantu mengimbangi kadar faedah yang lebih tinggi.

Selain itu, kos penyelenggaraan untuk Honda CR-V dalam jangka masa 5 tahun juga adalah lebih murah daripada Proton X70.

Malah, ada sistem ADAS Honda Sensing pada Honda CR-V yang merangkumi Low Speed Follow (LSF) dan Lane Keeping Assist System (LKAS). Kedua-duanya tidak terdapat pada X70.

Sekiranya anda berhasrat untuk mendapatkan Honda CR-V terpakai, ingatlah bahawa ia adalah kereta yang telah digunakan. Anda perlu membuat sedikit kaji selidik sebelum membeli kereta terpakai. Periksa kereta tersebut untuk memastikan ia tidak pernah terlibat dalam kemalangan, dan periksa keadaan cat serta jurang panel. Bawa juga rakan atau mekanik untuk pemeriksaan lebih lanjut jika anda tidak mengetahui keadaan kereta tersebut.

Lebih baik lagi sekiranya anda membeli kereta terpakai terus daripada pemilik persendirian berbanding penjual di luar sana. Dengan itu, anda boleh meminta rekod penyelenggaraan penuh dan mengukur sejarah penyelenggaraan kereta dengan lebih baik. Contoh: adakah tayarnya elok, keadaan cat bagaimana, dan di mana kereta itu kebiasaannya diletakkan?. Terdapat banyak perkara subjektif yang dapat diukur sekiranya dapat bercakap dengan pemiliknya.

Kesimpulan - pilihan di tangan anda

Walau apapun, pilihan sentiasa terletak pada anda. Jika anda lebih suka pembelian yang tidak rumit dan menenangkan, sukar untuk membantah nilai yang dibawa oleh Proton X70.

Tetapi jika anda tidak keberatan dengan kereta terpakai, Honda CR-V mungkin pilihan yang lebih baik bagi sesetengah pengguna. Honda CR-V bukan sahaja SUV yang lebih praktikal daripada X70, tetapi juga menawarkan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kedua-duanya tidak dilengkapi pada Proton X70.

Comments