Honda Civic gen 11 (FE) mungkin masuk Malaysia awal, apa yang menarik?
Haris · Jun 3, 2021 08:00 PM
0
0
Honda Civic adalah model sedan yang sangat popular di Malaysia. Terlalu popular sehingga ia telah menyingkirkan kesemua model sedan segmen C lain menjadi model CBU (Corolla Altis, Mazda 3, Elantra) atau ditamatkan pengeluaran (Sylphy, Jetta, Preve) kerana tidak dapat mencuit pegangan pasaran Civic.
Malah, Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang 'rare' kerana jualan Honda mengalahkan jualan Toyota sehinggakan model Honda Civic FD2R khas Jepun boleh ditawarkan di Malaysia secara rasmi. Memang kawtim.
Legasi Honda Civic bakal diteruskan oleh Honda Civic generasi 11 yang mungkin digelar Honda Civic FE. Oleh yang demikian, apa maklumat awal mengenai Honda Civic generasi ke 11 ini?
Apa pembaharuan yang dibawa?
Tanda nama yang bermula sejak tahun 1972, Honda Civic generasi ke 11 ini tentunya menerima kemaskini penampilan yang berbeza dengan generasi terdahulu ditambah dengan pelbagai peningkatan prestasi dan keselamatan.
Model ini melakukan debut global pada 29-April 2021 dan sejak itu telah mula dipasang di kilang Honda Kanada di Alliston, Ontario.
Kilang Honda Kanada ini hanya akan menghasilkan varian Honda Civic sedan dan akan mula dijual di Amerika Utara - rantau pertama di dunia yang menjual Honda Civic FE ini - pada akhir tahun ini sebagai model 2022.
Seperti yang ramai sedia maklum, Honda Civic hatchbak pula dibuat di kilang Honda UK. Berikutan penutupan kilang tersebut di Swindon, United Kingdom, pengeluaran Honda Civic hatchback akan berpindah ke Greensburg, Indiana.
Berapa besar Honda Civic hatchback?
Fakta menarik: Ini adalah Honda Civic paling besar dalam keseluruhan generasi Civic. Berikut adalah perbandingan dengan model terdahulu, Honda Civic FC:
Dimensi Honda Civic FE 2022
Model
Civic FE
Civic FC
Beza
Panjang (mm)
4,674
4,641
+33
Lebar (mm)
1,801
1,801
0
Tinggi (mm)
1,415
1,415
0
Jarak roda (mm)
2,736
2,700
+36
Model Honda Civic FE lebih panjang dan jarak roda berbanding model Civic FC. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan kestabilan ketika pemanduan. Secara kosmetik pula, nampak seperti 'Baby Accord'?
Ruang dalaman pula bagaimana?
Tanpa sebarang perubahan pada ukuran ketinggian dan lebar, ruang kepala dan bahu tidak banyak berbeza Berbanding Honda Civic FC. Apa yang sedikit pelik, ruang kaki juga dikatakat tetap sama walaupun jarak roda lebih panjang.
Namun dengan tahap praktikaliti kabin Honda yang terbaik, isu ini mungkin bukan masalah besar. Tentunya Honda Civic FE bakal mengekalkan ciri terbaik Honda ini, lagi-lagi di pasaran ASEAN dan Malaysia khususnya.
Dari segi estetika, Honda telah menggubah kabin dengan falsafah 'Simplicity and Something' baharu mereka yang memberikan penampilan yang lebih kemas dan tersusun secara keseluruhan, sama seperti Honda HR-V generasi baharu.
Tidak lupa juga, perhatikan nuansa rekaan baharu ini kerana ia mungkin akan dibawa ke Honda City atau Honda CR-V generasi akan datang. Hal ini berikutan daripada kenyataan Honda yang mengatakan bahawa falsafah rekaan ini akan menjadi kanvas model lain pada masa akan datang.
Apa ciri kelengkapan terkini?
Setakat ini, hanya Honda Civic pasaran AS sahaja yang boleh diperhatikan. Di sana, ia hadir dengan sokongan pautan Apple CarPlay / Android Auto pada unit infortainment skrin sesentuh 7 atau 9-inci.
Bergantung pada varian, Honda Civic gen 11 menerima kluster instrumen digital 10.25 inci, sistem suara keliling 12-pembesar suara Bose yang manis, kemasan kulit, serta tempat duduk pemandu 8 posisi yang boleh dilaras kuasa.
Selain itu, rangkaian Honda Sensing ADAS kini standard untuk semua varian, sekurang-kurangnya untuk pasaran Amerika Utara. Honda Sensing juga telah dikemas kini, seperti yang akan dijelaskan di bawah.
Apa yang dikemaskini pada Honda Sensing?
Suite ADAS Honda Sensing kini menambah fungsi Traffic Jam Assist dan Low Speed Braking Control. Kompnen radar dan kamera yang digunakan sebelum ini kini digantikan oleh satu kamera sahaja.
Sebagai tambahan kepada dua ciri baru di atas, fungsi lain meliputi:
Adaptive cruise control dengan low-speed follow (ACC w/ LSF)
Lane keep assist (LKA)
Blind spot monitor dan rear cross-traffic alert (BSM, RCTA)
Dari segi keselamatan pasif, kerangka Advanced Compability Engineering (ACE) juga menambah beberapa peningkatan. Antaranya, bumbung dibuat menggunakan teknologi laser brazing, dan terdapat banyak aplikasi pelekat struktur untuk memastikan ketahanan badan yang lebih padu.
Bagaimana dengan trenkuasa?
Pasaran AS menyaksikan Honda Civic dikuasakan oleh enjin 1.5 liter bercaj turbo atau 2.0 liter NA:
Trenkuasa Honda Civic 2022
Trenkuasa
1.5-liter 4-sebaris
Caj turbo
180 PS / 240 Nm
CVT
2.0-liter 4-sebaris
NA
158 PS / 187 Nm
CVT
Sesaran enjin 2.0 liter dikekalkan daripada model terdahulu sementara enjin 1.5 liter menerima peningkatan 4 PS dan 20 Nm berbanding enjin lama.
Sekiranya pasaran AS mengekalkan pilihan enjin mereka, tidak mustahil sekiranya pasaran Malaysia juga akan melakukan aturan yang sama. Mungkin, enjin 1.5 liter turbo TC-P juga akan dipertingkat.
Ada varian Type R atau hibrid?
Generasi Honda Civic; atau mana-mana model Honda sekalipun akhirnya akan ditawarkan dalam varian enjin hibrid. Selain itu, model Type R juga sudah semestinya akan ditawarkan tanpa perlu kita menjangkakan lagi.
Model Honda Civic Type R telah disahkan tetapi perinciannya belum diumumkan. Perhatikan juga, dalam dunia yang tidak mahukan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan transmisi manual, ini boleh jadi Honda Civic Type R terakhir dengan 2 sistem tersebut.
Kesemua model hibrid i-MMD atau Type R hanya akan diumumkan pada tahun 2022 sahaja. Ada yang berminat?
Negara jiran, Singapura telah membuka pendaftaran minat untuk Honda Civic 2022 dan pelanggan boleh menerima kereta mereka seawal Oktober 2021.
Selain itu, kereta ini juga telah banyak kali diintip di Thailand. Malah, Honda Malaysia turut memberi sedikit petunjuk bahawa model Malaysia MUNGKIN menjadi antara negara terawal yang menerima Honda Civic generasi 11 ini.
Berapa harganya?
Jangkakan harga yang jauh lebih mahal berbanding harga sekarang. Di Amerika Syarikat sendiri, Honda Civic generasi 11 berharga dari USD 21,700 (RM 89,487) di mana harga ini jauh lebih mahal berbanding Mazda 3 dan Toyota Corolla Altis.
Harga Honda Civic sekarang bermula dari RM 109k - RM 134k. Sekiranya ia berharga lebih mahal dari Mazda 3; ia mungkin boleh bertindih harga dengan Honda Accord.
Honda Civic FC sekarang pula hanya mahal RM 3,000 sahaja berbanding Honda City RS i-MMD hibrid. Lonjakan harga pada Honda Civic tentunya agak signifikan.
Harga yang lebih realistik untuk Honda Civic generasi 11 ini mungkin sekitar RM 130k - RM 160k. Namun, kita mengalu-alukan Honda Malaysia untuk menyanggah tanggapan ini dengan harga yang lebih murah.
Jadi bila akan dilancarkan di Malaysia?
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Honda Malaysia telah memberi isyarat bahawa Honda Civic serba baharu ini akan melakukan debut tempatan seawal tahun 2021 ini, jika semua perancangan berjalan lancar.
Namun tunggu dulu kerana perancangan ini lebih cenderung kepada majlis pratonton awal berbanding majlis pelancaran pasaran.
Hal ini kerana model pemasangan tempatan biasanya memerlukan sekurang-kurangnya 6 hingga 9 bulan (setelah pengeluaran dimulakan di Thailand, 'ibu kilang' di rantau ini) sebelum sebarang komponen tempatan dipasang.
Ada maklumat lain?
Nampaknya itu sahaja maklumat awal mengenai Honda Civic FE ini. Adakah ia mampu mengekalkan populariti Honda Civic FC yang terlajak laris? Sama-sama kita nantikan!
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.