Malaysia akan lancar 10 model baru, Oktober 2020 jadi bulan paling rancak. Kenapa?
Mersita · Sep 14, 2020 02:00 PM
0
0
Dengan sekurang-kurangnya lima model yang akan dilancarkan pada bulan Oktober tahun ini - dan lima lagi model yang besar kemungkinannya akan datang tak lama lagi - nampaknya bulan 10 memang sangat rancak bagi pasaran automotif negara kita tahun ini.
Perkara ini menimbulkan pertanyaan memandangkan industri kita berdepan dengan kesukaran masa kini. Jualan terkumpul bagi kereta baharu di Malaysia pada separuh pertama tahun 2020 turun 40 peratus berbanding jangkamasa 6 bulan yang sama pada tahun lepas.
Kita juga boleh jangkakan ‘soft launch’ atau previu bagi Hyundai Sonata 2020 serba baharu, manakala BMW Malaysia dijangka akan melancarkan varian hibrid ‘plug-in’ untuk 3 Series generasi G20 (330e) serta Gran Coupe 2 Series (pesaing Mercedes-Benz CLA-Class) antara bulan Oktober – November.
Tak dilupakan juga Volkswagen Passat R-Line dan Kia Seltos, yang kini tersedia untuk dilihat oleh pelanggan berminat tapi harganya masih menunggu pengesahan dari pihak kerajaan. Diharapkan perkara ini akan diselesaikan tak lama lagi.
Secara keseluruhannya, ada 10 model baharu yang dinyatakan di atas, tak termasuk lagi varian masing-masing!
Ahli pasaran akan beritahu anda perkara ini bukanlah idea yang bagus. Malah, susun-aturnya sangat teruk. Apabila anda lancarkan produk baharu terlalu rapat dengan berita pelancaran besar yang lain, anda terpaksa berbelanja lebih lagi untuk merebut perhatian konsumer.
Contohnya, Perodua tidak berhasrat untuk menyertai perebutan pelanggan tahun ini. Mereka merancang untuk melancarkan SUV sub-kompak yang digelar D55L (yang sepatutnya menjadi alternatif lebih murah bagi Proton X50) ini awal tahun hadapan.
Secara rasminya, Perodua berkata yang inilah perancangan mereka selama ini.
Sumber-sumber yang rapat dengan perkara ini memberitahu WapCar.my yang pra-produksi D55L akan bermula pada bulan ini, dengan produksi bersirinya menunggu lampu hijau pada bulan Disember 2020 – menuju kepada pelancaran pasaran yang ditunggu-tunggu ada bulan Januari 2021.
Kenapa bergegas untuk lancar pada Oktober?
Secara amnya, syarikat kereta tersekat dalam situasi yang sukar. Lancar salah, tak lancar pun salah.
Perlu diingatkan yang aktiviti perniagaan pada separuh pertama tahun ini dijejaskan oleh PKP dan PKPB. Sebelum mereka boleh lancarkan satu model baharu, mereka terpaksa menyelesaikan banyak kertas kerja di belakang tabir dimana banyak antaranya tidak dapat diselesaikan dahulu.
Antara kertas kerja yang paling penting ialah Vehicle Type Approval (VTA), dimana kereta tersebut dihomologasikan menurut undang-undang kita. VTA diselaraskan mengikut standard yang ditetapkan oleh United Nations Economic Commission for Europe (UNECE).
VTA akan diluluskan oleh JPJ. Disebabkan oleh PKP dan PKPB awal tahun ini, banyak permohonan VTA tidak sempat dilengkapkan.
Bagi model yang dipasang tempatan, ada banyak kerja-kerja mencari bahagian kereta dan lokalisasi yang perlu dilakukan serta persediaan alatan dan macam-macam lagi di loji mereka. Kerja-kerja ini memerlukan banyak tenaga kerja fizikal, melibatkan ramai pihak, dan yang pastinya ia tidak dapat diselesaikan dengan mesyuarat atas talian.
Bagi Proton X50, perkara ini menjadi lebih rumit kerana ini pertama kali Geely Binyue, kereta pendermanya, diubah kepada pemanduan sebelah kanan. Seperti yang kami pernah jelaskan, perkara ini jauh lebih rumit daripada hanya mengalih papan pemuka, pedal, stereng dari sebelah kiri ke kanan kereta.
Selepas PKP dilonggarkan, inilah sebabnya mengapa lebih banyak gambar intipan timbul di media sosial menunjukkan prototaip Proton X50 yang disamarkan. Kerja-kerja pembangunan dan penilaian atas-jalan yang sepatutnya dibuat awal-awal lagi terpaksa ditangguhkan dan garis masa kerja terpaksa dipadatkan.
Selain dari itu, latihan kemahiran juga harus dijalankan. Jurujual perlu diberi taklimat dan dilatih untuk jualan produk dan sebelum perkara ini boleh dijalankan, pelatih produk itu sendiri pun perlu dilatih juga.
Sekali lagi, latihan produk tidak dapat dibuat dengan baik melalui perbincangan atas-talian. Penjarakan sosial juga merumitkan keadaan dan latihan produk memakan masa lebih panjang untuk dilengkapkan.
Lagi satu sebabnya melibatkan kitaran semulajadi jualan kereta. Seperti bisnes-bisnes yang lain, syarikat kereta harus mencapai sasaran jualan tahunan mereka. Disebabkan oleh PKP, jurang yang perlu diisi menjadi semakin besar.
Pengecualian cukai yang diperkenal kerajaan untuk kereta penumpang yang dipasang tempatan (trak pikap dan van komersial terkecuali) telah membantu peningkatan jualan kenderaan di negara kita tapi pengecualian ini diberi hanya sehingga 31 Disember 2020.
Walaubagaimanapun, secara realistiknya, ‘window period’ untuk mencapai sasaran jualan ini akan berakhir pada hujung November. Bulan Disember selalunya disimpan untuk menghantar tempahan kepada pembeli. Perlu diingatkan yang pengedar selalunya mengambil masa dalam dua minggu untuk melengkapkan perundingan dengan pelanggan, menyelesaikan dokumentasi sewa beli, ‘trade-in’, dan juga penghantaran kenderaan yang dibeli.
Oleh itu, syarikat kereta tiada pilihan lain melainkan memastikan model baharu mereka keluar ke rangkaian jualan mereka dan bilik pameran sebelum bulan Oktober.
Bagi Honda City dan Nissan Almera pula, ia juga dipengaruhi oleh perubahan dalam undang-undang Eco Car di Thailand.
Betapa besarnya pengaruh industri automotif Thailand sehinggakan perubahan dalam polisi auto mereka akan memberi kesan kepada seluruh pasaran rantau ini.
Apabila Thailand memperketatkan undang-undang pelepasan gas ekzos bagi trak pikap pada tahun 2016 serta pengenalan sistem cukai eksais berdasarkan CO2 yang baharu, ia melonjakkan harga trak pikap. Enjin mesra alam ini lebih moden dan kos penghasilannya jadi lebih tinggi. Ini menjadi salah satu sebab trak pikap yang dijual di Malaysia dah tak semurah dahulu.
Perubahan terkini dalam polisi automotif Thailand melibatkan polisi Eco Car Phase II – satu segmen pelepasan gas ekzos rendah yang dipotong cukai (mesti patuh standard Euro 5) dan kereta spesifikasi rendah dengan penggunaan bahan api yang rendah (tidak melebihi 4.3 liter/100 km).
Kereta yang dahulunya didefinisikan sebagai kereta segmen A seperti Honda Brio dan Brio Amaze dan juga Mitsubishi Mirage dan Attrage, model Eco Car masa kini didefinisikan oleh Honda City generasi baru, Nissan Almera dan Toyota Yaris Ativ (Vios bagi kita, tapi dengan enjin lebih kecil 1.2L).
Polisi tersebut menyatakan yang untuk kelayakan pengecualian cukai, syarikat kereta mesti mula menghasilkan model-model baharu mereka sebelum berakhirnya 2019. Ia menjadi cabaran besar bagi banyak syarikat kereta, tapi mereka terpaksa akur dengan syarat ini.
Inilah sebabnya mengapa Honda City 2020 serba baharu dan Nissan Almera 2020 diperkenalkan di tahap global pada November 2019. Produksi bermula serta-merta (hampir-hampir terlepas ‘deadline’) dan model-model tersebut tiba di bilik-bilik pameran Thailand pada awal tahun 2020.
Walaupun Honda City dan Nissan Almera pasaran Malaysia dipasang tempatan (CKD), kit pemasangannya datang dari Thailand.
Sasaran Eco Car Phase II juga terikat dengan pengilangan dan ekspot bahagian (‘parts’) automotif. Ini juga bermaksud yang syarikat bersekutu di negara-negara jiran, termasuk Malaysia, terpaksa mengimpot bahagian-bahagian ini dari Thailand secepat mungkin.
Memandangkan Honda City dan Nissan Almera dilancarkan di Thailand pada masa yang amat rapat antara satu sama lain, perkara yang sama akan berlaku di Malaysia, seperti apa yang berlaku sekarang.
Bagi Toyota Yaris Ativ (Vios kita), ia baru sahaja diberi facelift di Thailand pada bulan Ogos, kira-kira 7 bulan selepas pelancaran City dan Almera. Jika garis masa yang sama digunakan di negara kita, kita juga boleh jangkakan yang Toyota Vios yang dinaik-taraf itu akan dilancarkan di sini tahun hadapan.
2020 ialah tahun yang sememangnya mencabar. Bagi mereka yang berkemampuan, ia adalah masa yang tepat untuk membeli kereta. Perlu diingatkan yang harga-harga kereta akan naik semula selepas 31 Disember 2020 – bukan saja disebabkan oleh pengakhiran pengecualian SST, tapi ia juga akan disebabkan oleh kiraan Open Market Value (OMV) yang dikaji-semula.
Pada bulan Januari, WapCar.my mula-mula melaporkan yang kerajaan terdahulu telah mengkaji semula kaedah pengiraan OMV yang akhirnya akan menaikkan harga kereta.
Malaysia Automotive Association (MAA) kemudian mengesahkan perkara ini. Tapi, setelah menerima pelbagai kecaman dari orang awam, kerajaan menangguhkan penguatkuasaan kiraan baru ini sehingga selepas 31 Disember 2020.
Sejak itu, kita telah menyaksikan peralihan kuasa dalam kerajaan dan Menteri Kewangan yang baru. Tapi, kerajaan PN yang terkini masih lagi bersenyap tentang hal ini walaupun maklumat digesa oleh MAA. Tanpa arah tuju baru yang jelas, ‘status quo’ masih kekal sama dan pengiraan OMV baru tersebut patut dikuatkuasakan seperti yang dirancang.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.