Proton Persona adalah sebuah sedan segmen B yang telah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2016. Model terbaru yang anda lihat di sini pula adalah model berwajah baru (facelift) yang dilancarkan pada awal tahun 2019.
Desain terbaru Proton dilihat menggabungkan motif Infinite Weave dan Ethereal Bow pada gril hadapan. Pembaharuan tersebut turut merangkumi bampar depan baru, roda baru, dan bampar belakang yang diolah semula.
Proton juga telah melengkapi Proton Persona 2019 1.6 Premium dengan sistem infotainmen kawalan suara 'Hi Proton', mirip dengan Proton X70.
Namun, tidak seperti sistem infotainmen X70 yang mampu mengawal tingkap, penghawa dingin, dan pelindung matahari, tetapan yang terdapat pada Proton Persona baru ini hanya terhad kepada kawalan muzik, sistem navigasi dan ramalan cuaca.
Pengenalan Harga Proton Persona
Harga bermula dari RM 42,600 untuk varian 1.6 Standard Manual, diikuti pula varian 1.6 Standard CVT berharga RM 44,600 dan akhir sekali pada varian tertinggi 1.6 Premium CVT mencapai harga RM 54,600.
Sungguhpun begitu, harga tersebut jauh lebih rendah daripada Honda City (dari RM 73,836 hingga RM 92,172) dan Toyota Vios (dari RM 77,200 hingga RM 87,300).
Varian yang paling disyorkan adalah varian 1.6 Premium CVT, satu-satunya varian yang menawarkan 6 beg udara. Walaubagaimanapun, jika anda peminat transmisi manual, varian 1.6 Standard Manual adalah pilihan yang lebih sesuai, kerana ia adalah model tunggal Proton untuk kapasiti 1.6 liter dengan tombol gear.
Kebaikan dan keburukan Proton Persona
Faktor pelaris bagi Proton Persona adalah harganya yang mampu milik. Varian paling tinggi iaitu Proton Persona 1.6 Premium ditawarkan dengan harga bawah RM 60,000, menjadikannya jauh lebih murah berbanding model-model pesaing dalam segmen B.
Dari segi keselamatan, hanya varian 1.6 CVT Premium yang hadir dengan spesifikasi 6 beg udara. Varian yang lebih rendah hanya mendapat 2 beg udara di hadapan. Walaupun begitu, semua varian Proton Persona mendapat Kawalan Kestabilan Elektronik (ESS), kawalan cengkaman (traction control), ABS dengan EBD, Bantuan Brek (Brake Assist), dan Bantuan Pegun Bukit (Hill Hold Assist).
Walaupun Proton telah melakukan kerja menaik taraf Transmisi Pembolehubah Berterusan (Punch - CVT), kekurangannya masih dirasai lemah berbanding pesaing yang lain. Hal ini kerana transmisi itu masih dihantui dengan penggunaan tali sawat getah disamping bunyi bising apabila enjin menderum.
Sungguhpun begitu, Proton Persona masih unggul dari segi keselesaan dan pengendalian perjalanan. Dengan kelengkapan 6 beg udara, kawalan kestabilan dan cengkaman yang mantap berserta kerangka badan yang tegap, Proton Persona adalah pilihan yang sangat baik bagi mereka yang menitik beratkan soal keselamatan.
Pada harga RM 54,600, Proton Persona adalah pilihan yang berbaloi bagi mereka yang mencari sedan mampu milik dan dilengkapi dengan pelbagai ciri terkini. Selain itu, Proton mempunyai rangkaian pengedar yang amat besar, dengan lebih daripada 102 pengedar di seluruh Malaysia.
Apakah Alternatif Lain Bagi Proton Persona?
Memandangkan julat harganya dari RM 42,600 sehingga RM 54,600, Proton Persona 2019 tidak mempunyai saingan langsung dari segi harga.
Walau bagaimanapun, kedua-dua alternatif berikut masih perlu dipertimbangkan sekiranya anda ingin membeli Proton Persona.