Five, jenama stesen petrol Malaysia bakal berkolaborasi dengan syarikat Green Packet dalam usaha untuk melancarkan stesen petrol yang menggunakan Artificial Intelligence. Usaha sama tersebut juga akan membenarkan fungsi pembayaran tanpa tunai secara digital di semua rangkaian stesen petrol Five.
Kesempatan ini akan digunakan untuk mengasimilasikan teknologi mapan seperti Artificial Intelligence dan Machine Learning di seluruh rangkaian stesen petrol Five. Seringkali kita melihat penggunaan teknologi mapan digunakan pada kenderaan sahaja. Namun, kali ini teknologi tersebut akan membantu kita dengan tugas-tugas rutin seperti mengisi minyak.
Five bakal memanfaatkan servis Green Packet seperti Electronic Know Your Customer (e-KYC), eWallet, payment gateway dan pengecaman nombor plat.
Kedua-dua syarikat turut bekerjasama dalam membangunkan aplikasi mudah alih baru melalui jenama Kiple. Aplikasi ini akan membantu memudahkan pembayaran tanpa tunai dan juga berfungsi sebagai medium untuk menawarkan potongan, ganjaran dan juga pemindahan protokol Peer-to-peer.
Five berharap stesen minyak berkuasa AI akan memberikan pengalaman mengisi minyak yang mudah dan pembayaran digital yang lancar.
Walaupun pembayaran tanpa tunai di stesen minyak kini menjadi suatu kebiasaan, konsep untuk membuat pembayaran melalui pengecaman nombor plat kenderaan adalah kaedah yang belum pernah kita dengar sebelum ini.
Aplikasi ini mungkin serupa dengan aplikasi Setel untuk Petronas. Setel juga dikuasakan oleh platform KiplePay oleh Green Packet.
Five adalah jenama petrol tempatan yang dilancarkan pada bulan Mac tahun ini. Tujuan utama Five Petroleum Malaysia adalah untuk memberi peluang kepada pengusaha baru untuk memulakan perniagaan dalam industri peruncitan stesen minyak.
Bekalan minyak stesen petrol Five dibekalkan oleh Petronas. Ketika ini, Five sudah mempunyai beberapa stesen minyak yang beroperasi di seluruh Selangor.