Motosikal yang diinspirasi daripada rekaan jentera yang bersaing di Rali Dakar, HRC CRF450 RALLY iaitu Honda CRF250 Rally 2021 akhirnya dilancarkan di pasaran Malaysia, hari ini.
Seperti HRC CRF450 RALLY yang bersaing pentas perlumbaan dunia, CRF250 RALLY 2021 didakwa Honda lebih ringan, lincah dan lengkap berbanding versi sebelumnya.
Ia hadir pada tanda harga RM 27,599 oleh pengedar sahnya di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH). Harga berkenaan tidak termasuk yuran pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Seperti namanya, CRF250 Rally 2021 menggunakan enjin bersesaran 250 cc, Silinder Tunggal, DOHC, Penyejuk Cecair yang dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan di mana nisbah gearnya dikemaskini untuk pecutan lebih baik.
Selain itu, intake camshaft, timing ignition, sistem ekzos, penapis udara juga disemak semula dengan CRF250 RALLY 2021 kini turut dilengkapi klac Assist/Slipper bagi kawalan tunggangan yang lebih baik.
Begitupun, tiada perubahan daripada sudut kuasa yang dihasilkan berbanding versi sebelumnya iaitu 24.5 Hp pada 9,000 rpm dan 23 Nm pada 6,500 rpm.
Spesifikasi lain adalah sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik 43 mm di bahagian depan yang dipadankan bersama penyerap hentakan tunggal Pro-link di bahagian belakang.
Sistem brek pula dipadankan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran secara standard dan ia boleh dimatikan ketika melalui laluan off-road.
Selain itu, antara pembaharuan lain adalah CRF250 RALLY 2021 kini 5 kg lebih ringan berbanding versi sebelumnya (157 kg kepada 152 kg) hasil penggunaan kerangka dan lengan ayun baharu.
Ciri-ciri lain yang turut dikemaskini adalah pelana yang lebih luas, tangki bahan api kini 12.8 liter berbanding 10 liter manakala posisi menunggang turut diperbaiki dengan tunggangan kini sedikit tegak bagi pengurangan getaran.
Sebagai tambahan, reka bentuk lampu hadapan yang menggunakan LED turut direka semula bagi pencahayaan lebih baik di waktu malam manakala panel instrumen LCD kini lebih besar memaparkan kedudukan gear dan meter penggunaan bahan api.
Kepada yang berminat, hanya satu pilihan ditawarkan iaitu Extreme Red dan setiap pembelian hadir dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km dari BSH. Jentera menarik ini boleh mula dilihat di bilik pameran BSH bermula 17 Mac ini.
8