KTM mendakwa KTM 1290 Super Duke RR adalah jentera supernaked paling berkuasa dalam kelasnya, ironinya menggantikan KTM 1290 Super Duke R yang dilancarkan lebih awal.
Sekalipun penghasilan jentera berkenaan bukan lagi rahsia selepas beberapa siri dokumen paten sudah pun tertiris lebih awal, begitupun naik taraf yang diberikan kepadanya boleh disifatkan sebagai mengagumkan.
KTM berkata KTM 1290 Super Duke RR terhasil selepas jabatan kajian dan penyelidikan (R&D) syarikat berkenaan diberikan kebebasan untuk membina jentera dengan karakter yang fokus kepada 'prestasi tulen'.
Hasilnya, terciptanya KTM 1290 Super Duke RR yang 9 kg lebih ringan berbanding Super Duke R dengan berat 180 kg manakala kuasa yang dihasilkan ialah setinggi 180 Hp dan tork 140 Nm.
Sebagai perbandingan, KTM 1290 Super Duke R 2021 menghasilkan kuasa 177 Hp dan tork yang hampir sama.
Penggunaan komponen gentian karbon di beberapa bahagian panel badan termasuk penggunaan ekor ala 'kala jengking' berjaya mengurangkan berat keseluruhan motosikal berkenaan. Rim yang digunakan juga 1.5 kg lebih ringan berbanding model terdahulu selain penggunaan bateri lithium-ion baharu yang lebih ringan.
Sebagai tambahan, casis yang digunakan turut dikemas kini dan dari sudut tunggangan, jentera ini dilengkapkan fork dari jenama WP Apex Pro 7548 Close Cartridge, damper boleh laras WP Apex Pro 7117 dan monoshock Apex Pro 7746.
Bahagian elektronik turut dikemas kini menerusi pengenalan mod tunggangan Track dan Performance. Ia membenarkan penunggang membuat pilihan tetapan sendiri hampir tanpa had untuk ciri seperti 'rear-wheel slip', 'throttle response', 'Launch Control', dan 'Motor Slip Regulation'.
Daripada 500 unit yang dibina, KTM begitupun tidak mendedahkan berapa unit diperuntukkan kepada pengedarnya di seluruh dunia, termasuklah Malaysia.
Sekalipun tanda harganya tidak didedahkan, tempahan untuk jentera hebat berkenaan sudah pun dibuka namun hanya boleh dibuat atas talian bermula 8 April lalu. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.ktm.com.
5