Anthony Loke - JPJ perlu rombak SOP kenderaan komersial untuk merangkumi jenis elektrik (EV)


Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam wawancara bersama pemberita pada majlis pelancaran trak elektrik pertama di Malaysia iaitu berjenama Volvo dari syarikat Swift Haulage Berhad di MITEC semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengkaji semula peraturan buat kenderaan elektrik di negara ini kerana SOP sedia ada hanya untuk kenderaan konvensional sahaja, khususnya yang bertujuan komersial.
Kata beliau, apa-apa prosedur yang mungkin tidak terpakai kepada kenderaan elektrik perlu diubah kerana kenderaan perdagangan elektrik sudah ada dan ia sesuatu yang baru.
Jelas Anthony, Kementerian Pengangkutan masih menunggu maklum balas daripada syarikat pengeluar kenderaan berat elektrik sebelum perubahan SOP boleh dilakukan.
Ulasnya lagi, sebarang perubahan SOP JPJ adalah bagi memudahkan dan menggalakkan industri seperti logistik beralih kepada kenderaan elektrik, di samping membantu kerajaan mengurangkan kadar pengeluaran karbon.
“Kita nak permudahkan dan menggalakkan penggunaan EV. Jadi, apa yang dilabur oleh syarikat Swift ini merupakan sesuatu yang besar dan satu trak elektrik sahaja dah bernilai RM 1.3 juta. Apabila banyak syarikat yang melabur dalam kenderaan jenis baharu ini, pasaran akan menjadi lebih besar untuk trak elektrik di negara kita”.
Kalau anda nak tahu, Swift bermatlamat untuk hanya menyediakan trak elektrik bermula 2030.
Sumber: Bernama


Faisal Penulis
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.