Benelli RSF 150i, kurang popular tapi tetap mengancam
Khairil · Dec 8, 2020 10:00 AM
Benelli RSF 150i mungkin kurang terkenal berbanding pesaingnya dalam kelas 'Super Moped'. Tetapi, jentera jenama dari Itali ini tidak kurang hebat, tak kira dari sudut prestasi atau reka bentuk.
Dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada 2017, ramai yang menyatakan RSF 150i tidak mampu bersaing dalam segmen ini namun mereka membuktikan tanggapan itu tak tepat.
Malah, syarikat yang bertanggungjawab memasarkan jenama itu di Malaysia, Mforce Bike Holdings tampil melancarkan versi kedua, V2 tahun lalu dengan beberapa penambahan baikkan.
Antara penambah baikkan bagi varian V2 adalah penggunaan ekzos baharu yang dikatakan lebih memberikan prestasi lebih baik.
Dari sudut luaran, ia ditawarkan dalam tiga warna baru iaitu merah dan hitam untuk versi standard selain biru/hijau fluorescent untuk model SE (Special Edition) dengan grafik yang menarik.
Tambahan bagi model SE, ia dibekalkan dengan pemegang throttle dan tuil brek boleh laras yang diperbuat daripada aluminium.
Seperti dua pesaingnya Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R, RSF 150i dipadankan dengan enjin bersesaran 150cc tetapi 'saudaranya' SYM VF3i lebih besar, 183cc.
Berdasarkan sudut populariti, tidak dinafikan ia masih ketinggalan berbanding tiga pesaingnya.
Honda RS150R
Tetapi, ada perkara yang boleh membuatkan pengguna tertarik untuk mendapatkannya iaitu harganya.
Justeru, apa yang best dan tak best mengenai jentera ini. Ini yang dapat kami katakan.
YANG BEST
Sumber imej: Proud2ride Independent Blogger
Reka bentuk
Jika berpandukan reka bentuk, ia tidak kalah daripada pesaingnya malah ada menyatakan ia lebih 'hensem' dengan rupa dan 'curve' yang tersendiri.
Harga
Paling murah berbanding tiga pesaing yang lain.
Bagi model terbaru, Benelli RSF 150i V2, harga yang ditawarkan adalah sekitar RM7,238 dan RM7,488 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Berbanding RM8,868 (Yamaha Y15z) dan RS150r (RM8,199) yang turut melambung harganya berdasarkan carian di laman web.
Prestasi
Benelli RFS150i menggunakan enjin SOHC yang sama seperti Yamaha Y15ZR jadi kuasa kuda dan tork yang juga sama dengan model berkenaan.
Teknologi
Tidak seperti Y15ZR yang menggunakan sistem gear 5-kelajuan, Benelli RFS 150i pula menggunakan transmisi klac basah 6-kelajuan. Ia serupa dengan Honda RS150R bersama suntikan bahan api EFI.
Ia juga menggunakan tiga palam pencucuh yang secara teknikalnya membuatkan pembakaran enjin lebih cekap dengan prestasi optimum.
Masalah kepayahan untuk mencari alat ganti selalu mendatangkan pening kepala kepada pengguna Benelli RFS 150i. Malah berdasarkan carian di laman web jual beli, memang senarai untuk jenama ini cukup pendek.
Tetapi, perkara ini tidak perlu terlalu dibimbangkan kerana kilang pemasangan Benelli berada di negara ini.
Dari sudut nilai susut, ia mungkin susut lebih tinggi berbanding ketiga-tiga pesaingnya. Jika melihat kepada laman web jual beli, ada penjual menjualnya dengan harga bawah RM4,000 untuk model 2018.
Sebagai perbandingan, Honda RS150 untuk model 2017 masih dijual dengan harga lebih RM6,000.
Macam mana nak tambah populariti
Cari kelainan
Cara seperti digunakan SYM untuk melonjakkan model SYM VF3i 185, menerusi teknologi dan nilai tambah dalam jentera itu tampak berjaya dan Benelli mungkin boleh menggunakan cara yang sama.
Hantar RFS 150i ke litar
Sumber imej: https://www.facebook.com/tkkrmotorsport/
Ia boleh dianggap sebagai salah satu cara yang logik kerana jika menang, ia sekaligus meningkatkan populariti jenama berkenaan.
Ketika ini, pasukan tempatan TKKR RACING TEAM dikhabarkan sedang menguji jentera ini berkemungkinan untuk dibawa bersaing dalam saingan Cub Prix ataupun Asia Road Racing Championship.
Perbaiki masalah selepas jualan
Tiada motosikal yang tidak mempunyai masalah. Tetapi, jika alat ganti RFS 150i mudah didapati seperti Y15z dan RS150R, ia pasti akan meningkatkan lagi kredibiliti jenama ini sekali gus membuatkan pengguna percaya untuk membelinya.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen