Eclimo ES11 S bakal dilancar, tiba dengan penawaran harga asas RM 9,999!
Khairil · Aug 19, 2021 04:00 PM
Skuter elektrik jenama tempatan, Eclimo sudah lama bertapak di Malaysia dan terbaharu, syarikat itu membawakan model Eclimo ES11 S yang dijual pada harga lebih berpatutan, asas RM 9,999.
Eclimo ES11 S secara asasnya termasuk reka bentuk sama seperti model terdahulu iaitu ES11 tetapi datang dengan penawaran harga lebih rendah berikutan pengurangan dari sudut penggunaan kuasa bateri dan kelajuan.
Sebagai info, model terdahulu Eclimo ES11 dijual pada harga RM 14,500. Justeru, selain harga lebih murah, kelajuan maksimum Eclimo ES11 S dikurangkan kepada 80 km/j berbanding 100 km/j pada model ES11.
Jarak untuk pengecasan penuh juga dikurangkan kepada 80 km berbanding 100 km pada model ES11. Jarak berkenaan boleh didakwa boleh diperoleh dengan penggunaan kelajuan malar sekitar 50 km/j.
Menurut Eclimo, seperti model sebelum ini, ES11 S juga sudah melepasi ujian piawaian kenderaan Malaysia dan boleh didaftarkan untuk kegunaan di jalanraya.
Dan menariknya sekalipun belum dilancarkan secara rasmi, Eclimo ES11 S sudah pun boleh ditempah dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM 1,000 dengan penghantarannya dijangka bermula pada Oktober ini.
Datang dengan pilihan warna tunggal iaitu putih, skuter keluaran Eclimo adalah hasil ciptaan anak tempatan dengan kilangnya berada di Pulau Pinang.
Seperti skuter elektrik lain, Eclimo ES11 S lebih mudah dijaga dan hanya menggunakan soket dinding di kediaman biasa bagi proses mengecas.
Spesifikasi teknikal adalah Eclimo ES11 S menggunakan bateri Lithium Ion berkuasa 72V50AH yang menghasilkan kuasa 3.6 kWh. Jenis motor elektrik yang digunakan ialah 11 inci radial hub dengan jangka hayat bateru 1,000 pusingan. Dengan berat 140 kg, ia menggunakan sistem brek cakera hidraulik dan sistem suspensi hidraulik depan dan belakang.
Dan kepada yang beranggapan motosikal ini tidak mendapat sambutan, Eclimo berkata mereka sudah menerima tempahan yang menggalakkan.
Kepada yang berminat, skuter ini sudah pun boleh ditempah dan untuk maklumat lanjut, lawati laman web www.eclimo.com atau Facebook (Eclimo Motors) dan Instagram @eclimomotors untuk maklumat lanjut.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen