Produksi cekap bakal menjanjikan suku 4 terbaik buat Perodua, 2023 'on track' untuk jualan 314k unit
Faisal · Oct 27, 2023 01:00 AM
0
0
Prestasi jualan suku 4 2023 bakal menjadi yang terbaik dalam sejarah Perodua. Malah, kilang Rawang juga dalam landasan untuk mencapai sasaran jualan 314,000 unit buat tahun ini. Antara faktor terbesar yang membolehkan mereka mengecapi sasaran itu akan adalah kecekapan produksi.
Kemajuan dalam pengilangan mereka telah menaikkan jualan 9 bulan pertama 2023 sebanyak 18.6% (233,227 unit) berbanding 2022. Perkara ini secara teknikalnya dimainkan oleh faktor penambahbaikan sebanyak 18.7% dari segi pemasangan. Sebagai contoh, sebanyak 91,528 unit telah dihasilkan dalam suku 3 tahun ini berbanding tahun lalu.
Sebahagian besar pencapaian ini datang dari peningkatan pemasangan di kilang Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. (PGMSB) iaitu fasiliti yang menghasilkan Ativa dan dua model terlaris Perodua sekarang iaitu Bezza dan Axia.
Dalam acara Japan Mobility Show (JMS 2023), Timbalan Presiden Perodua Datuk Ahmad Suhaimi Hashim berkata bahawa PGMSB untuk tahun ini sahaja telah meningkatkan kelajuan operasi pemasangan sebanyak tiga kali.
Jelas beliau, “Kini, landasan operasi pemasangan kami berjalan pada 1.1 takt [minit]. Pada maksimum, kelajuannya boleh mencapai 1.0 [minit]”. Yang hebatnya, penambahbaikan ini dibuat tanpa sebarang tambahan dari segi pelaburan.
Untuk makluman anda, takt di atas merujuk kepada ‘takt time’ iaitu kadar produksi antara lengkapnya satu unit dengan permulaan unit seterusnya. Senang kata, lebih pendek masa takt, lebih banyak kereta dapat dihasilkan.
Ulas Suhaimi lagi, “Setiap bulan, kilang itu secara puratanya boleh menghasilkan 30,000 unit [semua model] dan Bezza model paling banyak dihasilkan.”
Jadi, tidak hairanlah kalau mereka dapat mengecapi sasaran pengeluaran tahun 2023 sebanyak 330,000 unit, dengan jualan mencecah 314,000 unit.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.