Yamaha RX-Z versi baharu di Malaysia. Realiti atau sekadar spekulasi liar?
Khairil · Jan 31, 2021 11:59 AM
Sekalipun pengeluaran Yamaha RX-Z sudah dihentikan hampir 10 tahun lalu, ada saja berita mengenai motosikal berkuasa 135cc itu akan diproduksi semula di negara ini berikutan popularitinya.
Paling terbaharu adalah minggu lalu apabila tular sebuah foto yang menyatakan Yamaha Jepun bercadang untuk menghasilkan semula jentera yang masih menjadi kegilaan rakyat Malaysia itu.
Tidak dapat dipastikan ketulenan foto berkenaan tetapi jika ia benar, pengedar rasmi jenama berkenaan di sini iaitu Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sudah pasti mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.
Tetapi malangnya, tiada sebarang perkhabaran terpacul dari syarikat berkenaan sekaligus menjadikan berita berkenaan terus menjadi tanda tanya.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah Yamaha RX-Z sehingga kini masih memiliki sejumlah peminat yang ramai menjadikan permintaan terhadap motosikal itu di pasaran terpakai kekal tinggi malah harganya ada kalanya tak masuk dek akal. Ini antara beritanya.
Sebagai informasi, pengeluaran Yamaha RX-Z dihentikan pada tahun 2011 dengan alasan mahu mengurangkan pencemaran sekali pun dua lagi model yang menggunakan teknologi dua lejang, Yamaha 125Z dan Modenas Dinamik masih diproduksi.
Yamaha 125Z (kiri) dan Modenas Dinamik
Begitupun, kedua-dua model berkenaan turut dihentikan pengeluarannya bagi mengikuti peraturan yang digunapakai di negara ini yang tidak lagi membenarkan syarikat pengeluar menghasilkan motosikal dengan enjin dua lejang.
Alasannya adalah ia selaras dengan piawaian pengawalan pencemaran yang ketat ditetapkan oleh badan induk antarabangsa dan bukan hanya di pasaran Malaysia, namun turut membabitkan negara-negara lain di seluruh dunia.
Berikutan itu, boleh dikatakan harapan untuk melihat Yamaha RX-Z yang menggunakan teknologi dua lejang ini kembali semula ke pasaran tempatan boleh dikatakan mustahil.
Dan untuk kembali dengan teknologi empat lejang pula, ia bagaikan risiko yang amat besar terutama jika ia hanya dipasarkan di sesebuah negara.
Perlu diingat, untuk 'rebadge' sesebuah model saja memakan kos yang amat tinggi, apatah lagi membangunkan model baharu.
Malah seperti diketahui, untuk membawa masuk jentera versi baharu daripada jenama sama turut memakan masa berbulan-bulan, malah bertahun-tahun selepas ia dilancarkan sebelum ia tiba di negara ini.
Tidak seperti di negara ini, RX-Z tidak begitu popular di Thailand mahupun Indonesia dan Vietnam yang jelas mempunyai kuasa jualan lebih besar berbanding Malaysia.
Bagi kami di WapCar, ada sesetengah perkara itu mungkin perlu kekal 'vintage' dan bagi kami, RX-Z termasuk dalam kategori berkenaan.
Bagi peminat naked kelas permulaan yang mahukan pembaharuan, HLYM sudah pun membawa masuk 'jagoan' terbaru mereka iaitu Yamaha MT-15 dan permintaanya ketika ini juga boleh dikatakan tinggi.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen