Bekalan cip dari Malaysia putus, syarikat kereta Jepun potong 1 juta pengeluaran

Mersita · 2021-09-15 16:00:00

Toyota telah mengesahkan kepada Nikkei Jepun bahawa gangguan dalam bekalan cip semikonduktor bersumberkan syarikat Malaysia menjadi sebab mengapa mereka telah mengurangkan kadar pengeluaran tahunan yang telah dirancang sehingga 300,000 unit, atau 3 peratus daripada sasaran mereka iaitu 9.3 juta unit.

Secara keseluruhannya, Nikkei berkata enam pengeluar kereta terbesar Jepun – Toyota, Honda, Nissan, Suzuki, Mitsubishi, dan Mazda – telah mengumumkan pengurangan berjumlah 1 juta unit kereta.

Suzuki menerima impak paling besar dimana syarikat itu terpaksa mengurangkan 10 peratus (350,000 unit kereta) daripada jumlah pengeluaran tahunan yang dirancang. Kilang Suzuki di India, pasaran terbesar bagi pakar kereta kompak Jepun itu, kini hanya beroperasi pada kapasiti 40 peratus, lapor akhbar bisnes Jepun itu.

Pegawai Toyota memberitahu Nikkei yang pengurangan ini adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan alatan semikonduktor dari kilang STMicroelectronics di Muar, Johor. STMicroelectronics membekalkan ‘microcontrollers’ automotif kepada pembekal-pembekal Toyota, yang kemudiannya menghasilkan komponen brek untuk Toyota.

Nikkei berkata STMicroelectronics dibebani dengan tempahan tertunggak selama 18 bulan dan kilang tempatan itu tidak mampu memenuhi permintaan kerana pengoperasian kilang masih terganggu dengan jangkitan Covid-19.

Sebuah lagi kilang yang terkesan ialah Infineon Technologies di Melaka yang menghasilkan bahagian semikonduktor, digunakan sebagai komponen stereng dan brek. Namun, kilang itu telah ditutup selama 20 hari dalam tempoh lima minggu sejak bulan Jun.

Selain daripada pengilang-pengilang Jepun ini, Ketua Pegawai Eksekutif dari Volkswagen dan Daimler juga telah menganggap Malaysia sebagai penyebab terputusnya bekalan dalam rantaian bekalan mereka.

Baca juga: Tunggu kereta lebih lama? Pengeluar cip sahkan masih belum dapat penuhi permintaan industri automotif

Pada minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Daimler Ola Källenius memberitahu penerbit dari Jerman, Automobilwoche, “Dengan penutupan pembekal-pembekal semikonduktor di Malaysia dan tempat-tempat lain, cabarannya kini semakin besar, oleh itu jualan kami dalam suku ketiga barangkali akan turun dengan ketara berbanding suku kedua.”

Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Herbert Diess memberitahu CNN, “Keadaan sudah semakin teruk. Kami jangkakan yang ia akan reda selepas cuti musim panas, namun ini bukanlah realitinya kerana di Malaysia, kami berdepan dengan masalah besar disebabkan Covid. Beberapa pembekal kami, ‘back end’ pembekal kami sebahagian besarnya berpengkalan di Malaysia, dan ketiga-tiga kilang terkesan dengan teruk sekali.”

Mersita

Mersita Penulis

Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.

Proton
Perodua
Honda
Toyota
Nissan
Mazda
Mercedes-Benz
BMW
Volvo
Ford
Hyundai
Kia