Honda PCX sah ditamatkan penjualan, Honda ADV 150 bakal menyusul?
Haris · Nov 11, 2020 01:00 PM
Dalam satu semakan ringkas di laman web Boon Siew Honda, Honda PCX nampaknya telah digugurkan dari laman web rasmi Boon Siew Honda. Jawapan dari Boon Siew Honda adalah model ini telah pun ditamatkan penjualan tetapi hanya model PCX Hybrid masih dijual. Namun, beberapa pengedar rasmi Boon Siew Honda masih memiliki stok sedia ada.
Honda PCX yang turut hadir dalam versi hybrid adalah sebuah motosikal jenis skuter 150 cc yang menyaingi Yamaha NMax. Walaubagaimanapun, jurang harga yang agak besar antara Yamaha NMax dan Honda PCX mungkin mengurangkan populariti Honda PCX.
Varian Honda PCX Hybrid yang dilancarkan pada tahun 2018 juga tampak kurang memberi impak untuk meningkatkan lagi populariti Honda PCX. Nampaknya, Boon Siew Honda akan memfokuskan sahaja model ini.
Selain itu, Honda PCX 2021 generasi baru sudah pun dilancarkan di Eropah. Ia hadir dengan enjin bersesaran 125 cc dengan kelengkapan yang dipertingkat. Tiada sebarang laporan yang ditemui untuk Honda PCX generasi baru di Malaysia.
Honda ADV 150
Lebih menarik lagi, terdapat laporan dari pengamal media automotif tempatan yang mendakwa bahawa Honda ADV 150 telah disahkan untuk pasaran Malaysia. Honda ADV 150 adalah skuter 150 cc terbaru dari Honda yang mengambil inspirasi daripada Honda X-ADV 750.
Skuter Honda ADV 150 telah menjengah ke pasaran Indonesia dan Filipina dengan Malaysia menjadi destinasi pilihan seterusnya. Honda ADV 150 dikuasakan oleh enjin bersesaran 149.3 cc SOHC silinder tunggal yang menghasilkan 14.5 PS kuasa kuda dan 13.8 Nm tork. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen