Honda Monkey edisi istimewa di Thailand. Menarik, unik!
Motosikal 'mini' mungkin tidak begitu mendapat sambutan di Malaysia namun peminatnya tetap ada dan antara yang paling menyerlah dan unik pastinya Honda Monkey.
Jika berpandukan kepada laman web jual beli di negara ini, tiada model baharu Honda Monkey berada dipasaran namun untuk kondisi terpakai, ia ada dijual dan harganya juga boleh tahan keras.
Situasi itu berbeza dengan negara jiran di mana Honda Thailand baru-baru ini melancarkan edisi istimewa Edisi Bobby Banana dan Edisi Terhad Gundam.
Bagi Edisi Bobby Banana, ia hadir dengan warna istimewa kuning pisang dan krim.
Manakala bagi Edisi Terhad Monkey Gundam, ia didatangkan dengan dua versi iaitu Monkey RX-78-2 Gundam Limited Edition dan Monkey MS-06S CHAR’s ZAKU II Limited Edition.
Kedua-duanya dilengkapkan dengan dua warna dengan corak yang amat unik disamping logo yang dibuat daripada aluminium di bahagian tepi tangki minyak.
Kesemua varian motosikal ini boleh didapati di CUB House yang juga Moto Lifestyle Cafe & Showroom pertama di Thailand.
Apapun, harga bagi edisi istimewa ini tidak murah dengan edisi Monkey Banana dijual pada harga 107,900 baht (RM14,507).
Untuk Edisi Istimewa Monkey Gundam hadir dengan harga cadangan 129,900 baht (RM 17,465). Tetapi, pembelinya mendapat beberapa aksesori tambahan edisi terhad termasuk kotak pelbagai guna.
Lebih istimewa, bagi setiap varian, ia dikeluarkan dalam jumlah terhad iaitu 125 unit sahaja.
Dari sudut mekanikal, tiada perubahan dengan kesemua varian edisi istimewa ini menggunakan enjin bersesaran 125 cc SOHC yang mampu menghasilkan kuasa 8.9 Hp pada 7,000 rpm dan 10.5 Nm pada 5,500 rpm.
Pada masa sama, ia menggunakan sistem Suntikan Bahan Api PGM-FI dan dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.
Sebagai sebuah motosikal yang kecil dan kompak, Honda Monkey hanya mempunyai berat 101.3 kilogram dengan panjang 1,710 mm dan tinggi 776 mm serta menggunakan lampu LED di bahagian depan dan belakang selain brek standard cakeras depan dan belakang.
Tidak dapat dipastikan sama ada Honda merancang untuk membawa kembali model Monkey ke pasaran Malaysia.
Jika berpandukan kepada katalog di laman web Boon Siew Honda, tiada model terbaru Monkey dipasaran negara ini namun ia pastinya boleh kembali jika mendapat permintaan.


Khairil Motorcycle Writer
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.